Darius yang mengenakan kot labuh hitam, turtle neck putih, dan jeans hitam berdiri di luar pintu masuk bangunan sejak setengah jam lalu setelah menerima panggilan dari Gilbert yang mengatakan bahawa lelaki itu dalam perjalanan pulang. Dalam diam, Darius berharap ayah angkatnya tidak pulang seorang diri.
Darius mendongak memandang langit malam sebelum melepaskan helaian nafas panjang, mengeluarkan wap hangat dari mulut dan hidungnya yang kemerahan akibat udara sejuk.
Tak lama kemudian, tiga buah kereta hitam berkilat memasuki perkarangan pangkalan itu. Penantian Darius berakhir apabila cahaya lampu dari kereta-kereta itu menghampiri tempatnya berdiri dan berhenti tepat di hadapannya.
Setelah kereta itu diparkir, Darius terus membuka pintu tempat duduk belakang. Sebaik pintu dibuka, Gilbert keluar terlebih dahulu. Kemudiannya, Gilbert membongkok masuk ke dalam kereta dan keluar membawa Athena dalam dukungannya.
Darius menatap wajah Athena yang sedang lena dalam pelukan Gilbert dengan kening berkerut. Dia kehairanan melihat kesan cakaran dan kemerahan di muka Athena.
Pintu kereta ditutup oleh Darius. "Apa yang telah berlaku pada muka Athena?" tanya dia sambil mengikuti langkah Gilbert yang mendukung Athena seperti pengantin perempuan memasuki bangunan. Para pengawal di belakang mengiringi mereka seperti benteng.
"Urusan adik-beradik..." jawab Gilbert sambil berdiri di depan lif.
Mata Darius mengerling ke arah Athena semula. Sambil meneliti wajah itu, dia bersuara. "Macam mana dengan perjumpaan ayah dengan Aria?"
Gilbert mengangguk kecil. Dia sebenarnya sedang sibuk memikirkan sesuatu, terlalu sibuk hingga tidak ada mood untuk bercakap.
"Berjalan lancar..." jawab Gilbert dengan nada yang kurang berminat.
Darius yang mengesan aura tegang dari Gilbert mengangguk faham. Dia tidak meneruskan pertanyaan dan mendiamkan diri sehingga mereka berdua masuk ke dalam lif dan naik ke tingkat lima belas di mana suite milik Athena dan Gilbert berada.
Setibanya di depan pintu bilik, Darius membuka pintu dan mengiringi Gilbert masuk. Dia membantu ayah angkatnya meletakkan Athena di atas katil. Setelah menyelimutkan Athena, Gilbert memberi isyarat agar Darius mengikutnya.
Darius menurut dengan anggukan kecil. Sebelum keluar, dia sempat menoleh ke arah Athena buat kali terakhir lalu berjalan keluar bersama Gilbert.
Sebaik pintu bilik Athena ditutup rapat, dua orang pengawal berdiri di kanan dan kiri pintu tersebut selepas Darius dan Gilbert pergi.
Dengan senyap, Darius mengekori langkah Gilbert, berjalan seiringan di koridor untuk mengambil angin. Sekejap-sekejap, Darius mencuri pandang ke arah Gilbert, menanti ayahnya bersuara, tetapi tidak. Gilbert kelihatan terganggu dengan sesuatu. Tidak sabar menunggu, Darius mengambil keputusan untuk bersuara.
"Kenapa dengan ayah? Ada sesuatu berlaku ke? Darius perhatikan sejak balik tadi ayah nampak serabut," tanya Darius yang mahu memecahkan ketegangan antara mereka.
Dengan renungan serius, Gilbert mengalihkan kedua-dua tangan ke belakang pinggang. Kening lelaki itu mencerun tajam ke depan.
"Tak ada apa-apa yang berlaku. Ayah cuma risau tentang sesuatu," jawab Gilbert dengan nada separa berbisik, cukup kuat untuk Darius seorang sahaja yang mendengar.
Darius memandang tepi wajah Gilbert dengan wajah tidak faham. "Apa yang ayah risaukan?"
Mata Gilbert tunduk memandang ke lantai. Lelaki itu terdiam seketika sebelum bersuara.
"Arahkan kumpulan elit untuk memantau keselamatan Aria. Aturkan pasukan bantuan jika perlu. Ayah mahu keselamatannya di tahap maksimum. Tiada sebarang ancaman atau bahaya menimpa dia," arah Gilbert dengan nada tegas.
Darius yang faham dengan intonasi Gilbert mengangguk setuju tanpa banyak soal. Dia tahu jika ayahnya serius, pasti ada sesuatu yang buruk akan berlaku.
"Baik..." angguk Darius dengan patuh.
Gilbert kembali memandang ke depan. "Lagi satu, mulai hari ini ayah mahu kamu selalu di samping Athena jika ayah tiada di sini. Mengenai urusan kerja, ayah akan agihkan kepada kamu. Bukan semuanya kamu uruskan... berikan perhatian sepenuhnya kepada Athena nanti." Gilbert memalingkan kepala menghadap Darius. "... boleh kamu lakukannya? Atau kamu tidak setuju?" tanya dia dengan serius.
Tanpa berlengah, Darius mengangguk setuju. "Baik, ayah..."
Gilbert mengangguk-angguk kepala berpuas hati sebelum menepuk belakang Darius. "Ayah harapkan kamu..."
Darius memandang wajah tua Gilbert yang tegang itu dengan penuh kerisauan. "Apa yang mengganggu fikiran ayah?" tanya Darius teragak-agak, takut jika ayahnya naik angin kerana banyak bertanya.
Gilbert terdiam. Dia termenung seketika sebelum bersuara. "Xiana pasti akan cuba mendekati mereka berdua. Paling teruk, dia akan cuba mengambil mereka dari ayah... sebab itu la—" luah lelaki itu dengan renungan risau. "Ayah baru sahaja dapat bertemu dengan mereka dan ayah tak mahu berpisah lagi..."
Darius mengetap rahang, memandang serius ke arah Gilbert. Dia tidak suka melihat lelaki ini risau, kerana semua itu hanya akan menjejaskan kesihatan ayahnya.
YOU ARE READING
8. Miss Kommander Chapter 1
Aktuelle LiteraturAthena Seperti nama yang diberi. Athena menjadi seorang ejen pembunuh yang berbahaya. bukan sahaja menjadi musuh pada kebanyakkan ejen yang lain, malah rakan sekerjanya sendiri. Dia dipergunakan. dia diperlekehkan. sering menjadi mangsa keadaan ker...