33

2.6K 257 29
                                    

ANGIN subuh menerobos masuk ke dalam bilik tidur yang sudah sememangnya sejuk dengan pendingin hawa. Pintu balkoni yang sedikit terbuka, menampakkan figura tinggi lampai yang sedang berdiri sambil menongkat siku di pagar balkoni.

"Ingat pesan aku Kasyaf, kau terus teranglah dengan wife kau. Benda kecil macam ni boleh wujudkan syak dan wasangka. Benda kecil macam ni boleh menggoyahkan rumah tangga lagi-lagi dengan korang yang punya sejarah tak berapa elok,"

Pesanan Hafiy Lutfan ketika selesai majlis pernikahan mereka semalam, masih terngiang-ngiang di telinga. Sesekali keluhan berat dilepaskan. Badannya yang tadi menghadap ke arah kawasan lapang villa D&E mulai dipalingkan ke pintu balkoni bilik.

Pandangannya jatuh pada sekujur tubuh yang sedang diulit mimpi di atas ranjang. Duvet putih membalut tubuh itu sesekali bergerak mungkin kerana keadaan yang agak dingin.

Saat pandangan dipasakkan ke arah wajah si isteri yang diulit mimpi, sayup-sayup kedengaran azan subuh berkumandang menyentakkan perbuatannya. Langsung, anak mata melirik ke arah jam dinding. Kaki kemudian ditala masuk ke dalam bilik dan menuju terus ke bilik air.

Dahlia yang diulit mimpi, mulai mencelikkan mata saat azan subuh yang berkumandang menerpa ke koklea telinga. Toleh ke sebelah, kosong. Tempat tidur itu juga kemas seperti tiada tanda-tanda orang berbaring. Mata meliar ke penjuru bilik, kelihatan meja kopi penuh dengan fail dan komputer riba yang masih hidup.

Tahulah Dahlia yang Kasyaf semalaman tidak tidur dan hanya menghadap kerjanya. Dia terlebih dahulu masuk tidur semalam manakala suaminya itu dibiarkan berbual bersama dengan Datuk Darwisy.

Matanya meliar kesegenap ruangan bilik itu, tiada kelibat Kasyaf. Tetapi bunyi pancuran air dari dalam bilik mandi menandakan di mana keberadaan suaminya itu. Perlahan-lahan Dahlia bangun dari pembaringannya. Otot sendi direnggangkan. Terasa badannya sakit-sakit mungkin kerana majlis yang berlangsung agak lama semalam. Usai itu, kaki dijuntai ke lantai sambil duduk di birai katil menunggu Kasyaf keluar dari bilik mandi.

Cincin yang menghiasi jarinya dipusing-pusing. Entah kenapa seolah-olah masih tidak percaya yang dia sudah bernikah dengan lelaki yang sudah hampir menhancurkan seluruh hidupnya sebelum ini. Andai dia berputus harap suatu ketika dahulu, mungkin tiada Dahlia versi yang sekarang.

Bunyi pintu tandas dibuka menyentakkan Dahlia. Lantas tuala dan pakaian dicapai dan kaki mulai menapak ke bilik air. Kasyaf yang berselisih dengannya di muka pintu itu hanya dibiarkan bagai angin lalu.

Kasyaf palingkan tubuh berharap agar si isteri memandangnya namun hampa apabila pintu tandas langsung sahaja ditutup rapat. Keluhan terlepas dari ulas bibirnya.

Kesabaran di dalam dirinya dipupuk. Dia tahu tidak mudah untuk dia lembutkan Dahlia. Isterinya itu keras sebegitu kerana khilafnya sendiri.

"Sabarlah Kasyaf, sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar,"

Pesanan Hafiy Lutfan sering kali terngiang-ngiang di telinganya. Masakan tidak, Hafiy Lutfan itu adalah contoh sebaik-baik seorang suami. Dia sendiri menyanjung tinggi sepupunya itu. Oleh kerana itu, setiap apa yang lelaki itu tuturkan akan dia semat di dalam hati.

Tidak mahu terus dibuai dengan kekecewaan, kaki ditala ke arah walk-in wardrobe. Baju melayu dan kain pelikat disarungkan ke tubuh.

Usai itu, dua helai sejadah dibentang buat mereka suami isteri. Pertama kali dia bakal mengimamkan solat dan pertama kali dia bakal bermakmumkan seorang isteri. Sabar menanti kehadiran sang isteri untuk mereka solat berjemaah.

Saat Dahlia keluar dari bilik air, sejadah sudah siap dibentang. Sang suami sedang bersila di atas sejadah menantinya. Tanpa banyak menyoal, telekung langsung disarungkan.

 His Amore | SUWhere stories live. Discover now