Bab 17

216 9 0
                                    

DATUK KAMAL merenung gambar mereka sekeluarga yang tergantung di dinding pejabatnya. Lama ditenungnya gambar anak lelaki keduanya, saling tidak tumpah seperti Faiz. Kembar seiras.

Sejak dulu lagi dia akui hubungannya dengan Fariz tidak begitu baik. Pun begitu sebagai ayah, dia dapat rasakan anaknya akan berubah bila mereka tinggal bersama kelak. Dia telah merencanakan sesuatu untuk masa depan anak-anak dan juga syarikat yang ditubuhkannya itu. Dia harus berusaha untuk memujuk seorang lagi anaknya untuk sama-sama menggembleng tenaga mengukuhkan lagi perniagaannya.

Sudah lama dia berkira-kira, inilah masanya dia mengundur diri dan memberi peluang kelada anak-anaknya untuk menerajui syarikatnya. Kalau tidak diusahakan oleh anak-anak yang bakal menyambung tugasnya, siapa lagi yang hendak diharapkan? Bukan dia tidak percayakan orang luar, tetapi selagi boleh diharapkan pada anak-anak, dia tetap tidak akan membenarkan orang luar mengambil alih syarikatnya.

"Suriati, tolong panggilkan Faiz masuk. Katakan saya nak jumpa," arah Datuk Kamal kepada setiausahanya melalui interkom.

"Baik, Datuk."

Lima minit kemudian, Faiz muncul di bilik Datuk Kamal.

"Assalamualaikum. Ada apa, pa? Macam penting aja?" Faiz terus menyoal sebaik sahaja dia memasuki bilik papanya. Jarang sekali Datuk Kamal memanggilnya pagi-pagi begini jika tidak ada hal yang mustahak. Pasti isi perbincangan mereka nanti sesuatu yang penting.

"Duduk dulu Faiz, papa ada perkara nak dibincangkan dan papa mahukan pendapat Faiz."

Faiz menarik kerusi di hadapan papanya lalu duduk mendepani lelaki berusia lima puluh tahun itu. Walaupun usianya separuh abad, tetapi Datuk Kamal masih lagi kelihatan muda. Dan jika papanya ingin beristeri muda pun rasanya masih ramai lagi yang sanggup. Faiz tersenyum kecil apabila fikiran nakalnya jauh melayang memikirkan yang bukan-bukan.

"Hai...belum apa-apa lagi dah senyum, kenapa? Ada yang lucu?"

Soalan Datuk Kamal mematikan senyuman Faiz. Dia tersedar daripada perbuatannya, tidak menyangka pula papa perasan akan senyumannya tadi.

"Takdelah, pa. Faiz terfikir kalau-kalau papa jumpa Faiz ni nak tanya pendapat Faiz pasal papa nak kahwin lagi satu...." Lambat-lambat dia menuturkan katanya, bimbang apa yang diluah menjadi 'racun' pada telinga papanya. Faiz tahu papanya bukan mahu membincangkan hal-hal pejabat.

Papanya tidak kelihatan serius malah, masih boleh tersenyum lebar. Mesti ada perkara yang penting sangat selain dari urusan perniagaan.

"Isy, budak ni...kamu ni takde benda lain ke nak fikir? Ingat sikit, tahun depan papa dah nak timang cucu..." tegur Datuk Kamal apabila anak sulungnya berfikir yang bukan-bukan.

Faiz cepat-cepat menggelengkan kepalanya.

Datuk Kamal tergelak kecil melihat gelagat anak lelaki sulungnya. Jauh sungguh fikiran anaknya melayang.

"Ada hal apa papa nak bincangkan ni?"

Datuk Kamal menekan interkom. Dia meminta setiausahanya membawakan air untu mereka berdua.

Suriati masuk dengan membawa dua cawan kopi. Dua botol air mineral turut tersedia.

"Letak kat situ. Terima kasih, Suriati," ujar Datuk Kamal sejurus Suriati meletakkan air yang dimintanya.

"Ada apa-apa lagi, Datuk?" soal Suriati, lembut.

"Takde...terima kasih."

"Saya keluar dulu ya, Datuk," pohonnya sopan.

Faiz menghadiahkan sebuah senyuman kepada Suriati.

Datuk Kamal bangun lalu melangkah ke arah sofa hitam sambil diikuti oleh Faiz.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now