"JAGA diri baik-baik, dik..." pesan Nadia kepada Emy sebelum berangkat ke Kuala Lumpur pagi tadi. Nadia pulang bersama keluarga tunangnya.
Setelah kakaknya pulang, Emy kesunyian. Dia membatukan dirinya di jendela, merenung pepohon senduduk yang dihiasi beberapa kuntum bunga berwarna kundang. Meliuk-lentok seakan-akan menari apabila disapa angin petang. Beberapa ekor burung kelicap hinggap mendekati kudup-kudup bunga indah itu. Sesekali dia tersenyum melihat keletah si burung kecil yang bersemangat sesekali bergomol dengan kawan-kawannya.
Mak Jah entah hilangbke mana, tidak menampakkan diri sejak dari tadi. Sudah menjadi kebiasaan emaknya tidak memberitahu ke mana perginya.
Suara dari peti televisyen yang bergema di ruang tamu bagaikan menggamit hatinya untuk melihat siapa yang tinggal di rumah selain dirinya. Mungkin emaknya sudah lama pulang tanpa dia sedari. Hatinya terus dipagut risau. Dia mengintai di balik pintu. Dilihatnya Azhar sedang leka menonton TV. Emy tersenyum girang. Sekurang-kurangnya dia tidaklah kesunyian. Boleh juga dia bersembang dengan abangnya sementara emaknya tiada di rumah.
"Ehem!" Emy berdehem beberapa kali, memberi isyarat dia juga ada di dalam rumah itu.
Azhar menoleh lalu tersenyum menyedari kehadiran adiknya itu. "Laaa....adik ada. Buat apa duduk dalam bilik tu sorang-sorang? Abang ingatkan adik ikut mak ke pekan."
Emy tersengih. Buang tebiat ke abangnya? Mana pernah emak mahu mengajaknya ke mana-mana. Sedangkan nak pergi ke mana pun langsung tidak diberitahu, inikan pula mengajaknya ke pekan bersama.
"Emy ingatkan abang tak balik ke rumah lagi. Maklumlah, orang sedang bercinta...dekat pulak tu dengan buah hati...."
Azhar tersenyum mendengar usikan adiknya.
"Mana ada...pandailah Emy ni. Meh duduk sini," ajak Azhar sambil tangannya menggamit, menyuruh Emy duduk dekatnya.
Emy melangkah perlahan menghampiri dan memilih untuk duduk di atas kerusi sahaja. "Mak pergi dengan siapa, bang?"
"Dengan kawan baik dialah, Mak Cik Senah...siapa lagi."
Emy hanya menganggukkan kepala. Entah Azhar nampak atau tidak kerana langsung tidak melarikan pandangannya daripada kaca TV. "Macam mana abang tahu? Bukan abang keluar dari tengah hari tadi?"
"Sebelum abang keluar, mak ada bagitau. Dia tanyakan abang ada nak pesan apa-apa ke...."
"Ooo..." balas Emy, pendek.
Sedang leka mereka bergelak ketawa menonton sketsa di kaca TV, kedengaran bunyi deruman sebuah kereta berhenti di depan rumah.
Emy bangkit dari duduknya. Dia ke pintu, melihat siapa yang datang. Manalah tahu petang-petang begini ada saudara-mara yang datang bertandang. Kelihatan sebuah Proton Iswara terparkir di halaman rumah mereka.
"Mak dah baliklah, bang...."
Azhar masih tidak berganjak dari duduknya. Dia masih ralit menonton TV.
Emy segera menghilangkan diri ke dapur. Dia tahu pasti Mak Jah akan mengajak Mak Cik Senah naik ke rumah. Mamang itulah perangai emaknya, tidak berlama sekejap pun dia tetap mengajak tetamu naik ke rumah. Sebelum emaknya menyuruhnya membuatkan air, lebih baik dia terlebih dahulu melakukannya.
Sangkaannya tepat. Tidak lama dia di dapur, Mak Jah melaungkan namanya, memintanya bancuhkan air untuk Mak Cik Senah. Tidak sampai satu minit, Emy keluar bersama dulang yang berisi gelas minuman.
Mak Cik Senah sedikit terkejut. Baru sebentar tadi Mak Jah menyuruh anaknya membuatkan air. Belum sempat dia menoleh ke arah lain, anak gadis temannya itu sudah pun menatang dulang sambil tersenyum memandangnya.
YOU ARE READING
Dia Secret Admirerku!
RomansaEmy oh Emy! Kisah hidupnya bak cerita dongeng Cinderella. Asyik dimarah, dipukul, dimaki dan dikulikan oleh Mak Jah. "Kau dah cuci tangga tu belum? Malu aku orang datang nak meminang kakak kau rumah berkulat. Ada anak dara, tapi tak guna! Pemalas!"...