Darius yang mengenakan kot labuh hitam dan turtle neck putih serta jean hitam berdiri di luar pintu masuk bangunan sejak setengah jam yang lalu selepas menerima panggilan dari Gilbert bahawa lelaki itu dalam perjalanan pulang. Dalam diam, Darius berharap ayah angkatnya tidak pulang seorang diri.
Darius mendongak memandang langit malam sebelum melepaskan helaian nafas panjang sehingga wap hangat keluar dari mulut dan hidungnya yang kemerahan gara-gara udara sejuk.
Tak lama kemudian, tiga buah kereta hitam berkilat masuk ke perkarangan pangkalan itu. Penantian Darius berakhir apabila cahaya lampu dari beberapa kereta menghampiri tempat dia berdiri dan berhenti tepat di depan Darius.
Setelah kereta itu diparkir, Darius terus membuka pintu tempat duduk belakang. Sebaik pintu dibuka, Gilbert keluar terlebih dahulu. Kemudian, Gilbert tunduk untuk mengambil Athena yang sedang lena dalam pelukannya.
Darius menatap wajah Athena yang sedang tidur dengan kening berkerut. Dia kehairanan setelah melihat kesan cakaran dan kemerahan di muka Athena.
Pintu kereta ditutup oleh Darius. "Apa yang berlaku dekat muka Athena?" tanya dia sambil mengikuti langkah Gilbert yang mendukung Athena gaya pengantin perempuan masuk ke dalam bangunan. Para pengawal di belakang mengiringi mereka seperti benteng.
"Urusan adik-beradik..." jawab Gilbert sambil berdiri di depan lif.
Mata Darius mengerling ke Athena semula. Sambil meneliti wajah itu, dia bersuara, "Macam mana dengan perjumpaan ayah dengan Aria?"
Gilbert mengangguk kecil. Sebenarnya, waktu itu dia tengah sibuk memikirkan sesuatu sehingga tidak ada mood untuk bercakap.
"Berjalan dengan lancar..." jawab Gilbert dengan nada tidak bersemangat.
Darius yang mengesan aura tegang dari Gilbert mengangguk faham. Dia tidak meneruskan pertanyaan dan mendiamkan diri sehingga mereka masuk ke dalam lif dan naik ke tingkat lima belas di mana suite milik Athena dan Gilbert berada.
Setibanya di depan pintu bilik, Darius membuka pintu dan mengiringi Gilbert masuk ke dalam bilik. Dia membantu ayah angkatnya meletakkan Athena di atas katil. Selepas menyelimutkan Athena, Gilbert memberi isyarat kepadanya supaya ikut lelaki itu.
Darius hanya menurut dengan anggukan kecil. Sebelum keluar, dia sempat menoleh ke arah Athena buat kali terakhir lalu berjalan keluar dari situ bersama Gilbert.
Sebaik pintu bilik Athena ditutup rapat, dua orang pengawal berdiri di kanan dan kiri pintu tersebut setelah Darius dan Gilbert pergi dari situ.
Dengan senyap, Darius mengekori langkah Gilbert, berjalan seiring di sisi merentasi koridor untuk mengambil angin. Sekejap-sekejap, Darius mencuri pandang ke arah Gilbert, menanti ayahnya bersuara, tetapi tidak. Gilbert kelihatannya terganggu oleh sesuatu. Tidak sabar menunggu Gilbert bercakap, Darius mengambil keputusan untuk bersuara.
"Kenapa dengan ayah? Ada sesuatu berlaku ke? Darius perhatikan sejak balik tadi, ayah nampak serabut," tanya Darius, ingin memecahkan ketegangan antara mereka berdua.
Dengan renungan serius, Gilbert mengalihkan kedua-dua tangan ke belakang pinggang. Keningnya mencerun tajam saat memandang ke depan.
"Tak ada apa-apa yang berlaku. Ayah cuma risaukan sesuatu," jawab Gilbert dengan nada separa berbisik, cukup kuat untuk Darius seorang sahaja yang mendengar.
Darius memandang tepi wajah Gilbert dengan muka tidak faham. "Apa yang ayah risaukan?" soalnya.
Mata Gilbert tunduk memandang ke lantai. Lelaki itu terdiam beberapa saat sebelum bersuara.
"Arahkan kumpulan elit untuk memantau keselamatan Aria. Aturkan pasukan bantuan sekiranya perlu. Ayah mahu keselamatan dia di tahap maksimum. Tiada sebarang ancaman atau bahaya menimpa dia," arah Gilbert dengan nada tegas dan serius.
Darius yang faham dengan intonasi Gilbert mengangguk setuju tanpa banyak soal. Dia tahu jika ayahnya serius begitu, pasti ada sesuatu yang buruk bakal berlaku.
"Baik..." jawab Darius dengan patuh.
Gilbert kembali memandang ke depan.
"Lagi satu, mulai hari ini, ayah mahu kamu selalu di samping Athena sekiranya ayah tiada di sini. Mengenai urusan kerja, ayah akan agihkan kepada kamu. Bukan semuanya kamu uruskan... berikan perhatian sepenuhnya kepada Athena nanti," Gilbert palingkan kepala menghadap Darius. "...boleh kamu lakukannya? Atau kamu tidak setuju?" tanya dia dengan serius.
Tanpa berlengah, Darius mengangguk setuju.
"Baik, ayah..."
Gilbert mengangguk berpuas hati sebelum menepuk belakang badan Darius.
"Ayah harapkan kamu..." ucap Gilbert dengan penuh amanah.
Darius memandang wajah tua Gilbert yang tegang itu dengan renungan risau.
"Apa yang mengganggu fikiran ayah?" tanya Darius teragak-agak, takut jika ayahnya marah kerana banyak bertanya.
Gilbert mendiamkan diri. Lelaki itu termenung seketika sebelum bersuara.
"Xiana pasti akan cuba mendekati mereka berdua. Paling teruk, dia akan cuba ambil mereka dari ayah... sebab itu la—" luah lelaki itu dengan renungan risau. "Ayah baru sahaja dapat bertemu dengan mereka dan ayah tak mahu berpisah dengan mana-mana antara mereka sekali lagi..."
Darius mengetap rahang, memandang serius ke arah Gilbert. Dia tidak suka melihat lelaki ini risau kerana semua itu hanya akan menjejaskan kesihatan ayahnya.
YOU ARE READING
8. Miss Kommander Chapter 1
General FictionAthena Seperti nama yang diberi. Athena menjadi seorang ejen pembunuh yang berbahaya. bukan sahaja menjadi musuh pada kebanyakkan ejen yang lain, malah rakan sekerjanya sendiri. Dia dipergunakan. dia diperlekehkan. sering menjadi mangsa keadaan ker...