Lima hari kemudian...
Senyap. Sunyi. Dan bersih.
Itulah suasana dalam bilik di mana Athena ditempatkan sejak lima hari lalu setelah dibedah untuk mengeluarkan peluru-peluru yang hampir meragut nyawanya.
Orang yang terlantar tidak sedarkan diri selama lima hari itu bergerak-gerak di atas katil sebelum terpisat-pisat mahu membuka mata.
Cahaya terang dari matahari yang menyilaukan pandangan membuatkan dia mengangkat tangan untuk menghadang matanya. Sambil mengerang jengkel, Athena memalingkan kepalanya membelakangkan matahari pagi itu.
"Cik dah bangun?" tegur jururawat wanita dengan papan laporan pesakit di tangan sebelah katil. Dia tunduk mencatat sesuatu di atas carta tersebut lalu beralih ke mesin dan tiub IV drip yang terpasang di badan Athena. Dia memeriksanya sebelum memandang Athena dengan senyuman lega di bibir.
Athena berkerut kening, dia memandang kanan dan kirinya dengan bingung.
"Berapa lama saya terlantar?" tanya Athena dengan muka kesakitan, merasai tarikan dan pedih pada lengan kanan, bahagian bawah sebelah pinggang kiri, dan juga rusuk sebelah kanannya. Bawah bibirnya digigit untuk menghalang suara keluar semasa bangun dari baringnya.
"Lima hari... Cik cedera di lengan kanan. Peluru itu melekat pada tulang lengan cik dan kemudian cik terkena tembakan di pinggang juga. Peluru itu tembus tetapi tidak mencederakan buah pinggang. Cik kehilangan banyak darah. Selain itu, rusuk sebelah kanan cik retak dua dari atas," maklum jururawat itu.
Athena bangun dari baringnya dengan bantuan jururawat tersebut.
"Saya akan panggil doktor..." pamit jururawat wanita itu sebelum keluar dari situ.
Lima hari? Athena memandang kalut ke dinding kosong di depannya untuk mencari kalendar, tetapi tiada. Jika lima hari dia tidak sedarkan diri, pasti kakaknya yang cerewet itu sekarang sedang kecoh kerana dia tidak menjawab panggilan atau menghantar mesej. Jika dia berlengah, wanita bermulut puaka itu pasti akan buat hal.
Tanpa membuang masa, Athena terus turun dari katil. Dia mengeluarkan pakaian yang berada di dalam kabinet tepi katil. Dia tidak tahu bagaimana dia tahu, tetapi biasanya jika seseorang cedera, akan ada yang menyediakan pakaian di almari itu. Dia menyalin pakaian dari jubah pesakit kepada singlet putih dan skinny hitam, serta kasut boot tempur hitamnya. Disebabkan lengannya tergantung dan berbalut, kemeja putihnya hanya dibiarkan tergantung di bahu.
Tiub IV drip yang melekat pada kulit tangan kanannya dicabut, meninggalkan bekas tusukan jarum dan darah kering padanya.
Dia tidak suka duduk di hospital. Dari bau hingga segala-galanya. Baginya, hospital ini meninggalkan mimpi buruk kepadanya sewaktu kecil. Jadi, dia trauma untuk berada di tempat bernama hospital.
Tidak kira di mana dia berada. Dalam fikirannya, doktor dan semua yang bekerja di sini hanyalah syaitan bertopeng manusia. Dalam fikirannya, mereka akan meletakkan racun dalam ubat yang diambil. Itu yang selalu bermain dalam fikirannya sewaktu kecil dahulu, sehingga dia dewasa.
Setelah berjaya meloloskan diri dari bangunan hospital, Athena melihat sekelilingnya. Dia masih berada di kawasan pangkalan utama.
Disebabkan dia tidak pernah keluar berjalan di sekitar kawasan itu dan lebih suka duduk di satu tempat sahaja, Athena mengambil masa untuk menyedari di mana keberadaannya.
Setelah berjalan tanpa tujuan dan tanpa arah sendirian dalam keadaan terluka, akhirnya dia tiba di bangunan utama.
Bangunan di mana dia bekerja selama sebulan ini. Dia tidak berniat untuk kembali ke hostelnya, kerana ada perkara yang perlu diselesaikannya terlebih dahulu. Hal ini mungkin telah menjadi masalah baginya kerana dia terlantar di hospital hampir seminggu.
Butang lif ditekan untuk naik ke tingkat 37. Tidak lama selepas itu, bunyi ping kedengaran. Dia melangkah keluar dan membelok ke kanan.
Pintu kaca automatik terbuka sewaktu dia melaluinya. Tanpa menghiraukan mata yang memandang ke arahnya, Athena mendapatkan meja kerjanya. Dia mencapai telefon bimbit yang disimpan dalam laci dan menekan butang on di tepi telefon.
Setelah telefon itu menyala, pad dail ditekan, nombor satu disentuh dengan lama sebelum telefon itu dibawa ke telinga. Tidak sampai seminit, panggilan tersebut diangkat.
"Tahu pun nak call... aku ingatkan kau dah duduk dalam lubang gua mana tadi? Asal baru sekarang call?" bebel Aria dalam panggilan.
YOU ARE READING
8. Miss Kommander Chapter 1
Narrativa generaleAthena Seperti nama yang diberi. Athena menjadi seorang ejen pembunuh yang berbahaya. bukan sahaja menjadi musuh pada kebanyakkan ejen yang lain, malah rakan sekerjanya sendiri. Dia dipergunakan. dia diperlekehkan. sering menjadi mangsa keadaan ker...