Hanya bunyi mesin ventilator dan IV Drip menitis memasuki tiubnya sahaja yang kedengaran saat kakinya melangkah masuk ke dalam wad VIP tersebut.
Pandangan matanya disapa dengan sekujur tubuh yang lemah terbaring diatas katil yang serba putih itu. Kepalanya berbalut dengan kain kasa, begitu juga dengan kakinya.
Wayar-wayar mesin yang menentukan degupan jantung setiap pesakit berselirat pada tubuh gadis itu.
Perlahan sahaja kakinya melangkah mendekati tubuh itu. Wajah kusam dan lemah itu dipandang penuh sayu.
Monitor yang menunjukkan rentak degupan jantung gadis itu dipandang sekilas. Tenang sahaja jantungnya berdegup walaupun tidak stabil seperti yang sepatutnya.
"Assalamualaikum, Ariana. Aku datang ni," penuh sayu dia mengucapkan perkataan tersebut. Kerusi yang terletak berhampiran katil Ariana ditarik, merapati katil gadis itu dengan lebih dekat.
Dia melabuhkan punggungnya, matanya tidak pernah lari dari melihat wajah Ariana. Wajah orang yang dia cintai.
"Kau tak nak bangun lagi ke?" Soalnya kepada jasad Ariana yang seperti tidak ingin memberi respons.
"Bangunlah, Ari. Aku nak dengar ayat sindiran kau lagi," pujuknya lagi.
Satu keluhan kecil terlepas dari mulutnya.
"Ari, aku tak faham macam mana kau boleh hadap macam ni. Aku tak faham macam mana, Ari yang aku kenal, yang kuat selama ni boleh terbaring sebegini. Aku tak faham, macam mana seorang Ariana yang sentiasa peka pada situasi boleh terlepas pandangan. Tapi, aku tak boleh nak cakap banyak, sebab semuanya ketentuan Allah, bukan?" Nafasnya dilepaskan dengan begitu berat.
"Kalau kau dengar aku mengeluh fasal takdir Allah, mahu aku kena ceramah nanti," sambungnya, cuba untuk menenangkan hatinya yang semakin lama semakin sakit melihat takdir yang harus dihadapi oleh orang yang dia cintai.
"Ari, bangunlah. Aku nak dengar cerita penuh, bermula dari kau pergi misi tu dan bagaimana kau boleh terperap di sini. Aku nak dengar bebelan kau lagi,"
Haziq melepaskan tawa kecil, dia terasa seperti orang gila sahaja memujuk Ariana untuk bangun. Sedangkan dia tahu, degupan jantung dan kadar oksigen dalam badan Ariana masih tidak cukup untuk menyedarkan gadis itu dari tidurnya yang lama.
Namun, tidak ada yang sia-sia jika dia terus mencuba kerana dia tahu, dan dia pernah rasai keadaan ketika berada dalam koma.
Dia boleh dengar, setiap butir bicara orang sekeliling dan butir bicara itulah yang sedikit sebanyak memberi semangat untuknya, untuk sedarkan diri dan teruskan kehidupan seperti dulu.
Jika bukan kerana kata-kata semangat yang diberikan oleh ahli keluarga dan rakannya dahulu, dia juga berkemungkinan tidak akan dapat merempuh hari-hari yang dia lalui selepas dia koma beberapa tahun yang lepas.
Dalam erti kata lain, tanpa kata semangat itu, tanpa usahanya untuk sedarkan diri, bangun melihat dunia, doktor terpaksa mengesahkan kematiannya.
"Ari...," suaranya. Namun, tiada perkataan lain yang keluar dari mulutnya.
Sebaliknya, telinganya menangkap bunyi pintu bilik dikuak. Figura seorang lelaki berbadan tegak dan sasa menyapa pandangannya.
Siapa lagi kalau bukan Daniel Mukhriz.
Mata mereka bertentangan. Serta merta Haziq bangun dari duduknya.
"Maaf, aku tak nampak kau ada. Kalau kau nak privasi, aku boleh keluar dulu," ucapnya bila dia tersedar, dia masuk tanpa memberi salam.

ANDA SEDANG MEMBACA
HS 2: Love Journey [C]
Romance{ Sequel to Hidden Secret } 8 tahun telah berlalu, Ariana kini kembali semula ke bumi Malaysia. Dia pulang dengan perubahan yang mendadak. Tak ada siapa sangka itulah Ariana Quin Evelyn. Kerana terlalu fokus akan kerjayanya, dia tiada masa untuk me...