Pintu kaca automatik bilik sidang terbuka dengan sendirinya. Athena memalingkan kepala apabila seorang staf wanita berjalan masuk sambil menatang dulang berisi minuman untuknya. Wajah gemuruh dan teruja jelas kelihatan pada staf tersebut.
Athena memandang cangkir berisi teh hangat itu sewaktu ia dihidangkan di depan meja kopi. Staf wanita itu kemudian berdiri di tepi meja, tidak bersuara, hanya memberikan renungan fangirl kepada Athena sambil tersengih.
Tidak mempedulikan renungan itu, Athena mengambil cangkir tersebut dan duduk menyilang kaki sebelum menghirup air itu dengan berhati-hati.
"Tak payah pandang saya macam tu... saya sama jer macam awak. Manusia. Ada mata, ada tangan dan kaki. Tak ada yang istimewa pun..." ujarnya sambil membawa cangkir itu ke mulut. Apabila air hangat itu menyentuh rongga tekaknya, Athena memejamkan mata, merasai kelegaan apabila air hangat itu turun ke dalam kerongkongnya.
Akhirnya, untuk pertama kali sejak tiba di sini, dia merasakan ketenangan.
Staf wanita itu tersenyum, tidak sangka rupa-rupanya Black Widow yang selalu dilihat dalam forum jabatan dan laporan ketenteraan ini lebih cantik daripada dalam gambar. Kecantikan wanita ini boleh diibaratkan seperti dewi Yunani.
Wajahnya bersih tanpa cacat cela, kulit putih berseri seperti mutiara, sepasang mata dengan bulu mata yang lebat dan lentik, bibir nipis yang menarik, leher jinjang, dan rambut hitam ikal yang berkilat dan sihat membuatkan sesiapa yang menatapnya ternganga sedikit.
"Kalau puan tak kisah, bolehkah saya berjabat tangan dengan puan?" tanya staf itu.
Tanpa bersuara, Athena menghulurkan tangan. Tak ada salahnya berbuat baik dengan orang yang berbuat baik kepada kita.
Melihatkan tangan Athena terhulur di depannya, staf wanita itu mengesat tangannya ke seluar dengan tergesa-gesa dan menyambut huluran itu dengan kedua-dua tangan, seolah-olah memegang sesuatu yang berharga. Mata Lucy terpegun seketika apabila merasakan betapa lembutnya kulit tangan wanita di depannya ini.
"Saya Lucy. Puan boleh arahkan saya buat apa sahaja... bila-bila masa... tidak kira masa atau di mana," kata staf wanita itu dengan teruja, matanya bersinar penuh semangat.
Athena meletakkan cangkir di atas meja kopi sebelum menarik tangannya dari tangan Lucy dan mengangguk-angguk kepala.
"Okay... kalau macam tu, boleh buat sesuatu untuk saya tak?" tanya Athena sambil mendongak memandang Lucy.
"Boleh puan. Sudah tentu," jawab Lucy dengan segera.
Athena mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket uniform rasmi ketenteraannya lalu meletakkannya di atas meja.
Dia sempat melihat notifikasi mesej dari Aria yang sibuk bertanya kenapa dia tidak membalas semua mesej dan tidak menjawab panggilan, serta di mana dia berada, yang mana dia tidak baca sejak naik penerbangan sehingga tiba di sini.
Kotnya ditanggalkan lalu diletakkan di lengan kerusi.
Lucy hanya diam, memerhati tingkah Athena yang kelihatan tiada tenaga setiap kali bergerak. Suara wanita itu pula kedengaran letih.
"Kunci bilik ini. Pastikan tiada sesiapa pun masuk. Saya tak nak diganggu. Lepas tiga jam, kejutkan saya kerana saya nak tidur," arah Athena sambil menanggalkan tali leher yang terikat pada kolar bajunya. Setelah itu, dia campak tali leher itu dengan malas ke meja sambil membuka tiga butang dari atas kemejanya, diikuti dengan butang lengan kemeja.
"Hah?" Lucy ternganga, keliru mendengar arahan itu.
Athena memandang bosan ke arah Lucy. "Awak dengar saya cakap apa, kan? Sekarang keluar dari sini. Kunci pintu bilik ini. Dan sekiranya ada orang ganggu saya, bersiap sedia untuk mengemas meja awak," ujar Athena lagi sebelum bangun dari kerusi. Dia berjalan ke arah sofa yang terletak di tepi dinding kaca bilik sidang itu.
Sambil berjalan mendekati sofa, Athena menanggalkan kasut tumit tinggi di kakinya dan menyepak kasut itu ke lantai sebelum baring di atas sofa hitam dalam keadaan meniarap.
Sambil berbaring, Athena menarik bantal kecil sofa ke bawah dada lalu dipeluk erat sebelum memejamkan mata rapat-rapat.
Lucy teragak-agak seketika melihat wajah Athena di sofa itu, tidak pasti apa yang perlu dilakukan.
"Tunggu apa lagi... pergilah," tegur Athena dengan mata terpejam.
Lucy tersentak dan segera mengangguk patuh. "Baik..." jawabnya, lalu melangkah keluar dari bilik berkaca itu. Pas masuk bilik itu kemudiannya diletakkan pada pad tepi pintu kaca, mengakibatkan pintu tersebut terkunci.
Untuk memastikan tiada siapa masuk ke dalam bilik tersebut, Lucy mengambil kunci utama bilik sidang kecil itu dan menyelitkannya di bawah pintu kaca. Kad yang sudah berada di dalam ruang kaca itu dipandang Lucy dengan perasaan teragak-agak. Kini hanya Athena yang boleh membuka pintu itu. Tiada siapa boleh pecah masuk ke bilik sidang ini tanpa kad utama tersebut.
Setelah itu, Lucy berlalu ke mejanya, menyibukkan diri dengan kerja sehingga tidak sedar tiga jam berlalu begitu sahaja. Sementara Athena yang berada di dalam bilik itu lena tanpa terkutik sedikit pun sepanjang tempoh itu.
YOU ARE READING
8. Miss Kommander Chapter 1
Ficción GeneralAthena Seperti nama yang diberi. Athena menjadi seorang ejen pembunuh yang berbahaya. bukan sahaja menjadi musuh pada kebanyakkan ejen yang lain, malah rakan sekerjanya sendiri. Dia dipergunakan. dia diperlekehkan. sering menjadi mangsa keadaan ker...