16.

1.3K 120 0
                                    

Disebabkan kecederaannya, Athena telah dilarang menjalani sebarang misi. Oleh itu, Athena hanya duduk di dalam bilik operasi, memantau mereka melalui video langsung dan alat komunikasi jarak jauh.

Di skrin besar, situasi kumpulan elit sedang menyelinap masuk ke pelabuhan dipaparkan. Mereka sedang mencari kontena yang menempatkan senjata yang diseludup ke dalam negara untuk dijual kepada pihak asing.

Penyeludupan perlu dikekang untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa. Biasanya, kejadian penyeludupan ini berlaku apabila terdapat campur tangan dari pihak tertentu, seperti menteri atau pihak ketiga yang mempunyai kuasa besar dan berpengaruh.

Athena, yang duduk di kerusi menghadap skrin besar, hanya menyilang tangan ke dada. Dia sudah menunggu mereka mencari kontena sejak setengah jam yang lalu dan terasa panas punggung kerana geram dengan sikap mereka.

"What makes them take so long?" ketap Athena sambil menghentak kaki di lantai, hilang sabar.

Di skrin, Kaiser, Tyler, dan beberapa anggota lain sedang menyusup di celah-celah kontena sambil menumbangkan pengawal yang ada di sekitar.

Athena bergerak rapat ke meja dan menarik mikrofon dari headfon yang dipakai oleh seorang staf lelaki di sebelahnya.

"Hei, kau orang ni lembab ke apa? Pakailah alat penjejak logam tu! Apa guna bawa tapi tak pakai? Kalau cari satu-satu memang tak dapatlah! Sebelum aku letupkan pelabuhan ni, baik kau orang selesaikan misi ni secepat mungkin!" arah Athena dengan bengang.

Staf lelaki yang memakai headfon itu terpempan dengan suara lantang Athena dan hanya memandang skrin.

Athena duduk bersandar pada kerusi.

"Kalau kau orang lambat, jumlah musuh akan meningkat dan kadar kematian unit akan meningkat. Jadi, kalau nak kerja senang, buat cepat sikit. Guna mata dan telinga semaksimum mungkin. Dua pasukan sebelah kanan, pergi ke sayap utara pelabuhan. Ketua kumpulan dan dua orang kanan dia mana? Pergi cari di sayap selatan... takkan itu pun kena beritahu!" bebel Athena lagi, merentap headfon dari kepala staf itu dan memakainya dengan perasaan geram.

Matanya fokus pada skrin, dan tidak lama selepas arahan diberikan, satu laungan kedengaran dari dalam video.

"Kami dah jumpa!"

Athena memandang ke arah kanan video di mana satu kerlipan cahaya kelihatan.

"Lari! Lari dari situ! Bazooka on the way!" arah Athena sambil mencapai gelas berisi air kosong yang entah milik siapa lalu diteguknya sehingga habis.

Oleh kerana arahan Athena, pasukan elit itu bergerak dengan teratur dan cekap. Dalam masa sejam, misi itu selesai dengan kemas dan tiada siapa pun yang cedera. Komunikasi itu berakhir apabila pasukan itu naik pesawat dan bergerak pulang ke pangkalan.

Athena bangun dari duduknya, mengeliat perlahan agar kecederaan pada tulang rusuknya tidak terjejas.

"Cik Athena Louisa..." panggil seseorang di belakang, membuatkan wanita itu cepat-cepat menurunkan tangan ke sisi.

Sebaik sahaja dia menoleh, Athena bertentang mata dengan seorang lelaki kacak berwajah manis, namun renungan matanya dalam dan tajam.

"Ya..." sambutnya dengan kening terangkat.

Serentak, semua staf di situ berpaling memandang lelaki lampai berpakaian serba hitam di depan pintu masuk bilik operasi itu.

8. Miss Kommander Chapter 1Where stories live. Discover now