"Atok, kenapa Wafa tak boleh jumpa babah? Wafa rindu babah." Adu Wafa. Dia menyandarkan tubuhnya ke tubuh Pak Harun.
Pak Harun mengusap rambut cucunya itu. Kesian. Perbalahan antara dua orang tua, anak menjadi mangsa.
"Selama ni, kau tak pernah pun kisah dengan babah kau tu. Kenapa yang tiba-tiba ni?" Tanya Puan Fatma yang baru melangkah keluar dari biliknya.
Panas hatinya. Nama yang sudah makin dilupakan, kembali semula. Lupakan? Mana mungkin. Melihat wajah Wafa saja akan mengembalikan ingatannya itu. Cuma, dia makin sejuk. Makin boleh memaafkan.
Pak Harun geleng kepala sambil melihat anaknya itu melabuhkan punggung disebelahnya.
Puan Fatma bukan seorang pemarah mahupun pendendam. Tapi entah kenapa sejak Wafa dilahirkan, perangai anaknya itu berubah. Dari seorang yang tenang, lembut, mudah dipujuk dan pemaaf, dia berubah menjadi keras kepala. Hatinya makin keras.
"Wafa jumpa babah semalam masa dekat rumah bapa. Tapi Faris tak bagi Wafa dekat dengan bapa." Beritahu Wafa.
"Apa?!"
Terus saja Puan Fatma pergi ke arah telefon. Nombor telefon rumah Puan Hajar didail.
"Panggil ibu, Faris." Arah Puan Fatma selepas menjawab salam.
"Hajar! Kenapa kau bagi Wafa jumpa Muaz?" Tanya Puan Fatma. Suaranya tinggi. Marah.
"Dia datang tiba-tiba." Jawab Puan Hajar.
"Dah tu? Macam mana budak ni tau tu babah dia?" Tanya Puan Fatma.
"Muaz pun tak tahu Wafa anak dia. Macam mana pula Wafa tau tu babah dia?" Tanya Puan Hajar kembali.
Puan Fatma terus meletakkan ganggang telefon. Matanya memandang Wafa. Tajam.
"Macam mana kau tau tu babah kau?" Menjenggil matanya.
Wafa merapatkan tubuhnya ke arah datuknya. Menyorokkan wajahnya dibelakang Pak Harun.
"Dahlah. Sampai takut budak tu." Tegur Pak Harun.
"Aku tanya. Macam mana kau tau tu babah kau!" Lebih tinggi suara Puan Fatma.
"Ibu marah babah sebab ceraikan mak. Wafa dengan Faris terdengar. Dari situlah kami tahu tu babah." Terketar-ketar Wafa bercerita setelah diherdik oleh emaknya.
Dia betul-betul takut dengan Puan Fatma sekarang ini. Tak pernah sekali pun Puan Fatma meninggi suara kepadanya. Tak pernah walau sekali pun.
Wafa menangis.
Puan Fatma menarik nafas dalam. Melepaskannya dengan kasar. Wajah kerisauan mula terpampar diwajahnya.
"Babah kau nampak kau tak?" Tanya Puan Fatma.
Wafa angguk.
Puan Fatma memejamkan matanya. Bibirnya diketap rapat. Risau dan marah.
"Kenapa kau keluar dari bilik? Kenapa tak dengar cakap bapa? Cakap ibu? Lepas ni, jangan pergi sana lagi. Faham?!" Arah Puan Fatma.
Wafa diam.
"Faham tak?"
Wafa angguk dek kerana ketakutan.
"Sudah Fatma. Budak ni dah takut dah ni." Lembut saja Pak Harun menenangkan anaknya.
"Fatma lagi takut, ayah. Macam mana kalau Muaz ambil dia dari saya? Macam mana saya nak hidup tanpa dia? Dia anak saya, ayah. Saya yang besarkan dia. Bersusah payah untuk dia. Apa saya buat ni, semua untuk dia." Puan Fatma sudah terduduk. Air matanya mengalir.
"Kalau dia tak ada, dunia saya gelap. Dia je sebab saya masih kuat. Masih normal. Dunia saya kembali cerah bila saya tahu saya mengandungkan dia. Bagi saya harapan. Bagi saya kekuatan. Ayah bukan tak tahu macam mana Muaz layan saya. Macam saya ni tak hidup. Hidup dia sibuk dengan Murni. Dengan anak dia. Saya ni?" Puan Fatma diam seketika. Mengelap air mata yang makin lebat mengalir. Mengenang segala kesakitan yang ditanggung selama ini.
"Bila Muaz ceraikan saya tanpa berfikir panjang, saya kuat seba saya tahu, dia ada dalam rahim saya. Saya nak dia lahir. Saya nak besarkan dia. Bahagiakan dia. Tapi, bila dia keluar, muka sebiji Muaz. Saya sakit ayah. Setiap kali pandang muka dia, saya ingat balik semua kenangan dengan Muaz. Sedang kami bahagia, tiba-tiba dia ceraikan saya. Hanya sebab salah faham yang langsung tak masuk dek akal. Dia percayakan Murni lebih dari saya. Isteri pertama dia. Kawan baik dia." Sambung Puan Fatma.
"Tapi, sikit pun saya tak pernah benci anak saya. Saya sayang dia. Dia segalanya untuk saya. Tapi dia? Asyik cakap saya bencikan dia. Dia bukan tak tahu kenapa. Tapi, dia tetap juga kata saya benci dia. Sampai nak sangat pergi kat babah dia. Nak sangat jumpa babah dia." Luluh hati seorang ibu.
Puan Fatma sedar, Wafa masih kecil. Masih belum faham apa yang dia rasakan. Dia faham. Anak seusia Wafa, perlukan kasih sayang dari keduanya. Tapi, dia tak mampu nak tahan apa yang dia rasakan.
Seperti susu yang diberi. Tuba yang dibalas.
"Mak. Wafa janji, Wafa takkan jumpa babah. Wafa janji, takkan tanya pasal babah lagi. Mak jangan menangis." Pujuk Wafa. Dia menghampiri Puan Fatma dan memeluk emaknya itu.
Puan Fatma memeluk Wafa.
"Mak sayang kau. Tapi, mak tak boleh nak selalu pandang kau. Bukan sebab mak benci kau. Tapi babah kau." Kata Puan Fatma.
Pak Harun hanya memandang. Air mata tuanya turut mengalir. Pertama kali anaknya itu memeluk cucunya. Pertama kali.
Sejak Wafa lahir, tak pernah Fatma memeluk Wafa. Saat menyusukan Wafa, dia hanya baring sebelah Wafa dan menghulurkan putingnya ke mulut Wafa. Langsung tak diangkat atau dikendung seperti ibu-ibu yang lain. Saat Wafa menangis, Fatma buat tak tahu. Tangan lelaki tua inilah yang memeluk dan memujuk.
Allah. Kau Maha Mengasihani.
YOU ARE READING
Bukan Untuk Aku
RomanceHubungan persahabatan berubah menjadi hubungan halal suami isteri. Pengalaman silam menjadi pengajaran. Pengajaran yang menjadi ketakutan. Ketakutan yang menjadi pembaziran.