"ANAK tak guna! Kau ke mana, hah?! Kau tahu tak dah pukul berapa ni? Kakak dan abang kau tu nak makan! Kau balik waktu sekarang, pukul berapa pulak nak masak? Kau nak kami kebulur?!"
"Belum pun sempat kaki mencecah tanah, Emy sudah menerima herdikan begitu. Lima puluh meter sebelum sampai ke rumah tadi, hatinya sudah berdebar-debar. Dia berharap sangat emaknya tidak ada di rumah kala ini. Dari jauh dia sudah melihat emaknya sedang bercekak pinggang menantinya di halaman rumah bersama kata-kata kesat yang mengguris hati.
Emy mengunjukkan barang-barang yang dibelinya sebagai jawapan.
"Hei, budak ni. Kau takde mulut ke? Aku tanya jawablah!"
Hatinya tiba-tiba menjadi sayu. Kenapalah bukan pandangan atau panggilan penuh dengan kasih sayang yang diterimanya? Hari-hari dia melihat wajah kebencian terpamer pada wajah emak. Dosa apakah yang membuatkan emak terlalu membencinya?
Sikap pasif Emy membuatkan Mak Jah semakin berang. Dia mendekati Emy lalu merampas cili merah yang berada di dalam plastik di tangan Emy dan serentak itu juga tangannya terus mengganyang mulut Emy dengan cili merah. Rontaan Emy langsung tidak dipedulikan. Hatinya belum puas selagi Emy belum disakiti.
Emy terbatuk-batuk. Wajahnya mulai membahang. Mulutnya terasa pijar. Dia hampir muntah diperlakukan begitu. Dia cuba untuk bertahan dengan mendiamkan diri, namun dia tidak kuat. Akhirnya, air mata mengalir juga di pipinya. Cukup perlahan tangisannya dilepaskan. Bimbang nanti jika didengar oleh Mak Jah, akan menaikkan kemarahannya.
Namun, lain pula pada tanggapan Mak Jah. Diam Emy membuatkan hatinya bertambah sakit. "Kau ingat kau dah besar, kau boleh lawan aku, hah?! Anak tak guna! Menyusahkan aku aja!"
Dibedalnya badan Emy sekuat hati serentak itu juga mulutnya tidak henti-henti mengeluarkan kata-kata kesat.
Emy pasrah dalam tangisan. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya menadah telinga mendengar caci maki Mak Jah.
"Dah! Pergi bawak barang-barang ni ke dapur. Lagi lama aku tengok muka kau, lagi sakit hati aku ni!" Herdik Mak Jah setelah puas melepaskan geram kepada Emy.
Emy hanya menurut tanpa membantah. Seluruh badannya terasa sengal apabila pukulan emaknya melekat pada bekas pukulan pagi tadi. Ya Allah, bantulah hambaMu ini...bisiknya dalam hati, sayu.
EMY melangkah perlahan masuk ke dalam biliknya. Sempat dia melihat abang dan kakaknya sedang leka menonton televisyen. Agaknya mereka langsung tidak menyedari apa yang berlaku kepadanya sebentar tadi. Jika mereka menyedari sekalipun, abang dan kakaknya tidak mampu berbuat apa-apa.
Emy merebahkan badannya di atas tilam. Dia tidak memiliki katil yang indah sebagaimana abang dan kakaknya miliki, namun dia tidak kisah. Tilam yang sudah kurang empuk dan sedikit lusuh itu sedikit sebanyak berjaya mengurangkan rasa sengal di badanya.
"Emy!!!"
Emy yang hampir terlena itu terperanjat besar apabila terdengar suara emaknya melengking memanggil namanya. Dia segera bangkit. Rasa kantuknya terus hilang sebaik sahaja namanya dilaungkan oleh emaknya dengan cara begitu.
Emy bergegas keluar dari bilik menuju ke dapur. Dia sudah tahu apa yang menyebabkan kemarahan emaknya yang tidak berpenghujung. Dia sedia menerima apa sahaja yang bakal 'menyinggah' di badannya untuk kali ketiga.
"Mana sotong, udang yang aku pesankan tu?" Mata Mak Jah bersinar garang menyoal Emy.
"Emmm...sotong dengan udang takde, mak. Dah habis," jawab Emy dengan terketar-ketar. Jawapan yang paling tidak digemari oleh emaknya.
Serentak itu Mak Jah mencapai Tupperware yang berada berhampiran lalu dibalingnya ke arah Emy. Balingan Mak Jah tersasar kerana Emy sempat mengelak. Melihat sasaran dan perbuatan Emy tadi, tiba-tiba darahnya kembali mendidih. Dia segera menghampiri Emy, namun langkahnya mati ketika Nadia dan Azhar sudah bergegas menghampiri Emy.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...