EMY berpeluh-peluh apabila berada di dalam bas yang semakin sesak. Inilah kali pertama dia menaiki kenderaan awam itu sejak dia tinggal di Kuala Lumpur. Pesanan Nadia malam tadi supaya dia ke pejabat menaiki teksi diabaikan. Dia mahu belajar berdikari dan pilihannya ialah dengan menaiki bas.
Seawal pagi dia bangun dengan wajah berseri-seri walaupun ada sedikit debar apabila mengenangkan hari ini pertama kali dia menaiki pengangkutan awam itu. Setengah jam dia menunggu bas. Dia sedikit terkejut dengan keadaan penumpang di dalam bas. Penuh dan berasak-asak. Dia serba salah hendak naik atau menunggu yang lain dan seketika itu juga dia mendengar penunggu bas yang lain bersungut.
"Tunggu yang lain pun macam ni juga keadaannya, lagi teruk adalah."
Tidak jadi dengan niatnya itu, Emy terus masuk ke dalam bas. Pergerakan bas dirasakan amat perlahan mungkin kesesakan jalan mulai terasa. Makin ramai pula penumpang yang memenuhi ruangan bas. Dia berundur ke belakang, hampir juga dia tersadung.
Beberapa kali Emy melihat jam di pergelangan tangannga. Dah hampir pukul sembilan pagi ni, e-mel belum lagi aku hantar. Alahai, handset ni pun satu. Dari tadi asyik berbunyi, senyap tak boleh ke?
Setiap kali telefon bimbitnya berbunyi, mengundang berpasang-pasang mata kepadanya. Dia berlagak bersahaja, seolah-oleh bunyi itu bukan datang daripadanya.
Sedari tadi telefon bimbitnya berbunyi. Dia tahu panggilan itu tidak lain dan tidak bukan daripada bosnya sendiri. Bukan sengaja dia tidak mahu menjawabnya, tapi memandangkan keadaannya yang berasak-asak di dalam bas membataskan pergerakannya.
Emy terasa menyesal pula kerana tidak mengikut kata Nadia. Kakaknya itu outstation selama dua hari. Walaupun kakaknya sudah berpesan supaya menggunakan perkhidmatan teksi sahaja, tetapi dia tetap berdegil. Kononnya hendak merasa sendiri naik bas ke tempat kerja. Tidak disangka pula begitu keadaannya di dalam bas.
Tiba-tiba bas yang sedang laju bergerak itu membrek secara mengejut. Beberapa penumpang menjerit.
Emy pula tersembam ke dada pemuda yang berada di hadapannya. Nasib baik dia cepat-cepat melarikan badannya. Jika tidak, sudah tentu pemuda itu dapat memeluknya dengan percuma. Meremang tengkuk Emy apabila lelaki itu memandangnya. Dia cepat-cepat mengalihkan wajahnya, malu juga dengan insiden yang tidak disangkakan itu.
Baik punya pemandu bas. Dah tahu jalan sesak, bawak laju tu kenapa! Hatinya merengus geram. Kurang senang dengan sikap pemandu bas yang tidak berhati perut. Tidak terfikirkah si pemandu keadaan di dalam bas ini?
Turun sahaja dari bas, Emy menghembus nafas lega. Inilah pengalaman pertamanya menaiki bas dan berasak-asak di dalamnya. Dia nekad, balik petang nanti dia akan menaiki teksi. Biar tambang mahal asalkan dia tidak lagi berada dalam keadaan begitu.
Dia seram mengingati dirinya berasak-asak dengan beberapa orang penumpang lelaki. Nasib baiklah lelaki-lelaki itu tidak mengambil kesempatan ke atasnya. Jika tidak, tidak sanggup dia membayangkan apa yang akan terjadi nanti.
Sampai sahaja ke pejabat, Emy memeriksa panggilan yang tidak sempat dijawabnya. Terdapat lima miss called tertera di skrinnya. Seperti yang dijangka, panggilan itu semuanya datang daripada Ayie. Sudah tentu Ayie sedang menanti e-mel yang sepatutnya dikirimkan kepadanya pagi ini.
"Apa aku nak cakap ni kalau dia tanya?" omelnya sendirian. Hatinya berdebar-debar. Dia menarik nafas dalam-dalam, mencari ketenangan yang sudah tidak dirasainya lagi. Peluh merembes keluar bagaikan air mandian. Penyaman udara yang terpasang sedikit pun sudah tidak terasa sejuk.
Baru sahaja hendak menulis e-mel, telefon di sebelahnya berdering lagi membuatkan jantungnya hampir tercabut. Debaran semakin menggila apabila membayangkan suara yang akan menerobos ke lubang telinganya itu nanti adalah suara Ayie yang berada dalam kemarahan.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomanceEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...