AKHIRNYA tiba juga Emy di kota metropolitan yang penuh dengan cabaran dan pancaroba. Bangunan-bangunan di sekelilingnya tinggi-tinggi belaka. Dia betul-betul kagum. Selama ini, dia hanya melihat di kaca TV sahaja, tetapi kini dia melihat dengan mata kepalanya sendiri. Bertuah sungguh dirasakan dirinya ketika ini.
"Macam manalah diorang boleh duduk kat tempat tinggi macam nikan, kak? Tak gayat ke? Tentu lenguh kaki diorang tu duk panjat tangga hari-hari," omel Emy umpama rusa masuk kampung.
Nadia hampir tergelak mendengar celoteh Emy. Dia tahu ini adalah pertama kali adiknya menjejakkan kaki ke kota besar. Sudah tentu adiknya perlu banyak belajar. Persoalan Emy hanya dibiarkan sepi. Lama-lama nanti tahulah dia.
Sesekali Emy memandang ke depan, sesekali pula tubuhnya berpusing ke kiri dan kanan. Namun, matanya masih liar memerhatikan sekelilingnya.
Nadia memerhati gelagat adiknya. Biarlah dia melihat puas-puas, benda baru baginya. Esok lusa puaslah dia tu.
Telefon bimbit Nadia berdering beberapa kali. Dia menjawab panggilan daripada tunangnya itu. Nadia bercakap beberapa minit dengan Faiz. Sesekali dia tergelak apabila menceritakan hal Emy. Adiknya di sebelah hanya menjeling geram. "Jom, dik. Abang Faiz ajak kita makan... nak tak?"
"Emy tak kisah. Emy ikut aja, kak," jawab Emy bersahaja. Lagipun, dia belum puas menatap permandangan ibu kota itu. Kesesakan jalan raya dirasakan seperti satu pesta.
Emy memerhatikan deretan kereta di atas jalan apabila lampu isyarat bertukar merah. Sesekali dia tersenyum memerhati gelagat warga kota. Pantas mengejar masa. Hanya dia agaknya seorang yang masih lagi terleka dengan dunianya sendiri.
Cabaran menanti di depan mata. Dia mahu membuktikan kedatangannya ke Kuala Lumpur bukan sesuatu yang sia-sia. Dalam diam, dia menanam azam mahu membuktikan kepada emaknya yang dia bukannya seorang anak yang cepat lupa jasa ibu yang melahir dan membesarkannya.
"Kat sini memang macam tu, Emy. Berkejar ke sana ke mari. Jalan pulak asyik jammed aja. Tengok sekarang ni, lebih-lebih lagi waktu puncak macam ni." Seperti memahami apa yang bermain di fikiran adiknya, Nadia meluahkan pengalamannya yang sudah lama tinggal di kota.
Emy tersentak daripada lamunan apabila Nadia bersuara. Terangguk-angguk kepalanya mendengar omelan kakaknya itu.
"Agaknya, makan pun tak sempat...kan, kak?"
"Ala, kalau yang kuat kerja memang macam tu la. Makan pun fast food aja."
"Ooo...." Emy hanya mengiakan kata-kata Nadia. Lagipun kakaknya itu lebih lama dan faham dengan keadaan di kota besar ini.
"Tapi hidup di KL ni kena hati-hati. Kena bijak, jangan sampai kita ditipu..." pesan Nadia.
"Kena tipu? Maksud akak?"
"Kita kena hati-hati. Kena pandai pilih kawan, kalau tak kita yang hanyut. Ramai yang terkena penyakit kejutan budaya kat sini," terang Nadia.
"Kejutan budaya?"
"Yalah, datang dari kampung tapi bila dah sampai ke kota ni tersalah pilih kawan dan tak kuat iman terus lupa diri, lupa asal usul. Tewas dengan godaan kota," sambung Nadia lagi.
Emy hanya mengangguk.
"Okey, dik. Kita dah sampai ni. Jom, perut akak pun dah lapar sangat ni."
Faiz sudah pun menunggu mereka di tempat yang dijanjikan. Dia menyambut kedatangan dua gadis itu dengan senyuman. Sudah diajak Ayie makan sekali, tapi adiknya menolak dengan alasan klisenya, 'banyak kerja'.
"Jom kita makan dulu. Faiz tahu, Nadia dan Emy tentu dah lapar ni." Faiz terus sahaja memanggil pelayan untuk mengambil pesanan mereka.
Lima belas minit kemudian, pesanan makanan mereka sudah terhidang di hadapan mereka. Mereka bertiga terus menjamu selera.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...