Bab 16

224 8 0
                                    

SURAH Yasin yang baru habis dibacanya disimpan kemas di atas rak kayu. Terasa tenang jiwanya apabila mengalunkan surah suci yang menjadi bacaannya tiap-tiap malam sebelun matanya terpejam.

"Emy..." tegur Nadia seraya melangkah masuk ke dalam bilik Emy. Seperti biasa tanpa ketukan. Dilihatnya Emy sedang melipat telekungnya. "Emy tengah solat ke tadi?"

"Baru lepas mengaji, kak. Takde apa nak buat malam-malam macam ni. Kenapa kak?"

Nadia membisu seketika.

"Esok akak balik, kan? Pukul berapa akak gerak?" soal Emy sebaik sahaja Nadia melabuhkan punggungnya di atas tilam usang miliknya.

"Petang selepas makan tengah hari. Kenapa? Emy nak ikut akak balik ke KL ke?"

Tiba-tiba ideanya datang. Mengapa tidak diajak sahaja Emy mengikutnya ke Kuala Lumpur? Sampai di sana nanti, boleh dia carikan kerja untuk Emy. Faiz pun sedia membantu. Jadi tidaklah adiknya itu asyik terkurung sahaja seperti sekarang. Emak pun bukan sukakan Emy.

"Takdelah, kak. Emy nak masak special untuk akak..." ujarnya penuh semangat.

Nadia mencubit pipi gebu milik Emy lantas membuatkan gadis itu melakar sebuah senyuman. "Baiknya adik akak ni... tentu best, kan?"

"Emy nak masak cekodok pisang aja untuk akak. Ha ha ha!" senda Emy sambil melepaskan tawa.

Nadia membulatkan matanya. Sempat lagi adiknya mengusik.

Belum pun sempat Nadia mencubit pipinya untuk kali kedua, Emy cepat-cepat menepis lembut tangan kakaknya. Mereka berdua ketawa bersama, hilang sepi yang menyelubungi biliknya tadi.

Namun, tak lama tawa itu menghiasi wajah Emy.

"Kenapa ni, dik? Macam orang ada masalah aja ni?" soal Nadia apabila melihat wajah Emy muram. Sekejap sahaja wajah ceria itu bertukar mendung.

"Takde apa-apalah, kak. Emy cuma sedih. Kalau akak takde sunyilah Emy, takde teman nak bersembang. Nak bercerita, nak bergelak ketawa macam kita sekarang ni..." keluh Emy, perlahan.

"Kalau macam tu, Emy ikut akaklah. Cari kerja kat KL, nak?" Nadia harus memujuk Emy. Hanya itu sahaja caranya dia boleh membawa Emy keluar dari rumah yang sering mengundang duka buat adiknya. Biar Emy sama-sama bebas sepertinya.

"Tak naklah, kak. Nanti mak tinggal sesorang kat sini. Lagipun, siapa pula nak tolong mak pergi pasar? Tolong mak basuh baju, kemas rumah." Memang itu yang difikirkannya setiap kali dia ingin melangkah keluar dari rumah yang dihuninya, tapi masakan dia dapat melepasi tembok ego emaknya?

Nadia mengeluh kecil. Dia yang sepatutnya menggalas tanggungjawab itu selaku anak sulung. Tapi, tanggungjawab itu dilepaskan sepenuhkan kepada adik yang sering menjadi mangsa emaknya.

"Kenapa mengeluh ni? Akak yang ada masalah ek? Ceritalah kak, manalah tahu Emy boleh tolong kali ni."

Setulus hati dia akan memberikan pertolongan jika kakaknya memerlukan bantuannya. Hanya Nadialah satu-satunya ahli keluarga yang sangat mengambil berat tentang dirinya. Dia rela berkorban apa sahaja untuk Nadia.

"Takdelah. Akak bukan mengeluh la, dik. Akak cuma tarik nafas panjang aja," bohong Nadia.

"Hesy...ada pulak macam tu."

Nadia berbaring di atas tilam adiknya. Dia melihat di sekeliling bilik adiknya yang kelihatan kemas dan teratur. Emy seorang yang rajin berkemas, malah jika dibandingkan semua tugas rumah dia memang kalah.

Dan yang paling tidak dapat disangkal lagi jika hendak dibandingkan masakannya dengan masakan Emy, awal-awal lagi dia mengaku kalah. Adiknya lebih arif tentang masakan. Beruntung siapa yang menjadi suaminya nanti. Nampak gayanya perut si suami tak sempat nak kempislah jawabnya.

Dia Secret Admirerku! Where stories live. Discover now