Jari telunjuk mengetuk permukaan meja sambil meneliti anak buahnya yang nampak gagah dan hebat tetapi semuanya lembab! 10 lawan satu. Takkanlah itu pun tak boleh diuruskan.
Orang yang berwajah tegang memberi renungan marah ke arah pasukan elit di depan mejanya. Mereka ditugaskan untuk mencegah perjumpaan tersebut tetapi telah gagal hanya kerana seorang sahaja. Seorang!
"Maafkan kami!" ucap ketua kumpulan itu kepada orang tersebut.
Naik muak dia mendengar perkataan itu. Kalau bukan kerana mengenangkan kumpulan ini satu-satunya pahlawan terbaik yang dimiliki, sudah lama peluru menembusi kepala setiap seorang di sini.
"Habis tu, apa yang kau dapat? Formula tu? Apa-apa saja?" tanya dia dengan jengkel. "Tahu tak aku dah lama tunggu masa ini dan kau orang musnahkannya macam tu je."
"Kami tak sempat nak dapatkan apa-apa... datang je ke situ, kami diserang oleh pasukan pengawal Menteri Rusia dan-"
Keningnya terangkat tinggi tatkala anak buahnya tidak habis bercakap.
"Dan?" tanya dia.
"Sebelum kami tiba di situ, ada orang lain terlebih dahulu mengambil formula tersebut," jawab anak buahnya yang maju ke depan. Lelaki itu kemudiannya berdiri di depan mejanya, menunjukkan sesuatu di dalam telefon.
Dengan kening berkerut, dia memandang skrin telefon itu. Sebuah video yang diambil melalui kamera sewaktu menjalankan misi. Video di mana wajah seseorang muncul di skrin tersebut.
"Dia yang pegang formula tu..." ujar lelaki itu dengan kedua-dua tangan berada di belakang.
Dia memegang telefon itu dengan kuat saat melihat wajah dalam video itu. Wajah itu!
"Di mana kamu jumpa dia?" kepala dia tersentak memandang anak buahnya.
"Saya jumpa dia sewaktu dia berada dalam bilik semasa kami menyerbu bilik tersebut. Ketika itu keadaan terlalu kelam kabut dan sibuk. Saya tak sempat nak buat apa-apa. Kami dah cari setiap tempat tetapi tak jumpa, jadi saya assume orang dalam video tu yang ambil," jelas lelaki itu.
Video itu dihentikan pada saat wajah seorang wanita sedang dicekik, merenung tepat ke arahnya. Adakah orang dalam video ini adalah orang yang dia sedang fikirkan sekarang?
"Cari dia!" arahannya tegas, kemudian meletakkan telefon itu ke meja.
"Macam mana tuan?" tanya lelaki itu, membuatkan darahnya menyirap. Soalan kejadah apa yang ditanyakan itu?
Dia tepuk dahinya sendiri lalu menggeleng kepala.
"Guna otak la bengap! Takkan guna lutut? Kau tanya aku lagi, kepala kau orang aku penggal. Otak tu aku rebus bagi kau orang minum... Tak boleh pakai betul..." balasnya dengan nada jengkel.
"Baik!" angguk lelaki itu dengan patuh sebelum berpaling dari situ.
Dengan kening berkerut, dia memandang skrin telefon itu sebelum ia diambil oleh pemiliknya sendiri.
Dengan bahu yang berat dan dada yang sebu, dia bangun dari situ. Kakinya diatur mendekati almari di mana terdapat barisan laci. Salah satu dari laci tersebut ditarik keluar, mendedahkan isi di dalamnya, di mana terdapat beberapa keping fail dan sebuah album berbentuk pokok saiz tapak tangan.
Apabila album tersebut diambil, dia menyelak muka depan album itu. Memaparkan sekeping gambar sebuah keluarga, di mana si suami memeluk anak perempuan sulung di atas riba, sementara si isteri yang sedang sarat mengandung duduk bersimpuh.
Tidak lama dia meneliti gambar tersebut, keluhan berat dilepaskan. Buku album itu ditutup dan disimpan semula ke dalam laci sebelum termenung memandang keluar tingkap. Melihat langit malam yang tidak berbintang.
YOU ARE READING
8. Miss Kommander Chapter 1
General FictionAthena Seperti nama yang diberi. Athena menjadi seorang ejen pembunuh yang berbahaya. bukan sahaja menjadi musuh pada kebanyakkan ejen yang lain, malah rakan sekerjanya sendiri. Dia dipergunakan. dia diperlekehkan. sering menjadi mangsa keadaan ker...