10

3.8K 345 46
                                    

Dahlia mengatur langkah masuk ke bilik kerja Datuk Darwisy. Papanya tika itu sedang melakukan kerja. Menyedari kehadiran anak perempuannya itu, komputer riba ditutup. Cermin mata pada batang hidung ditanggalkan.

"Have a seat." Dahlia hanya menurut. Kerusi di hadapan meja Datuk Darwisy diduduki. Langsung tidak berani memandang papanya itu.

Datuk Darwisy berdeham. Dahlia kekal membatu. Macam patung cendana pun ada juga. Keadaan kembali hening.

"El..-" bicara Datuk Darwisy terhenti apabila Dahlia memilih untuk bersuara.

"El ada buat salah ke pa?" Kendur nada suara Dahlia. Salah apa lagi yang dia lakukan kali ini? Bersiap sedia untuk dimarahi oleh Datuk Darwisy.

Mengenangkan apa yang berlaku antara mereka, dia tidak salahkan Dahlia. Pasti Dahlia fikirkan dia ingin dimarahi. Bukan itu sebenarnya tujuan Datuk Darwisy memanggil Dahlia.

Datuk Darwisy menghela nafas perlahan. Jujur hati tuanya rindu untuk berbual dengan satu-satu anak perempuannya itu. Tetapi, disebabkan rasa kecewa yang menggunung dia bukan sahaja membuatkan hubungan mereka dingin malah dia menambahkan lagi luka yang sedia ada di hati anaknya itu.

"How are you?" Dahlia panggung kepala. Terkebil-kebil memandang si ayah.

"How is my daughter?" Tubir mata mulai memanas. Jujur dia rindukan kehangatan dan kasih sayang seorang ayah daripada Datuk Darwisy. Empat tahun dia hilang semua itu. Perlahan-lahan, air mata mulai membasahi wajah Dahlia.

"El.. El okay."Terbata-bata dahlia menjawab. Dia berbohong. Dahlia tidak baik-baik sahaja. Tidak mahu merisaukan si ayah. Cukuplah sekali dia melukakan hati Datuk Darwisy.

Datuk Darwisy bangkit dari duduk. Langkah ditala mendekati si anak. Lama dia menatap Dahlia yang masih menunduk.

"How are you?" Datuk Darwisy mengulang soalan yang sama. Dia mahu Dahlia jujur. Dia tahu Dahlia tidak baik-baik sahaja. Esakan halus mulai kedengaran. Hanya itu yang mampu Dahlia lepaskan saat ini.

Datuk Darwisy merendahkan tubuhnya. Dirangkul tubuh si anak ke dalam pelukan. Dahlia sudah mengongoi. Dia rindukan papanya.

"Papa minta maaf. Papa ikutkan sangat rasa kecewa sampai papa sakiti anak papa sendiri. El maafkan papa ya." Air mata turut mengalir dari tubir mata Datuk Darwisy. Dia betul-betul ingin pulihkan hubungannya dengan satu-satu anak perempuan yang dia miliki.

"El.. El yang.. salah. Kalau El kat tempat papa pun, El akan buat benda yang sama. El dah menconteng arang di muka papa dan mama." sayup-sayup kedengaran suara Dahlia yang masih memeluk ayahnya itu.

"El tak salah sayang. Papa yang tak pernah nak berdamai dengan Qada' dan Qadar. Papa lupa, semua yang jadi dah tertulis sejak awal lagi. Tapi percayalah cakap papa, papa tak pernah sekali pun bencikan El. Papa sayang, cuma.."

"Kecewa. El tahu papa kecewa. Dan andai El boleh putar balik masa, El takkan buat benda bodoh tu. El tak sepatutnya hanyut macam tu sedangkan mama dengan papa tatang El bagai minyak yang penuh. El menyesal pa. El minta maaf." El mencelah sebaik meleraikan pelukan dengan ayahnya. Saat ini dia mahu luahkan rasa yang sudah terbuku lama di dalam hati.

"El minta maaf. Tak pernah terniat dan terdetik di hati El nak malukan papa dan mama. Kejadian malam tu bukan El yang rancang. El tak nak semua tu berlaku. Tapi, apa yang jadi benar-benar beri tamparan besar pada El. Bukti yang Allah tak pernah lalai. Andai El tak hanyut dan terjerumus dengan air haram tu waktu study dulu, semua ni takkan jadi." Dahlia luahkan segalanya. Dahlia akur dan berdamai dengan ketentuan itu. Tetapi, andai dahulu dia teguhkan iman dan ingat pada yang esa semua ini tidak akan terjadi.

"Benda dah jadi El. Kita tak boleh nak putar balik masa. Tapi, kejadian tu menyebabkan El belajar benda yang lebih besar. El belajar jadi seorang ibu. El menyesal Delisha hadir?" Datuk Darwisy menyoal. Laju Dahlia gelengkan kepala.

 His Amore | SUWhere stories live. Discover now