"DIA dulu yang kacau isteri Danial. Kalau dia tak kacau Aira, Danial tak naik tangan," bangkang Syah.
Aira di sebelah hanya membisu. Tak berani buka mulut walaupun tunjang masalah melibatkan dirinya.
"Tak kiralah sapa mula dulu. Kalau dah sampai bertumbuk ni, bahaya tahu tak! Dari kecil sampai besar, tak akan tok nek dengan mak ngah kena pantau selalu," suara Mak Ngah Jah pula menjawab dalam sebal. Pelipisnya diurut perlahan-lahan.
"Aku cuma nak ajak Aira pergi jalan-jalan aje. Dah Aira tiba-tiba macam nak tumbuk aku, aku tahan la tangan dia."
Afiq memandang Aira, mata redupnya menghantar mesej untuk Aira membela dirinya. Aira tundukkan pandangan, kedua-dua tangannya menggenggam hujung baju.
Geli. Itu sahaja yang terlintas di benaknya setiap kali teringat genggaman Afiq tadi.
"Kau ingat aku bodoh? Jelas-jelas Aira tolak tawaran kau, lepas tu kau yang paksa-paksa dia!" bidas Syah.
Makin tajam matanya mencerlung wajah selamba Afiq. Kalau boleh nak aje dia bagi penyepak sebiji dekat muka mamat rempit tu. Bila terkenang yang Mak Ngah Jah dan tok nek di situ, dia tahankan saja rasa.
"Apa masalah kau ni? Yang tak boleh rilek sikit apa hal?"
Dada Syah berombak kencang, makin menggila amarahnya mendengar jawapan Afiq. Riak wajah Syah makin bengis, dia pasti kalau Afiq memprovok dirinya lagi, tanpa salam, tumbukan sulungnya pasti melayang.
"Bukannya Aira kisah sangat pun, kau je lebih-lebih. Macam kau je la ada bini," sinis Afiq.
Sontak Syah berdiri merapati Afiq laju. Tanpa sempat dihalang, kolar baju Afiq ditariknya. Afiq masih memasang wajah sarkastik. Umpama memancing lagi amarah Syah supaya makin menggila.
"Danial! Dah, dah!"
Mak Ngah Jah laju melulu ke arah anaknya. Tangan Syah yang masih kemas menjerut kolar baju Afiq ditamparnya beberapa kali. Manakala tok nek yang berdiam sedari sejak tadi juga bertindak memaut tangan Syah supaya berhenti.
"Kau ni memang jantan tak sedar diri!"
"Abang!"
Hampir sahaja tumbukan Syah mendarat, jeritan Aira menghentikan segalanya. Syah diam kaku, penumbuk masih diawangan menanti masa untuk terjun ke muka Afiq.
"Abang... dahlah..."
Tangan yang dikepal oleh Syah, Aira pegang lalu turunkan perlahan-lahan. Badan Syah ditarik oleh Aira menjauhi Afiq. Kalau dia tak bersuara, mesti dah lunyai Si Afiq tu.
Afiq tu bukannya ganas sangat. Mulut saja lancang macam perempuan, fizikal biasa-biasa aje. Ketinggian dan bentuk badan mereka berdua lagikan berbeza, Afiq kurus dan mempunyai badan biasa-biasa. Syah pula, faham-fahamlah. Six pack memang lengkap pakejnya.
"Sudah-sudahlah tu. Saya tak nak besarkan masalah ni, lagipun kita semua keluarga kan? Mak ngah, tok nek, Aira okey. Tak ada apa-apa perlu dibimbangkan lagi."
Mak Ngah Jah mulai lega. Tak sanggup rasanya hati dia kalau melihat anak sendiri dibelasah oleh anak saudaranya. Sudahlah Afiq itu selalu berada di sampingnya, haruslah hati dia luluh melihat anak yang selalu berkepit dengan ibu sendiri, dibelasah sehingga lebam.
"Tak ada apa-apa sayang cakap?"
Syah menyoal dengan nada geram. Mata Aira tajam direnungnya, mencari kejujuran dalam kata-kata wanita tadi. Mereka berbalas pandangan sebentar sebelum Aira pejam mata dan melepaskan keluhan kecil.
"Abang, Aira penat. Jom masuk bilik, kita rehat," pinta Aira.
Syah hanya menurut tanpa kata. Dia faham, memang Aira sedang menipu. Menipu kerana tidak mahu memanjangkan kes lagi.
ANDA SEDANG MEMBACA
Sweet Choco
Romance"Sayang, semua kawan abang dah ambil dadah. Tinggal abang sorang je tak ambil lagi." "Dah tu, kau nak aku sumbat dadah ke dalam mulut kau?" "Tak payah tunggu sayang suap dadah pun, sebab sayang tu dah cukup mengkhayalkan abang." Mulut manis? Hah! Y...
