Bab 45

223 10 1
                                    

AYIE melepaskan keluhan berat. Entah mengapa dadanya terasa sesak tiba-tiba. Perkataan 'sayang' yang digelarkan Bahar buat Emy tadi begitu mengusik hatinya. Tidak menyangka begitu mesra hubungan Emy dan tunangnya. Rupa-rupanya mereka sudah saling mengenali sejak dari kecil lagi. Ah, bertuahnya Bahar kerana berjaya memiliki sekeping hati itu.

Masih terbayang di ruang matanya akan kemesraan yang wujud di antara mereka berdua. Tidak pernah dia melihat Emy ketawa semanis itu. Sungguh, dia cemburu. Sayang dalam hatinya masih belum mampu dipadamkan.

Ayie menyandarkan tubuhnya ke kerusi empuknya. Kepala didongakkan, memandang siling putih bilik pejabatnya. Fikirannya jadi tidak menentu sedari balik dari makan tengah hari bersama pasangan sejoli itu.

Emy sudah menjadi tunangan orang lain. Dan dia sendiri juga sudah ditunangkan dengan gadis pilihan mamanya. Mengingatkan kenyataan itu, hatinya makin tak keruan. Teringat dia akan perbualannya dengan Datin Maimun dua minggu lepas.

"Mama ada hal nak bagitau Ayie ni. Minggu depan Ayie bertunang, kalau boleh mama nak Ayie ikut nenek sama." Datin Maimun membuka bicara.

"Apa, ma? Bertunang?" Ayie sedikit terperanjat. Entah bila mamanya merancang pertunangannya. Calonnya belum ada lagi, tapi mama sudah menetapkan hari pertunangannya. Siapa perempuan yang akan menjadi tunangnya itu?

"Haah... bertunang. Mama memang berkenan sangat dengan budak tu dan mama rasa Ayie takkan tolak, kan?" Datin Maimun mula memancing minat anaknya, tapi Ayie langsung tidak memberi respons yang diharapkannya.

"Siapa, ma?" Perlahan Ayie menyoal. Walaupun dia tidak berminat untuk mengambil tahu, tapi sekurang-kurangnya dia perlu tahu siapa nama tunangnya itu.

"Adalah... nanti Ayie akan tahu juga." Datin Maimun masih lagi mahu berahsia. Dia mahu memberi kejutan buat anaknya.

"Ayie tak dapat pergilah, ma. Ayie kena ada dekat site, sub-con Ayie nak buat pemasangan CCTVlah, ma...." Ayie beralasan. Hatinya belum dapat menerima sepenuhnya apa yang dirancang oleh mamanya. Dia masih terkejut. Hendak membantah, berat pula mulutnya. Akhirnya dia hanya membiarkan Datin Maimun dengan rancangannya.

"Hai, hari bersejarah kamu pun fikir pasal kerja lagi? Takkanlah kamu tak nak tahu siapa bakal tunang kamu tu? Tak nak tengok ke? Ni lagi satu, sejak dua menjak ni mama tengok Ayie ni diam aja, ada masalah ke?" soal Datin Maimun sambil merenung anak bujangnya.

Ayie hanya tersengih menutupi rasa bersalahnya kepada mamanya. Dia tidak menyangka mamanya perasan dengan perubahan tingkah lakunya. Begitu besar pengaruh Emy dalam kehidupannya.

"Takdelah, ma. Ayie penat aja sikit, banyak kerja yang nak kena buat kat site tu," dalih Ayie.

"Hai, ofis papa tu bukan main ramai lagi staf. Takkan anak mama seorang aja yang kena buat? Ha, along tu tak tolong kamu?" Datin Maimun mula membebel.

Ayie ketawa halus. Mamanya memang begitu. Sebut aja pasal kerja, mulalah hendak membebel.

"Diorang ada kerja masing-masing, ma. Along pun dah banyak kerja yang dia nak kena buat. Takkanlah Ayie nak kacau kerja along lagi."

"Pejabat papa kamu tu sibuk benar sampai anak nak bertunang pun tak boleh nak cuti. Jadi, Ayie memang tak boleh pergilah ni? Ayie setujulah dengan pilihan mama?" Datin Maimun melebarkan senyumnya apabila Ayie mengangguk perlahan.

"Ayie minta maaf, ma. Ayie serahkan semuanya pada mama. Baik pada mama baiklah pada Ayie." Ayie menggenggam tangan mamanya.

"Baiklah kalau macam tu. Mama anggap Ayie takde bantahan ni. Mama nak sandingkan kamu dengan along sekali. Kita buat majlis besar-besaran." Lega hati Datin Maimun dengan penerimaan anaknya itu.

Ayie takkan kecewa dengan pilihannya nanti. Hasratnya bakal tercapai, tapi dia sedikit sedih kerana tidak dapat hadir semasa hari pertunangan Ayie. Suaminya masih belum sembuh sepenuhnya. Tidak boleh berjalan jauh dan cepat benar penatnya. Oleh itu, Datin Maimun telah menyerahkan tugas peminangan itu kepada emaknya di kampung.

