Bab 43

242 9 0
                                    

EMY merenung dirinya sendiri di cermin dengan pandangan kosong. Jika cermin itu boleh menembusi hatinya sudah tentu mereka semua tahu betapa sukarnya dia untuk menerima kenyataan ini.

Mak Cik Senah sudah beberapa kali menjenguk ke dalam biliknya. Mak Jah pula entah ke mana, langsung tidak menampakkan wajah walaupun sekali.

Rawan di hati semakin membukit. Air mata yang mulai bergenang disekanya dengan jari. Selendang putih bermanik yang dipadankan bersama tudung putih di kepalanya itu kadangkala melurut ke bawah beberapa kali dibetulkan kedudukannya. Kakak yang diharapkan ada di sisi juga tidak menampakkan muka.

Emy menarik nafas dalam-dalam, tidak mahu menyesali nasib yang melanda dirinya. Tidak mahu perasaan jahat menguasai diri. Dia perlu kuat dalam menerima setiap apa yang tertulis buat dirinya biarpun orang yang diharapkan tidak lagi mampu memberi harapan.

Suasana di ruang tamu tenang-tenang sahaja. Dia masih belum menjenguk ke luar untuk melihat keluarga yang datang untuk menyarungkan cincin pertunangannya. Dia tahu majlis itu berlangsung secara sederhana. Hanya beberapa orang jiran tetangga sahaja yang dijemput.

Sesekali fikiran jahatnya menerpa. Mengapa majlisnya hanya keluarga terdekat sahaja, tidak semeriah pertunangan Nadia? Pun begitu, dia cepat tersedar. Seharusnya dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya tidaklah lama dia perlu menahan senyum di hadapan orang nanti.





SEBAIK sahaja kata putus diberikan, Emy dibawa keluar oleh Mak Cik Senah untuk disarungkan cincin. Saat terpandang tetamu yang hadir, Emy terpempan. Tidak menyangka hanya seramai itu tetamu yang datang. Sayu hatinya memandang. Keluarga sebelah pihak lelaki hanya ada dalam sepuluh orang sahaja.

Emy membalas setiap senyuman yang menyapanya. Dia tercari-cari pula di mana emaknya. Nun di sana kelihatan Mak Jah sedang rancak berbual dengan jiran-jiran yang lain, bagaikan majlis pertunangan ini tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Hampir tumpah air matanya saat itu, namun begitu ditahannya agar tidak bercucuran di hadapan para tetamu.

Emy duduk bersimpuh di sebelah Mak Cik Senah. Terasa Mak Cik Senah pula ibunya. Emy berusaha mengukir senyuman sebelum cincin emas bertatahkan sebutir permata tersarung ke jari manisnya.

"Kenapa muka sedih aja ni?"

Emy melarikan wajahnya tatkala Mak Cik Senah perasan akan kesuraman di wajahnya.

"Pandang mak cik ni, Emy. Kamu tak suka dengan pertunangan ni? Cuba cakap pada mak cik. Emy kena paksa dengan mak, ya?"

Emy merenung wajah Mak Cik Senah. Dia memgukir sebuah senyuman walaupun payah. "Takdelah, mak cik. Emy sedih sebab Kak Nadia takde di hari pertunangan Emy."

"Takpelah, Emy. Nak buat macam mana? Dia tak dapat cuti agaknya tu. Dah la, jangan sedih-sedih lagi. Sekejap lagi dah nak sarung cincin," pujuk Mak Cik Senah.

"Cantik Emy hari ni...." puji Mak Cik Senah. Dia tersenyum bahagia melihat Emy membesar menjadi gadis yang cantik lagi masih mengekalkan adat ketimuran. Sepasang mata itu mengingatkan dia kepada seseorang. "Dah, jangan sedih-sedih lagi. Tak lama lagi awak dah nak jadi isteri orang. Mak cik doakan Emy bahagia. Abang Bahar nak jumpa Emy tadi tapi, tak sempat."

"Abang Bahar dah balik, mak cik?" soal Emy dengan mata yang bercahaya.

"Dah... ada kat rumah tu. Ajak datang sini, dia tak mahu. Apa yang nak dimalukan, mak cik pun tak fahamlah dengan Abang Bahar kamu tu."

Emy tersenyum manis. Sudah lama benar dia tidak bersua muka dengan Bahar, insan yang sentiasa menjaganya setiap kali dibuli. Dirasakan Bahar seperti abang kandungnya selain Azhar.

Pertungangan tanpa kerelaannya berlangsung jua dalam majlis yang sederhana. Wanita yang menyarungkan cincin di jarinya itu manis senyumannya walaupun usianya mungkin sudah menjangkau tujuh puluhan. Emy tersenyum memandang wajah tua itu. Dia diberitahu itu adalah nenek kepada bakal tunangnya.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now