Bab 44

220 9 0
                                    

SEORANG wanita datang menghampirinya dalam pakaian serba putih. Emy mengerutkan dahinya. Dia mengamati wajah yang berdiri di depannya kini. Kabus putih sesekali mengaburkan pandangannya. Ada senyuman menguntum di bibir wanita itu. Wajah yang manis mendamaikan itu memandangnya lalu menyentakkan hatinya. Serasanya dia belum pernah meihat wanita itu di mana-mana.

Kakinya masih terpaku tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Perasaan hairan terus bermain di hati apabila melihat tangan wanita itu seakan-akan ingin mendakapnya. Emy memandang sekelilingnya, tiada siapa di situ melainkan hanya mereka berdua. Seingatnya dia belum pernah menjejaki ke daerah asing itu.

Tangan wanita itu masih lagi menggamit. Emy masih kaku di tempat dia berdiri. Tidak melangkah ke mana-mana walaupun tangan wanita itu berusaha untuk mencapainya. Dia berusaha mencari bayang-bayang wajah yang dikenalinya, namun tiada.

"Wahai anakku, bersabarlah. Sabar itu memacu kita ke puncak segala-galanya."

Suara wanita itu cukup menyentuh hatinya. Mengapa dia rasa begitu tenang mendengar ayat yang dituturkan oleh wanita itu. Siapakah dia? Sebaik sahaja dirinya hendak bertanyakan siapa wanita itu, wanita berpakaian putih itu terus menghilang entah ke mana.

"Nanti!"

Tiba-tiba Emy dikejutkan daripada tidur. Tercungap-cungap dia menahan nafas. Peluh merenik seluruh tubuh. Lelah bersisa di hujung nafas. Matanya melingas di seluruh ruang kamarnya. Dia beristighfar beberapa kali. Wajah wanita dalam mimpinya tadi masih lagi terbayang-bayang. Siapakah wanita dalam mimpinya itu? Wajah mereka mirip sekali. Apa pula kaitan wanita itu dengan hidupnya?

"Astaghfirullahalazim. Mimpikan mainan tidur...." Kata Emy pada dirinya sendiri.

Apabila dirinya kembali tenang, Emy kembali membaringkan diri. Hendak mengerjakan solat sunat tahajud, dirinya keuzuran. Jenuh dia cuba melelapkan matanya, namun matanya tidak juga terpejam. Puas mengiring je kanan, dia berkalih pula ke kiri. Pun begitu kelopak matanya tetap degil untuk terus lena. Mungkin kerana fikirannya yang masih tertumpu pada mimpinya sebentar tadi.

Emy akhirnya bangun lalu bersandar di kepala katil. Dia memandang di sekeliling biliknya yang cuma disinari lampu tidur.





"AWAL bangun pagi ni..." tegur Nadia sebaik sahaja melihat Emy duduk berteleku di atas sofa.

Sejak peristiwa Emy menolak lamaran Ayie, dia jarang bercakap dengan adiknya. Majlis pertunangan Emy pun langsung dia tidak ambil tahu. Dia masih belum mampu menerima sebarang alasan daripada Emy.

Emy tersentak. Entah bila Nadia muncul, dia langsung tidak menyedarinya.

"Tak boleh tidurlah, kak..." jawabnya jujur. Memancing Nadia untuk bersembang dengannya.

Sungguh, dia rindukan kemesraan mereka sebelum peristiwa yang mendinginkan hubungan mereka itu. Dengan siapa lagi dia mahu berkongsi kisah hidupnya selain daripada Nadia. Dia tidak punyai sesiapa. Emy berharap agar Nadia memberinya sedikit ruang untuk menjelaskan semuanya, tapi mana mungkin Nadia mahu menerimanya. Hendak bercakap dengannya pun Nadia masih dingin.

"Hai, baru jadi tunangan orang dah tak boleh nak tidur..." perli Nadia.

Emy langsung tidak terasa hati dengan kata-kata Nadia. Dia tahu kakaknya masih marahkannya. Dia hanya mampu berserah agar suatu hari nanti Nadia memahami mengapa dia berbuat begitu.

"Akak nak makan apa pagi ni? Biar Emy masak." Emy cuba berlembut dengan kakaknya. Sampai bila Nadia mahu bersikap dingin dengannya? Dia tidak betah tinggal bersama dengan Nadia jika berterusan begini. Besar sangatkah kesalahannya?

"Masaklah apa-apa pun..." jawab Nadia acuh tak acuh lalu kembali ke biliknya.

Emy hanya memandang kosong sehingga Nadia hilang ke dalam biliknya. Mood untuk menyediakan sarapan pagi hilang tiba-tiba.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now