EMY menunggang motornya menghala ke Kampung Banggol Tok Esah setalah membeli barang-barang dapur. Hatinya yang girang membuatkan dia memecut laju motosikalnya.
Seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia dua tahun melintas secara tiba-tiba. Emy terkejut dan sepantas kilat dia menekan brek motosikalnya dengan kuat. Bunyi bising yang terhasil daripada geseran menyebabkan beberapa orang mak cik yang sedang berborak di tepi jalan itu memandangnya. Dan serentak mulut mereka menjerit apabila motornya hampir benar hendak melanggar kanak-kanak itu.
Brek motosikal tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Dengan kelajuan yang belum berkurang, Emy melihat si kecil hanya tersengih memandangnya. Langsung tidak menampakkan riak ketakutan di wajahnya, tapi sebaliknya dia pula yang cuak dan berada dalam keadaan cemas. Nasib baik Emy sempat mengelak daripada melanggar budak itu.
Emy semakin kecut perut apabila motosikalnya masih lagi laju membelah jalan. Berkali-kali dia menekan pedal brek, tapi tidak berhasil. Akhirnya, jalan terakhir yang dia ada adalah dengan menjulurkan kedua-dua belah kakinya ke atas jalan. Geseran kakinya pada jalan terasa amat pedih, namun dibiarkan sahaja rasa itu. Tanpa dapat dikawal lagi, motornya yang sudah uzur itu akhirnya terbabas ke tepi parit. Emy 'tersadai' bersama motosikal kesayangannya.
Beberapa orang yang melihat kejadian itu berkejaran mendapatkan Emy yang mengaduh kesakitan. Mak cik-mak cik tadi turut membantunya mengangkat motosikalnya.
"Sakit, dik?" tanya salah seorang kakak yang berbadan gempal itu.
Emy mengangguk. Dia cuba berdiri, tapi tidak berdaya. Rasa sengal di pergelangan kakinya membantutkan pergerakannya.
Kakak itu memapah Emy ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat kejadian. Cairan merah mula menitis membasahi seliparnya.
"Nanti kakak ambilkan ubat, tunggu ya...."
Emy hanya mengangguk. Rasa pedih dan sengal di seluruh badannya membuatkan dia mendiamkan diri. Sesekali dahinya berkerut menahan kesakitan. Motosikalnya telah dibawa oleh mak cik-mak cik itu ke halaman rumah kakak yang dikenali sebagai Kak Maya. Beberapa orang mak cik dan kakak yang melihat kejadian tadi juga turut mendekatinya.
"Adik tak apa-apa?" tanya mak cik yang berusia dalam lingkungan enam puluhan dan memakai mini telekung menutupi kepalanya itu.
"Tak, mak cik. Sikit aja ni."
Mereka yang berkerumun itu mula beransur pergi. Hanya mak cik tua itu yang setia menemaninya. Mereka saling berbalas senyuman.
"Dari mana nak ke mana? Anak siapa?" tanya mak cik tua itu sambil melabuhkan punggung di sisi Emy.
"Dari Pasar Manir, mak cik. Nak ke rumah Mak Cik Bedah ambil kuih mak tempah semalam. Mak Emy namanya Khadijah," jawab Emy sambil mengurut perlahan pergelangan tangannya.
"Anak Khadijah...kampung sebelah tu?"
Emy mengangguk, mengiakan kata-kata mak cik yang tidak dikenali itu. Lama pula terasa menunggu Kak Maya mengambil ubat. Emy menilik-nilik lukanya beberapa kali. Sakitnya semakin berkurangan.
"Sikit aja.... esok lusa baiklah tu." Mak cik tua itu bersuara, meredakan keresahan Emy.
"Adik tadi tak apa-apa ke, mak cik?" soal Emy apabila teringat akan kanak-kanak yang hampir dilanggarnya tadi. Kepalanya melilau mencari kelibat kanak-kanak yang melintas di hadapannya tadi. Tiada. Hatinya tiba-tiba resah. Ya Allah, selamatkanlah adik tadi, doanya dalam hati.
"Oh, Sopi tu? Dia tak apa-apa. Ada tu hah, tengah makan aiskrim. Dia tu suka sangat main tepi jalan, tak boleh leka sikit maknya. Nakal sungguh," omel mak cik tua itu bersungguh-sungguh.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...