30.

1.2K 102 2
                                    

Bunyi bip keluar dari mesin bantuan pernafasan yang terpasang di hidung mereka yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Ada empat orang di dalam bilik rawatan biasa, manakala seorang lagi berada di wad ICU, masih dalam tempoh pemantauan. Setiap wajah mempunyai kesan jahitan, luka, dan tampalan, menjadikan wajah mereka tercela akibat kecederaan itu.

Athena duduk di tepi katil Tyler pada waktu itu. Dia menatap mata Tyler yang terpejam dengan lama, termenung kerana merasa serba salah. Tidak lama kemudian, dia menoleh ke kanan, melihat Xavier yang kaki bersimen tergantung pada tali dari siling. Tom, yang berada di katil sebelah kiri Tyler, berbalut pada bahagian kepala dan tubuhnya yang tidak berbaju. Sementara itu, Collin tiada kecederaan luaran, tetapi cedera dalaman dan baring di sebelah katil Xavier.

Tiba-tiba, suara serak kedengaran dari kirinya. "Athena... kau ke tu?" suara itu membuatkan Athena mengalihkan pandangan ke katil Tom. Mata lelaki itu terbuka sedikit.

Athena bangun dari katil Tyler dan mendekati Tom, lalu duduk di tepi tangan kanan lelaki itu. Dia diam di situ sementara Tom memandangnya dengan kening yang mencerlung.

"Apa yang berlaku?" tanya Tom, suaranya tenggelam timbul. "Ke mana kau pergi?"

"Shhh... rehat saja," bisik Athena.

"Athena... Kaiser dia—"

Athena cepat-cepat mengangguk. Dia meletakkan tangan di dada Tom dan menepuknya perlahan untuk menenangkan lelaki itu dari kegelisahan.

"Aku tahu," potongnya untuk menghalang Tom dari bercakap. "Dia tak apa-apa. Kau rehat saja," pujuk Athena sambil menepuk dada Tom dengan lembut. Lima saat kemudian, mata Tom terkatup semula. Lelaki itu kembali lena akibat ubat penahan sakit yang diberikan.

Setelah beberapa minit dalam bilik tersebut, Athena beralih ke ICU yang menempatkan Kaiser yang cedera parah. Dia hanya mampu melihat Kaiser dari balik kaca di dinding bilik tersebut kerana tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan pesakit.

Tiub putih berada di dalam mulut lelaki itu, tubuhnya yang tidak berbaju berbalut dari pangkal pinggang hingga ke dada. Kaki kiri lelaki itu juga berbalut. Mata kanan lelaki itu bertampal, dan terdapat kesan lebam pada lengan kanannya. Dada itu naik turun dengan perlahan.

Ketika Athena termenung memandang Kaiser, dia perasan kelibat muncul dari belakangnya, tetapi tidak bersuara kerana tahu siapa orangnya.

"Dia bersalah selepas kamu pergi hari itu. Sebolehnya dia ingin bercakap dengan kamu tetapi gagal kerana dia mencari kamu tetapi tidak jumpa..." Debris muncul di sisi, berdiri memandang ke arah Kaiser. "Malam sebelum dia menjalankan misi itu, dia ada cakap kalau dia tak sempat nak balik sini hidup-hidup. Dia suruh saya sampaikan pesan ini..."

Athena palingkan kepala ke kanan, memandang tepi wajah Debris. Dia melihat dagu lelaki itu yang sudah lama tidak dicukur. Misai halus mulai tumbuh di bahagian atas bibir. Tak lama kemudian, dia kembali memandang ke depan.

"Saya pergi bukan sebab marah padanya. Saya jumpa Aria... tuan sendiri tahu macam mana Aria..." balas Athena separa berbisik. Keluhan kecil dilepaskannya. "Belum sempat Aria hentikan semua itu, Kaiser sudah bertindak..." jelasnya.

Debris melepaskan keluhan, memasukkan tangan ke dalam poket seluar.

"Saya harap kamu tidak akan pergi macam itu lagi dan buatkan satu jabatan ini kelam-kabut," pintanya dengan ikhlas. "Saya fikir saya kehilangan kamu, memikirkan apa yang Aria mampu lakukan. Saya tak berani ambil risiko kehilangan kamu atau sesuatu yang buruk berlaku, jadi beritahu saya sekiranya kamu hendak ke mana-mana..." luah Debris lagi.

Athena memandang Kaiser dengan renungan dalam. Mengenangkan sikap kasar Kaiser terhadapnya, Athena sedikit pun tidak merasa serba salah atau kasihan. Siapa suruh keras kepala?

Dia sudah beritahu awal, tetapi masih juga berdegil. Inilah akibatnya.

8. Miss Kommander Chapter 1Where stories live. Discover now