BAB 69

26 3 0
                                        

Keranda jenazah Nur Ashikin akhirnya diangkat perlahan keluar dari rumah. Tanah merah depan rumah itu masih lembap selepas hujan malam tadi. Haikal, Hadiff, Fahim, Zamir dan beberapa lelaki kampung sama-sama memegang sisi keranda. Langkah mereka perlahan menuju tanah perkuburan kampung.

Sementara Ravi berjalan dekat belakang sambil membantu memegang bahagian hujung pengusung bila salah seorang lelaki kampung mula kepenatan. Sesekali lelaki India itu memandang senyap ke arah keranda Ash tanpa banyak bercakap. Ashraff berjalan rapat dekat sebelah keranda itu sejak tadi.

Hanya terdiam, namun matanya masih merah selepas kejadian dekat rumah tadi. Tak jauh belakang, Ezlin berjalan bersama Ain sambil memegang payung hitam kecil. Air mata perempuan itu masih jatuh sesekali. Tanah perkuburan kampung pagi itu sunyi. Liang lahad sudah siap dikorek sejak awal pagi tadi dan di sebelah liang itu, terbentang dua lagi pusara lama.

Kubur Puan Hajar dan kubur Lebai Hashim.

Ash akhirnya balik juga dekat ibu dan ayahnya. Keranda diletakkan perlahan dekat sisi kubur. Beberapa orang lelaki mula membuka penutup keranda perlahan sebelum jenazah dikafankan itu diangkat keluar.

Fahim turun dulu ke dalam liang lahad. Tangannya menggigil masa menyambut jenazah sepupunya sendiri. Haikal dan Hadiff membantu menurunkan jenazah perlahan menggunakan kain pengusung. Bunyi esakan kecil mula kedengaran dekat belakang. Ashraff terus melangkah ke depan. "Aku nak turun."

Suara lelaki muda itu rendah. Namun, cukup tegas buat semua orang diam. Pak Imam memandang dia beberapa saat sebelum mengangguk perlahan. Ashraff turun masuk ke dalam liang lahad bersama Fahim dan waktu itulah, dia sendiri menyentuh tubuh ibunya buat kali terakhir.

Dengan tangan menggigil, Ashraff membantu membaringkan jenazah Ash perlahan menghadap kiblat. Air mata jatuh setitik demi setitik dekat kain kafan putih itu. "Ibu... rehatlah."
Suara dia hampir berbisik. Fahim terus berpaling cepat sebab tak sanggup tengok. Tak lama kemudian, papan lahad mula ditutup satu-persatu.

BUK. BUK. BUK.

Bunyi papan kayu dan tanah basah pagi itu terasa terlalu berat.
Ashraff akhirnya naik semula dari liang lahad dengan kasut dan seluar dipenuhi tanah merah. Namun lelaki muda itu langsung tak peduli. Tanah mula ditimbus perlahan. Seorang demi seorang mula menyodok tanah masuk ke dalam kubur.

Dan bila semuanya selesai, Ashraff sendiri melangkah perlahan ke depan sambil memegang batu nisan. Semua orang diam memandang dia. Dengan tangan yang masih kotor tanah, lelaki muda itu mencacak perlahan batu nisan dekat kepala dan kaki kubur. Tangannya menggigil sedikit masa menekan batu itu masuk ke dalam tanah merah yang masih lembut.

Air mata akhirnya jatuh lagi dekat pipinya. Pak Imam perlahan duduk dekat tepi pusara sebelum membuka kitab kecil di tangan. Hujan renyai mula turun semula. Angin pagi bertiup perlahan menyapu tanah perkuburan yang sunyi itu. Kemudian, suara talkin mula bergema perlahan.

"Wahai Nur Ashikin binti Siti Hajar, dengarlah pesanan kami ini... Ingatlah akan janji Allah Subhanahu Wa Ta'ala..." Seluruh tanah perkuburan terus sunyi. Hanya suara Pak Imam dan bunyi hujan halus kedengaran pagi itu.

"Wahai Nur Ashikin binti Siti Hajar... Sekarang engkau telah berpindah dari alam dunia... menuju alam barzakh. Alam yang kekal sehingga hari kebangkitan..." Ezlin terus menundukkan kepala sambil menangis diam-diam. Ain menggenggam tangannya erat.

"Wahai Nur Ashikin binti Siti Hajar, apabila datang kepadamu dua malaikat yang mulia...Mungkar dan Nakir. Maka janganlah engkau takut dan janganlah engkau bersedih..." Ashraff terus tunduk memandang tanah kubur itu tanpa berkedip. Bahu lelaki muda itu mula bergetar kecil.

"Dan apabila ditanya siapakah Tuhanmu, maka jawablah, Allah Tuhanku... dan apabila ditanya apakah agamamu. Maka jawablah, Islam agamaku..." Fahim terus mengesat air mata perlahan sambil menundukkan kepala. Haikal pula berdiri diam memandang pusara itu lama. Rahang lelaki itu masih keras menahan emosi.

AMPUNKAN AKUCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang