BAB 48

221 33 5
                                    


BUNYI suara orang di sekitar Aira mengganggu lena panjangnya. Perlahan-lahan Aira cuba membuka mata. Kabur dan silau. Aira pejamkan semula mata bagi menghilangkan pedih silauan tadi. Air liur cuba ditelan tetapi tekaknya sekarang terasa sakit dan sangat kering.

Sekali lagi dia cuba membuka mata. Pandangan yang sedikit kabur tadi semakin jelas setelah dikelipkan mata beberapa kali.

Dia keliru. Atap yang diperbuat dari besi zink itu ditatap lama. Kepalanya cuba mengiring ke kanan sebelum dia mengaduh sakit. Kebas dan pedih bercampur baur. Seluruh tubuhnya juga terasa sakit.

Sekali lagi dia cuba palingkan wajah ke arah suara samar-samar tadi. Namun di sekelilingnya tiada sesiapa, hanya ruang tamu yang mempunyai beberapa kerusi kayu sahaja.

Dalam beberapa minit, naik seorang lelaki bert-shirt putih lusuh dari tangga bawah. Dia tak pasti ke arah mana anak tangga itu menuju, barangkali ke dapur. Memandangkan rumah yang dia duduk sekarang ini bercorakkan klasik dan agak lama.

Takut memandang wajah garang lelaki itu, Aira cuba larikan pandangannya ke arah berlainan. Tak mahulah dia disapa oleh orang itu, walaupun dia sekarang ni takut dan keliru di mana keberadaanya.

"Kau dah bangun?"

Sontak mata Aira tertumpu semula ke arah lelaki garang tadi. Nak menjawab, tekaknya kering dan sakit. Jadi, Aira hanya mampu berdiam saja. Setelah menyoal, lelaki itu turut sama berdiam diri sebelum di menuju ke arah tangga dapur.

"Perempuan tu dah bangun mak."

"Dah bangun?"

"Hm!" jawab lelaki itu sepatah sebelum dia bergerak menuju ke dalam biliknya sendiri.

Ewah-ewah! Poyo betul mamat ni. Bukannya nak tolong ambilkan air untuk aku. Tapi jalan semberono je masuk bilik, desis Aira sendiri.

Aira sebal. Matanya sekali lagi berkelip-kelip melihat atap zink rumah itu. Pelbagai soalan mengasak mindanya sekarang. Di manakah dia sekarang? Di manakah Syah berada? Dan apa yang telah berlaku ke atas dia sekarang?

"Nak, anak lapar ke?"

Muncul seorang wanita yang separuh abad di sisinya dengan membawa dulang makanan dan air minuman. Mata Aira membulat bila nampak air kosong yang terhidang dalam gelas. Dia cuba untuk bangun tapi badannya terasa sungguh sakit sekarang.

Melihat Aira yang terkial-kial, wanita itu cuba menahan belakang Aira untuk bangun dan duduk menegak. Segelas air dihulur sebelum Aira mencapai dan minum sehingga habis. Terasa lega tekaknya setelah menjamah air kosong tadi.

"Saya ada dekat mana sekarang?"

Soalan yang terbuku dalam hatinya akhirnya terpacul keluar juga. Pandangan Aira ditebarkan ke arah sekeliling ruang rumah itu bersilih ganti dengan wajah wanita di hadapannya.

"Asal kau tengok rumah aku macam tu. Tak selesa dengan rumah kampung?"

Satu suara muncul dari arah bilik lelaki tadi. Wajah sinis lelaki itu dipandangnya seketika sebelum dia jatuhkan pandangan ke bawah. Takut nak bertentang mata dengan lelaki garang itu.

"Nak... anak tak ingat langsung ke apa yang jadi dekat anak dekat ladang sawit hari tu?"

Kening Aira berkerut. Memori terakhir sebelum dia bangun hari ini seingatnya ialah dia dan Syah bersama-sama di resort. Aira diam seketika untuk cuba mengingat semula kejadian terakhir sebelum dia berada di rumah itu. Dalam beberapa minit keningnya terangkat sebelum rasa takut yang amat sangat menyelubungi diri.

Macam mana dia boleh lupa yang dia dibelasah teruk di tengah lebuh raya. Terus kepala Aira terdongak ke atas dan dia cuba mengensot ke belakang perlahan-lahan. Tubuhnya dipeluk sambil matanya tajam merenung wajah wanita itu dan lelaki garang tadi.

Sweet ChocoWhere stories live. Discover now