SEPANJANG perjalanan ke tempat kerja, Emy hanya diam membisu. Dia berdebar-debar untuk menjejakkan kakinya ke pejabat walaupun dia tahu 'Faiz' tiada di pejabat selama dua hari. Bagaimana keadaannya nanti apabila 'Faiz' sudah pulang? Dan Emy takut dia kalah dengan renungan 'Faiz' yang seakan-akan menggoda naluri wanitanya.
Nadia menoleh seketika ke arah Emy yang diam membisu sedari tadi. Belum pernah dia melihat adiknya berperangai begitu. Apa agaknya yang difikirkan oleh Emy ketika ini? Adakah kerana rindukan emak di kampung atau pekerjaannya yang terlalu membebankan?
"Kenapa ni, dik? Macam muka orang bersalah aja ni...." Nadia sekadar bergurau untuk menyelami hati Emy yang baru mengenali kota metropolitan itu.
Emy sedikit menggelabah mendengar soalan yang tidak semena-mena keluar daripada bibir kakaknya itu. Jari-jemarinya memintal-mintal hujung tudung. Sehingga berkeronyok hujung tudungnya apabila tangannya tidak henti-henti memintal bagi menutupi rasa gugupnya.
Macam manalah kakaknya boleh perasan? Kalaulah Nadia tahu apa yang dimimpikannya malam tadi, adakah kakaknya akan memarahinya? Jika dia memendamkan apa yang dimimpikannya malam tadi, bimbang ia akan mengganggu perasaannya sepanjang hari. Emy serba salah.
Nadia bagaikan dapat membaca seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran adiknya. Pun begitu, dia masih menunggu 'skrip' yang jelas daripada bibir adiknya.
"Kalau Emy ceritakan pada akak...akak boleh janji tak?"
Emy cuba bermain tarik tali dengan kakaknya. Bimbang juga ia boleh merosakkan hubungan adik-beradik antara mereka. Dia terlalu menyayangi kakaknya. Hanya Nadialah tempat dia mencurah suka duka kehidupannya selama ini.
"Apa yang Emy nak bagitau kakak ni? Cakaplah." Nadia merenung Emy sekilas sebelum memandang semula ke hadapan, fokus pada pemanduannya.
Sepi.
"Apa susah sangat ni? Emy tak suka kerja kat situ ke?" teka Nadia apabila adiknya masih teragak-agak mahu membuka mulut.
Sungguh, kalau Emy tidak selesa bekerja di situ, dia sanggup carikan kerja lain untuk adiknya. Dia mahu yang terbaik untuk Emy, mempunyai kerjaya yang boleh menjamin masa depan. Dia tidak mahu adiknya melalui kesusahan seperti yang dilaluinya sepanjang hidupnya di kampung.
"Bukan pasal tu, kak...."
"Habis tu? Kalau bukan pasal kerja, pasal apa pula ni?" tanya Nadia.
"Malam tadi Emy mimpi...." Emy menarik nafasnya sedalam mungkin lalu dihembusnya perlahan-lahan. Dia berbelah bahagi sama ada untuk menceritakan kepada kakaknya atau dipendam sahaja.
"Emy mimpi apa ni sampai takut nak ceritakan pada akak? Ni mesti ada putera raja yang masuk meminang Emy nikan? Kalau tak, takkan Emy malu nak ceritakan pada akak," seloroh Nadia lalu mengerling ke arah Emy yang tersenyum tawar.
"Emmm... Emy... Emy...mimpi Abang Faiz luahkan perasaannya pada Emy dan waktu dia luahkan pada Emy, akak ada kat situ. Tapi, belum pun Emy sempat jelaskan pada akak, akak dah tinggalkan Emy. Akak cakap Emy bukan lagi adik akak. Emy kejar akak, tapi akak tak toleh pun pada Emy..." luahnya sebak tanpa menoleh kepada Nadia.
Nadia terdiam. Dia merenung tunak ke hadapan. Kereta bersusun menunggu giliran untuk membayar tol. Suasana sepi seketika dan tiba-tiba kesunyian itu dipecahkan dengan ilai tawa Nadia yang tidak disangka-sangka.
Emy memandang hairan kakaknya yang sedang galak ketawakannya.
"Kenapa akak ketawa?" soal Emy tidak berpuas hati dengan reaksi kakaknya itu.
Setelah Nadia reda dari ketawanya, dia memegang tangan adiknya. "Emy... Emy...."
Nadia menggelengkan kepalanya beberapa kali.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
Любовные романыEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...