BAB 43

563 72 19
                                    


AIRA berlari anak mencari kelibat Aidan di sekitar ruang luar rumah. Kepalanya berpaling ke kiri dan kanan seiring dengan suara nyaring memanggil nama anak kecil itu.

"Aidan!"

Aidan berpaling sebelum tersengih-sengih memandang wajah ibunya. Dia berjalan pantas menghampiri Aira sambil tangan dilapangkan, meminta Aira mendukungnya. Permintaan Aidan ditolak begitu sahaja memandangkan anak kecil itu sekarang sedang kotor, hasil dari bermain-main dengan pasir.

"Aidan dah telefon ayah?"

Aidan angguk.

"Ayah cakap balik pukul berapa?" soal Aira lagi.

"Ayah balik lewat macam biashe."

Aira tersengih, lucu dengar perkataan 'biasa' daripada Aidan. Aidan ditarik lalu pipi gebunya dicium.

"Pergi masuk, dah-dah main. Ayah dah nak balik nanti ni, ibu nak call supaya dia balik awal. Jadi, Aidan kena la bersiap wangi-wangi, baru ayah makin sayang."

Aidan mengganguk dengan sengihan lebar. Ciuman ibunya dibalas juga. Pipi kiri dan kanan Aira dikucup sebelum dia berlari kecil menghampiri pintu kaca rumah yang menyambung ke ruang tamu.

Aira menggeleng kecil sebelum dia turut sama berjalan menghampiri pintu sliding tersebut. Segala persiapan sudah lengkap dan sempurna. Sekarang, dia hanya perlu menantikan kepulangan Syah saja.

Buat apa tunggu kalau benda boleh dipaksa? Ini Airalah, kalau tak paksa cara kasar, guna cara halus. Syah manalah kuat sangat kalau Aira buat-buat meragam nak menangis sikit. Pantang bunyi sedu sedan, dialah manusia paling laju maraton sampai ke muka Aira sebelum orang lain.

Sayanglah dikatakan. Jauh seribu nautika pun sanggup dikejar demi sang kekasih. Orang kalau dah bahagia bercinta ni, nak-nak pula Syah. Jangankan bulan dan bintang. Matahari, pluto, zuhrah semua dia sanggup hulur kepada Aira. Kononnya tanda kebesaran cinta padahal bulan pun tak pernah jejak.

Adat orang bercinta, kalau tak hiperbola melebihi mahadewa memang tak sah. Bukan bercintalah pula kalau tak puitis dan bermanis gula sampai potong kaki.

Jam dinding dikerling, sudah masuk pukul lima setengah. Tanpa berlengah panjang, nombor Syah didail dan Aira menanti jawapan panggilan Syah dalam debaran. Hujung bibir digigit sambil dia menahan senyum. Tak sabar nak dengar suara Syah dicorong telefon, tiba-tiba rasa rindu membuak-buak padahal baru saja pagi tadi mereka berpisah. Tak sampai 24 jam lagi pun!

"Helo, bidadari abang... kenapa bidadari call ni? Bidadari nak ajak abang main-main kat taman syurga ke?"

Aira ketawa di hujung talian. Dah kenapa pula dengan Syah ni? Stres sangat ke dengan kerja sampai biul. Atau dia pun sama-sama dah rindu dekat Aira?

"Eh! Ketawa pula? Kenapa tak balas ni sayang? Ke sayang nak tinggal abang sorang-sorang dekat bumi? Janganlah macam tu..."

Kali ni nada Syah agak merudum dari tadi. Tanda-tanda dia nak berlakon sedih atau merajuk. Syah dengan drama pukul tujuh atau cerita dongeng dunia khayalan berpisah tiada.

"Apa abang mengarut ni! Ish dia ni..."

Syah tersengih kecil. Dengar suara marah-marah manja Aira tu pun dah cair. Bahaya betul penangan cinta ni, orang yang bijak pandai macam dia pun tersungkur.

"La... abang pula dia cakap mengarut... hm... kalau macam tu, tak apalah. Abang tutup call la, nak merajuk dua minit dengan bidadari."

Belum lagi Aira membalas apa-apa, panggilan diputuskan. Terdiam Aira dibuatnya bila suara talian terputus mengetuk gegendang telinga. Dia ketawa sambil kepala menggeleng kecil. Syah ni macam-macam betullah perangainya! Ada aje akal dia nak menyakat la, nak acah merajuklah, nak bermanjalah.

Sweet ChocoWhere stories live. Discover now