Selama seminggu berturut-turut, Athena menjalankan misi seorang diri. Dia menjelajah tiga buah negara dalam masa empat hari tanpa rehat.
Hari pertama, dia menumpaskan penjenayah yang berusaha untuk mendapatkan duit secara haram. Hari kedua, dia menghalang pertukaran senjata yang melibatkan belian. Kemudian, dia memusnahkan cubaan untuk melakukan korupsi negara dengan menggadai negara sendiri. Akhir sekali, dia menghalang rompakan relik berumur ribuan tahun di muzium terkemuka. Semua itu diselesaikannya dengan mudah tanpa sebarang masalah.
Setelah sibuk sepanjang minggu, Athena akhirnya dapat kembali ke Blue House untuk menyiapkan laporan bagi setiap misi yang dijalankan. Dia menyediakan semua laporan tersebut secepat mungkin sebelum menghantarnya kepada mereka yang mengarahkan dia bertugas di Blue House.
Athena berjalan keluar dari bilik sidang dengan dua fail di tangan. Dia memberikan satu fail kepada Lucy, memintanya untuk membuat salinan. Fail asal disimpan dalam bilik dokumen, dan satu lagi diserahkan sendiri kepada Debris.
Selepas Lucy beredar, Athena beralih ke arah dua orang staf lelaki yang bertugas dalam urusan penggodaman dan jejak. Dia berdiri di belakang dua kerusi staf tersebut, mengetap gigi menahan sabar. Bertuah betul!
Tanpa amaran, fail biru di tangannya hinggap di belakang kepala kedua-dua orang yang sedang seronok bermain video game RPG itu.
PAP! PAP!
Bunyi kepala dipukul dengan fail kedengaran dalam ruangan yang sunyi itu, membuatkan staf lain menjenguk kepala untuk melihat apa yang berlaku.
Kedua-dua staf tadi berpaling dengan tangan di belakang kepala. Mulanya mereka hendak marah, tetapi setelah melihat Athena yang menyilang tangan di dada memandang mereka, terus tersengih kambing mereka.
"Eh... Ketua..." sengih mereka sambil menggosok belakang kepala.
Athena menggeleng kepala sambil membuat muka.
"Memandangkan awak berdua ada banyak masa, apa kata tolong saya cari maklumat untuk kes dalam fail ini?" Athena meletakkan fail itu di atas meja antara papan kekunci bercahaya milik dua orang itu.
"Kes apa ini?" tanya Daniel yang duduk di sebelah kanan.
"Baca saja... saya nak dari sekecil-kecil maklumat. Bila dah jumpa, serahkan pada saya," arah Athena sewaktu berjalan masuk ke bilik sidang semula.
Zack mencapai fail itu dan menyelaknya sehelai demi sehelai dengan kening mencerun.
"Projek Phomela?" sebut lelaki itu dengan nada tertanya-tanya. Dia memalingkan kepala, melihat ke arah Athena yang sedang berdiri di depan meja sambil membelek helaian kertas di dalam bilik sidang.
Athena memandang papan putih yang penuh dengan tampalan kertas dan nota, silih berganti memandang kertas di tangan dan papan itu. Setelah dia dapati sesuatu, pen marker yang ada di atas meja dicapai. Lalu dia menulis sesuatu pada papan putih tersebut.
Setiap nama dan susunan peristiwa sepanjang empat bulan diteliti oleh Athena. Dia melihat corak kes yang telah diselesaikan, cuba mencari sesuatu pada kronologi setiap kejadian kerana ada sesuatu yang membuatkan Athena rasa setiap kes ini terarah kepada sesuatu atau seseorang.
Athena tahu Aria merancang semua ini. Apa yang dia dapati adalah, Aria bukan sengaja mendedahkan diri, tetapi sebaliknya. Aria sedang mendedahkan seseorang. Athena tidak tahu siapa, tetapi semua kes dan individu yang ditangkap untuk setiap kes langsung tiada kaitan dengan Aria. Tetapi kenapa Aria melakukan semua ini? Apa yang Aria cuba cari?
Athena menggigit hujung ibu jarinya dengan gelisah, bingung dengan cebisan teka-teki yang belum lengkap sepenuhnya. Masih ada banyak petunjuk yang dia terlepas pandang. Walaupun dia adik Aria, dia sendiri tidak tahu apa yang ada dalam fikiran wanita itu.
YOU ARE READING
8. Miss Kommander Chapter 1
General FictionAthena Seperti nama yang diberi. Athena menjadi seorang ejen pembunuh yang berbahaya. bukan sahaja menjadi musuh pada kebanyakkan ejen yang lain, malah rakan sekerjanya sendiri. Dia dipergunakan. dia diperlekehkan. sering menjadi mangsa keadaan ker...