Pagi itu mendung, langit kelabu menggantung rendah di atas Tanah Perkuburan Kampung Baru. Angin lalu perlahan, membawa bau tanah basah yang baru digali. Suasana sunyi? seolah-olah seluruh tempat itu tahu ada sesuatu yang telah hilang. Di satu sudut, beberapa anggota PDRM berdiri dalam barisan. Tegak dan diam.
Satu penghormatan khas untuk seorang lelaki yang tak pernah pakai uniform tetapi mati kerana membantu mereka. Yang sanggup menyamar, menyusup malah memasukkan dadah ke dalam tubuhnya sendiri. Semata-mata untuk menjatuhkan mereka yang lebih kotor.
Jenazah dibawa masuk dengan berhati-hati, di atasnya diselubung kain putih. Semua yang hadir tunduk tanpa bersuara. Hanya bunyi langkah kaki di atas tanah. Ezlin berdiri bersama Ain. Mata Ezlin merah, sembab. Nafasnya tidak sekata.
Di sebelahnya, Haikal berdiri diam. Tak menyentuh, tapi cukup dekat, bersedia jika Ezlin rebah.
Di hadapan liang lahad, Naim berdiri tegak. Tubuhnya kaku, matanya merah. Jari-jarinya menggenggam kuat di sisi. Dia tunduk sedikit. Suara keluar perlahan, hampir tak kedengaran.
"Aku lambat..." Dia telan liur. "Kalau aku sempat tahan dia..."
Ayat itu mati di situ, tak mampu disambung.
Di sebelah, Taufiq memandang tanah. Rahangnya ketat, mata sudah berkaca. "Kita baru nak rapat dengan dia..." Suara dia berat, perlahan. D"Walaupun hidup dia macam tu..."Dia berhenti sekejap. Kemudian sambung."Hati dia bersih."
Hafiz pula berdiri paling diam, langsung tak bergerak. Tangan digenggam kuat sampai urat timbul di pergelangan. Matanya hanya pada jenazah, lama. Kemudian dia bersuara, rendah.
"Dia sanggup korbankan diri dia..." Satu ayat, namun cukup untuk menikam.
Di belakang mereka, Hadiff berdiri tegak seperti biasa. Wajahnya tak banyak berubah. Tapi matanya, tak pernah lepas dari liang lahad itu. Seorang ketua yang tahu dia sudah kehilangan seseorang yang takkan boleh diganti. Jenazah diturunkan perlahan. Tali dilepaskan sedikit demi sedikit. Tubuh itu masuk ke dalam tanah.
Di sisi, Ashraff berdiri. Tubuhnya masih lemah. Wajahnya kosong. Seolah-olah belum sempat faham apa yang berlaku. Di sebelahnya, Fahim berdiri. Matanya merah, dia pandang Ashraff.
"Ashraff..." Ashraff tak menjawab. Matanya terpaku pada kubur.
"Abang..." Suara dia pecah. "Aku janji..." Nafasnya tersekat.
Air mata jatuh tanpa henti. "Aku takkan jadi macam dulu lagi."
Fahim pegang bahunya kuat. Menarik sedikit supaya dia sedar.
"Dia dah buat bahagian dia..." Suara Fahim sendiri bergetar.
"Sekarang giliran kau hidup betul-betul." Dia telan liur. Air mata jantannya jatuh. "Jangan sia-siakan apa dia pesan..." Ashraff tunduk, menangis dalam diam. Lebih sakit dari jeritan.
Tanah mula ditimbus satu demi satu. Bunyi cangkul, bunyi tanah jatuh berulang kali tanpa henti. Ezlin akhirnya tak mampu tahan. Nafasnya pecah perlahan. Air mata jatuh tanpa suara.
"Dia meninggal sebab aku..." Suara dia hampir hilang. Ain cepat pegang dia. "Lin... jangan macam ni..." Ezlin geleng perlahan.
Tangannya menggenggam kain di dada. "Kalau aku tak..." Ain potong dengan laju. "Bukan salah kau!" Tapi suara Ain sendiri bergetar. Haikal melangkah sedikit dekat. Masih tak menyentuh Ezlin, tapi cukup dekat. Untuk jadi tempat dia jatuh kalau perlu.
Tanah diratakan perlahan dan rapi. Batu nisan dipacakkan dengan kemas. Nama terukir, Muhammad Yusri Bin Abdullah telah pun selamat disemadikan pada hari itu. Suasana semakin sunyi dan pilu. Angin lalu perlahan, daun bergoyang. Tiada siapa bersuara sebelum talkin habis dibaca.
Hadiff akhirnya melangkah ke depan, dekat dengan Naim. Suara dia rendah, membisik. "Dia mungkin tak pakai uniform, tapi dia paling berani antara kita." Sunyi. Naim telan liur. Mata dia masih pada tanah yang baru ditimbus. Rahang dia ketat.
"Aku ada... tapi aku tak sempat selamatkan dia."
Hadiff tak pandang dia, sebaliknya suara dia masuk dengan tenang. "Ini bukan salah kau." Naim geleng perlahan. Air mata jatuh juga akhirnya. "Aku janji..." Mata dia naik sikit. "Aku akan habiskan semua ni." Hadiff angguk sekali.
"Kita buat sama-sama." Satu demi satu orang mula beredar. Tapi Haikal masih berdiri dan tak bergerak.
ANDA SEDANG MEMBACA
AMPUNKAN AKU
Fiksyen UmumDunia mengenali Nur Ashikin sebagai penjenayah. Namun apabila Ezlin Syafira, seorang wartawan muda itu mula menyelami kisah hidup wanita itu. Dia menemui sesuatu yang tidak pernah dilihat orang lain. Di sebalik segala dosa dan kesilapan, masih ada s...
