Selepas beberapa hari merancang dan merangka pelan, akhirnya Athena keluar dari biliknya yang dianggap penjaranya. Dia telah duduk terperap di dalam bilik tanpa keluar selama beberapa hari.
Mogoknya untuk tidak mahu berjumpa sesiapa mahupun makan hanya mengundang kemarahan dari Aria. Namun, hal itu sama sekali tidak dihiraukan oleh Athena, walaupun Aria mengamuk seperti singa betina yang hilang anak.
Petang itu, dia dimaklumkan bahawa Aria tiada di dalam bangunan kerana menghadiri mesyuarat di luar. Athena mengambil peluang itu untuk menyelinap masuk ke bilik operasi di tingkat 25.
Bilik di mana terdapat kelengkapan komputer dan telefon yang dapat digunakan tanpa dikesan oleh orang luar. Sebaik sahaja Athena bertapak di dalam bilik tersebut, kehadirannya langsung tidak disedari oleh staf di situ.
Kebanyakan staf di situ sibuk dengan kerja masing-masing, terlalu tekun memandang skrin komputer.
Athena menyelinap di celah mereka sebelum duduk di meja yang kosong. Sambil memandang kanan dan kiri dengan awas, dia menghenyak punggung di kerusi lalu menghidupkan komputer.
Dengan cekap, jari-jemarinya mula menaip sesuatu di papan kekunci. Sepanjang masa itu, Athena diselubungi perasaan cuak dan gelabah, takut jika ada yang melihatnya di situ dan tahu apa yang dia cuba lakukan.
Di dalam komputer itu, Athena mencari lokasi dan nombor telefon yang boleh menghubungkannya dengan Gilbert dan Xiana. Dia ingin bercakap dengan mereka dan memulihkan hubungan keluarga yang telah retak bertahun lamanya. Dia tidak mahu hubungan ini berterusan sampai bila-bila.
Hampir tiga jam juga Athena menyelongkar semua data dan ceruk laman sosial semata-mata untuk mencari maklumat itu. Akhirnya, dia menemui maklumat yang diperlukan.
Setelah mendapat nombor, tanpa membuang masa, gagang telefon di tepi komputer dicapainya. Nombor yang tertera di skrin didailnya.
Orang pertama yang dia hubungi adalah Gilbert sendiri. Kakinya bergetar naik turun tidak sabar sewaktu nada dering di dalam gagang menyapa telinga. Athena berharap panggilan itu diangkat. Dan seperti yang diharapkan, beberapa saat kemudian panggilan tersebut disambut.
"Hello?" Suara lelaki kedengaran dari hujung panggilan, membuatkan kening Athena terangkat tinggi.
"Darius!" panggil Athena sedikit teruja sambil tersenyum.
"Athena?" sahut Darius dalam panggilan, kedengaran bingung dan terkejut pada masa yang sama.
Athena tersenyum lebar. "Ya... ini saya."
"Apa yang dah berlaku? Awak tak apa-apa? Saya dengar awak cedera. Kemudian ayah diam tak cakap apa-apa..." ujar Darius dengan laju di dalam panggilan.
Athena yang mendengar membuat muka. Jarinya bermain dengan hujung rambut panjangnya, yang digentel-gentel tanpa sedar.
"Ya... saya tak apa-apa. Boleh tak saya cakap dengan ayah?"
"Ada... kejap..." Panggilan itu senyap seketika sebelum satu suara yang amat dirindui kedengaran.
"Sayang?" sapa Gilbert, membuatkan air mata Athena bertakung.
"Hai ayah..." balas Athena sambil tersenyum nipis. Dia termenung memandang skrin komputer di depannya sambil bersandar ke kerusi.
"Apa yang dah berlaku? Kenapa baru sekarang kamu hubungi ayah?"
"Athena cuma nak cakap dengan ayah... ayah sihat? Maaf sebab lama tak berhubung. Aria bertegas supaya Athena tak berhubung dengan ayah atau ibu buat sementara waktu," jelas Athena.
Gilbert dalam panggilan melepaskan keluhan panjang.
"Tak apa, ayah faham. Aria buat semua itu sebab dia tak nak kamu terluka lagi. Ayah hormati keputusan dia..." jawab Gilbert bernada mengalah.
Athena mendiamkan diri seketika. Bibirnya diketap nipis. Dalam kepalanya sedang mengatur kata yang hendak dimaklumkan kepada ayahnya.
"Ayah, kita keluar piknik, nak?" ajak Athena.
"Okay jer... tapi Aria macam mana?"
"Jangan risau... Athena akan uruskan dia..." kata Athena dengan senyuman jahat di bibir.
Gilbert dalam panggilan mendiamkan diri seketika lalu bersuara.
"Okay... hantar ayah tempat dan masa, ayah akan aturkan masa untuk ke sana..." kata Gilbert.
Athena menarik senyum lebar, senang hatinya.
"Okay... jumpa nanti..." pamitnya sebelum memutuskan panggilan.
YOU ARE READING
8. Miss Kommander Chapter 1
General FictionAthena Seperti nama yang diberi. Athena menjadi seorang ejen pembunuh yang berbahaya. bukan sahaja menjadi musuh pada kebanyakkan ejen yang lain, malah rakan sekerjanya sendiri. Dia dipergunakan. dia diperlekehkan. sering menjadi mangsa keadaan ker...