NADIA berusaha memujuk emaknya. Dia telah maklumkan kepada emaknya tentang hasratnya untuk membawa Emy tinggal bersama dengannya. Wajah emaknya ditatap penuh mengharap.
"Habis, mak ni macam mana?" Mak Jah memandang sekilas ke arah Nadia. Memang berat untuknya melepaskan Emy pergi. Dia tidak mahu Emy memperolehi lebih daripada apa yang Nadia perolehi. Dia risau Emy akan merampas Faiz daripada Nadia memandangkan dia memang ada sejarah hitam.
"Itulah mak, kalau boleh Nadia nak ajak mak tinggal bersama. Lagipun, kat kampung ni bukannya ada apa. Ayam itik mak pun dah dibagikan pada Mak Cik Senah, kan?" Nadia menggosok perlahan tangan emaknya, begitulah kelakuannya apabila mahukan sesuatu dan 'senjata' itulah melemahkan Mak Jah.
Mak Jah hanya mendiamkan diri. Dia perlu pertimbangkan dengan sebaik-baiknya. Jika dia melepaskan Emy pergi siapa yang akan menjaganya kalau dia sakit pening nanti? Emy masih berguna kepadanya walaupun gadis itu sering diherdiknya.
Tapi bila difikirkan, jika dia menahan kehendak Nadia kesian pula anaknya tidak berteman di sana. Lagi susah kalau terjadi apa-apa. Lagi pula zaman sekarang macam-macam boleh jadi jika tinggal seorang diri di bandar besar. Jika dia tinggal di kampung sendirian, dia masih boleh lagi meminta tolong jiran tetangga. Senah, kawan baiknya masih ringan tulang membantunya. Hendak menetap terus di sana tidak sanggup pula rasanya kerana dia masih sayangkan rumah pusaka arwah ayahnya.
"Emmm...." Mak Jah menarik nafas dalam-dalam lalu menghembusnya perlahan. Memerhati seraut wajah mengharap anak yang dikasihinya. Nadia ditatang bagaikan minyak yang penuh. Segala permintaannya tidak sanggup untuk dia menolak.
"Macam nilah mak. Kalau mak tak nak ikut, Nadia akan pastikan setiap hujung bulan Nadia dan Emy akan balik jenguk mak. Macam mana? Nadia bukannya apa...mak, kan tahu Nadia tinggal sesorang kat sana. Nak cari teman yang boleh tinggal bersama takut Nadia tersalah pilih kawan sebab itulah Nadia ajak Emy. Lagipun Nadia kesian kat adik. Sekurang-kurangnya boleh juga dia bekerja. Boleh ya, mak?" Nadia cuba berdiplomasi dengan emaknya. Jika kena pada gayanya, permintaannya itu pasti tidak akan ditolak.
"Kenapa, kat kampung ni dah takde kerja lagi ke? Berlambak kalau dia nak. Tak cukup lagi makan pakai yang aku bagi selama ni?" Mak Jah belum mahu mengalah. Mendidih pula darahnya apabila mendengar Nadia memikirkan nasib Emy.
"Mak... biarlah Emy bekerja. Boleh dia kumpul duit untuk sambung belajarnya. Dia pun teringin juga nak masuk universiti. Lagipun, Nadia dah habis belajar dan dah bekerja pun. Mak jangan risau, perbelanjaan Emy nanti Nadia yang tanggung."
"Huh, kalau dah berjaya nanti tentu dia lupakan jasa aku yang besarkan dia!"
Nadia sedikit terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh emaknya. " Mak...kenapa mak cakap macam tu? Emy, kan anak mak juga, adik Nadia? Takkan dia nak lupakan kita, mak?"
Nadia memeluk Mak Jah dengan erat. Dia cukup mengenali siapa adiknya. Entah kenapa Mak Jah berkata begitu.
Emy yang berada di sebalik dinding biliknya duduk terjelepok apabila mendengar kata-kata Mak Jah. Begitu sangkaan emaknya terhadap dirinya selama ini? Air mata yang ditahan itu akhirnya gugur juga. Suara Nadia yang masih memujuk Mak Jah masih kedengaran jelas.
Emy menutup kedua-dua belah telinganya, tidak sanggup dia mendengar bicara yang boleh membuatkan hatinya bagaikan dirobek-robek. Terlalu perit pula menelan kata-kata yang lahir daripada mulut seorang ibu. Dia merebahkan diri di atas tilam usang miliknya, tenggelam dalam emosinya sendiri.
SEAWAL jam lima setengah pagi, Emy telah membersihkan diri. Air telaga yang sudah sebati dengan tubuhnya terasa segar menyentuh kulitnya. Terasa kesejukan pagi mencengkam hingga ke tulang hitam. Sesekali bibirnya terketar-ketar menahan sejuk. Air telaga tetap menjadi pilihannya walaupun rumahnya telah lama dipasang air paip.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...