Bab 32

191 8 0
                                    

NADIA mencapai kunci kereta lalu bergegas keluar dari rumahnya menuju ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Dia telah mengambil cuti separuh hari semata-mata mahu menyambut kepulangan Faiz. Bibirnya tidak lekang daripada mengukir senyum.

Sampai sahaja di KLIA, kelihatan kelibat Faiz yang sudah pun menunggunya. Tanpa berlengah, Nadia mendapatkan Faiz yang tersenyum riang melihatnya. Segala rindu yang terpendam bagaikan terlerai sebaik sahaja mereka bersua.

"Wah, makin hensem Nadia tengok Faiz sejak balik dari China ni. Ada apa-apa ke?" soal Nadia sambil jalan beriringan menuju ke kereta.

"Mestilah... dah dapat jumpa buah hati. Hilang semua rindu, tau."

"Kalau hilang rindu tinggal apa pulak?"

"Hilang rindu tinggallah sayang." Faiz ketawa apabila berjaya membuat Nadia membuntangkan matanya.

"Amboi, romantisnya. Ni mesti ada apa-apa, kan? Kalau tak, Faiz takkan pelik macam ni."

"Pelik ke Faiz ni?" soal Faiz sambil memandang Nadia yang sedang memandu.

Nadia berpaling, menatap wajah tunangnya sekilas. Dia tahu Faiz mahukan penjelasan daripada nadanya. "Ya la... biasanya Faiz serius aja. Nak bergurau pun susah."

"Ya ke?" soalnya yang inginkan kepastian. Selama ini begitukah dia?

"Nadia rasa Faiz kena selalu pergi ke China la, baru mood Faiz okey."

"Ooo... Nadia nak Faiz selalu berjauhan dengan Nadia ke?" Faiz kurang puas hati dengan jawapan Nadia.

"Takde la, Nadia rasa Faiz ni masuk dengan angin China. So, kalau Faiz ada masalah, baik Faiz ke China. Comfirm bila balik sini semula Faiz dah okey," ujar Nadia, sengaja mahu mengusik Faiz. Lain benar dia melihat perangai Faiz yang baru tiba dari China, tapi ternyata dia cukup senang dengan perubahan Faiz itu.

"Huh, tak sayang Faiz langsung." Faiz buat-buat merajuk.

"Eh, merajuk pulak. Ala, bucuk-bucuk tenyum cikit..." usik Nadia lalu meletus ketawa daripada bibir Faiz.

Sebaik sahaja sampai ke destinasi yang dituju, kereta diparkirkan di kawasan lapang. Mereka sama-sama menuju ke restoran yang selalu menjadi tempat persinggahan mereka.

"Macam mana dengan Emy? Dia dapat sesuaikan diri dengan kerjanya tak?" soal Faiz ketika mereka baru menghabiskan makan malam bersama.

Nadia mengangguk perlahan.

"Emmm... Nadia rasa okey la tu kut. Setakat ni dia takde merungut atau minta Nadia carikan kerja lain untuk dia," jawab Nadia sambil meneguk jus orennya.

Faiz hanya mendiamkan diri beberapa ketika. Seperti sedang memikirkan sesuatu.

Nadia menaikkan sebelah keningnya, memandang ke arah Faiz.

"Faiz rasa nak naikkan pangkat dialah. Faiz nak dia jadi setiausaha adik Faiz. Si Fariz tu. Ya la, Nadia tahu kan... Fariz tu mana ada setiausaha lagi. Asyik kongsi setiausaha Faiz aja. Kesian pulak Suriati nanti. Makin bertambah kerjanya," usul Faiz.

"Emmm... Faiz cuba la tanya dia. Nadia tak boleh nak kata apa. Tengok pada keupayaan dia."

"Esok Faiz try bincang dengan Fariz dulu macam mana." Ujar Faiz. "Dah, jom kita balik...."






FAIZ melangkah menuju ke bilik Ayie. Belum sempat dia memulas tombol pintu bilik adiknya itu, Datuk Kamal menegurnya dari belakang. Dia berpaling ke arah papanya.

"Hah, nak jumpa angah ke? Tak payah la, dia baru aja keluar dengan kawan-kawannya tadi. Lagipun, dia tak tahu pun kamu dah balik."

Faiz tidak jadi meneruskan niatnya. Hajatnya untuk berbincang mengenai perkara yang dicadangkan kepada Nadia tadi terpaksa ditunda. Hendak dibincangkan di pejabat esok, dia masih menyambung cuti sebelum kembali bertugas.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now