"Ayie ikut aja, ma. Okeylah, ma. Ayie masuk dulu, lagipun badan ni rasa letih aja." Ayie tidak mampu untuk membantah dalam keadaan dia yang tengah patah hati ini. Lagipun, buat apa dia bantah sedangkan pujaan hatinya telah menolak lamarannya.

"Pergilah, rehatkan badan tu. Asyik kerja aja, tak habis-habis...."

"Hoi, kawan! Amboi... mengelamun sampai tak nampak aku tercongok depan mata ni. Apa yang mengaburkan pandangan mata kau tu sampai badan aku yang besar gajah berdiri depan mata kau pun tak nampak? Kau berangankan siapa tadi?" sapa Maliki yang tiba-tiba muncul.

Tersentak Ayie daripada lamunannya yang panjang. Berterbangan pergi segala perbualannya bersama mamanya sebelum ini dek terjahan suara Maliki yang memenuhi segenap ruang pejabatnya.

Maliki ketawa besar melihat Ayie gelabah. Jauh benar bosnya itu mengelamun sebentar tadi.

Ayie membetulkan duduknya. Wajah Maliki dipandangnya bersahaja. Biar apa pun yang dikatakan oleh Maliki dia langsung tidak ambil hati. Dia masih mampu menyembunyikan status dirinya hatta Maliki sendiri pun tidak mengetahui walaupun hubungannya dengan Maliki agak rapat juga. Dia lebih selesa begini, tidak mahu berita pertunangannya diheboh-hebohkan. "Takdelah. Eh, bila kau masuk, aku tak sedar pun?"

"Macam mana kau nak sedar, kau tengah bayangkan puteri kayangan mana entah!" Maliki menarik kerusi di hadapan Ayie lalu menghempaskan punggungnya perlahan.

"Mana ada. Hah, apa cerita?"

"Kau nak aku cerita apa? Hindustan, Tamil, Melayu?" sakat Maliki yang masih mahu mengenakan Ayie. "Eh, mana pergi secretary kau yang comel tu? Aku tak nampak dia pun masa masuk sini tadi."

"Dia half daylah..." jawab Ayie lemah.

"Ooo... patut la muka kau monyok aja dari tadi. Buah hati takde. Berangan sampai langit ke tujuh."

"Ada-ada ajalah kau ni. Hah, apa hal kau cari aku?"

"Ni hah, kan kau cakap nak tengok proposal yang aku kena siapkan tu? Ni aku dah bawak. Kau check la dulu, takut ada apa-apa yang kau nak tambah nak tolak."

"Esok la aku check. Aku ada kerja lain yang nak kena semak dulu."

"Okay, take your time. Aku pun takde apa-apa lagi. Aku tengok kau pun macam nak sambung termenung aja so, aku keluar dululah." Sakat Maliki sambil tersengih.

"Ha ha ha! Ada-ada ajalah kau nikan...."

"Aku keluar dulu. Kalau kau nak share apa yang kau berangan tu dengan aku, kau tahu mana nak cari aku kan?" Maliki cuba memancing, manalah tahu Ayie perlukan teman untuk berkongsi cerita atau masalahnya bersama.

"Dah... dah! Buat kerja lagi bagus la."

Maliki berlalu dengan ketawa yang masih kedengaran.

Teruk benarkah wajahnya hingga Maliki dapat mengesannya? Ayie menarik nafas dalam-dalam, menstabilkan nafasnya agar dia tidak terus dibayangi perkara yang telah berlalu.

Ayie merenung meja kosong di depan biliknya melalui cermin kaca biliknya. Kosong. Sekosong hatinya kini. Melihat kebahagiaan Emy bersama tunangnya tadi tahulah dia yang Emy bahagia bersama si dia. Dia harus belajar melupai Emy walaupun dia terpaksa merangkak.

Dia juga tidak mahu menyakiti hati mamanya jika orang tuanya dapat menghidu ada sesuatu di antara dia dan Emy sedangkan dia dan Emy masing-masing sudah bertunang.

Dia harus memberi peluang kepada hatinya untuk mengenali hati budi tunangnya itu. Siapa pun perempuan itu, dia harus membuka seluas-luas pintu hatinya untuk menerimanya sebagai tunangnya.

Rasa bersalah mula menjalar dalam hati kerana terlalu memikirkan hati yang kecewa. Dia telah mengabaikan hati tunangnya. Tentu wanita itu kecewa apabila mengetahui dalam hatinya masih tersimpan wanita selain daripadanya.

Ayie menarik nafas dalam-dalam, mencari sedikit kekuatan untuk menghadapi hari mendatang. Mampukah dia melupakan Emy atau terus membiarkan hati tunangnya terus dilukai?

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now