Dewan Banquet PDRM pagi itu dipenuhi pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan. Pakaian istiadat berwarna putih memenuhi ruang dewan yang besar itu. Di barisan hadapan, beberapa pegawai kanan sedang menunggu nama mereka dipanggil untuk menerima kenaikan pangkat.
Antaranya ialah Hadiff. Hari ini secara rasmi dia akan menerima kenaikan pangkat sebagai Deputi Superintendan Polis, DSP. Satu gelaran yang pernah kelihatan begitu jauh suatu ketika dahulu. Namun, kini berada di hadapan matanya.
"ASP Hadiff Iskandar." Nama itu bergema melalui pembesar suara dewan. Hadiff bangun dari tempat duduknya.
Melangakah tenang sama seperti biasa. Tiada senyuman dan riak berlebihan. Dia berjalan menuju ke pentas utama sebelum memberi tabik hormat. Seluruh dewan bergema dengan tepukan. Di bahagian belakang pula, Naim menepuk tangan paling kuat. "Tu diaaa..." Naim yang sedang duduk di kerusi belakang terus menepuk tangan paling kuat sekali sampai beberapa orang pegawai di sebelah berpaling memandangnya.
Taufiq yang sedang menghirup air mineral terus menyiku rusuk lelaki itu. "Diamlah. Macam kau yang naik pangkat. Nanti satu dewan dengar." Dia berbisik. "Asal?" Naim menjeling Taufiq. "Aku yang kena marah dengan dia selama bertahun-tahun." Hafiz terus menyampuk. "Tu bukan syarat naik pangkat."
"Asal bukan?" Naim terus membalas. Hafiz menyandar santai sambil melipat tangan di dada. "Tu syarat jadi mangsa."
Aswad yang duduk di sebelah terus tergelak. Sementara Ravi hanya menggeleng kecil melihat perangai mereka. Tidak jauh di hadapan, lencana pangkat DSP akhirnya dipakaikan pada bahu Hadiff. Tepukan sekali lagi bergema. Namun, Hadiff cuma memberi tabik hormat sebelum kembali ke tempat duduknya.
Wajahnya tetap sama, serius. Seolah-olah dia baru selesai menghadiri mesyuarat biasa.
Majlis tamat hampir sejam kemudian. Di luar dewan, ramai pegawai mula mengambil gambar bersama keluarga dan rakan sekerja. Naim terus berlari mendapatkan Hadiff. "Tuan!"
Hadiff yang sedang berbual dengan Ravi berpaling. "Apa?"
"Tolong senyum masa gambar nanti."
"Aku tengah senyum." Naim terus terdiam.
Beberapa saat dia memandang muka Hadiff. Kemudian memandang Ravi. "Tuan Ravi..."
"Ya?"
"Tuan nampak dia senyum ke?" Ravi menghirup kopi sebelum menjawab selamba. "Nampak."
"Asal saya tak nampak?"
"Sebab awak belum cukup pengalaman."
Aswad terus ketawa. Taufiq pula dah terpaksa berpaling sebab nak gelak. Hadiff cuma menggeleng perlahan. Beberapa minit kemudian mereka semua berkumpul untuk bergambar. Taufiq memegang telefon. "Okay semua rapat sikit." Semua mula berdiri dalam satu barisan. "Tuan Hadiff tengah."
"Aku dekat tepi cukup." Taufiq terus menggeleng.
"Hari ni tuan yang naik pangkat. Tengah." Hadiff mengeluh perlahan. Namun akhirnya berdiri juga di tengah. "Okay..."
Taufiq mengangkat telefon. "Tiga... Dua... Sat." Naim tiba-tiba mencelah. Semua memandangnya. "Apa lagi?"
"Tuan..." Dia memandang Hadiff. "Belanja kambing." Semua terus pecah ketawa. Aswad sampai terpaksa menunduk.
Hafiz menutup muka. Ravi pula menggeleng sambil ketawa kecil. Hadiff bersuara. "Perangai kau tak berubah."
"Jadi kambing ada ke tak, tuan?" Taufiq menyoal lagi. Hadiff pandang dia tak lepas. "Taufiq..."
"Ya tuan?" Taufiq mengangkat wajah sambil senyum. "Laporan minggu lepas dah siap?" Serta-merta senyuman Taufiq hilang.
Seluruh kumpulan terus ketawa besar. Tidak lama kemudian, suasana kembali tenang. Seorang demi seorang mula beredar.
Tinggal Hadiff dan Ravi berdiri berhampiran tangga dewan. Angin pagi bertiup perlahan. Ravi memandang lencana DSP pada bahu Hadiff. Beberapa saat dia diam. Kemudian bersuara perlahan sambil tersenyum kecil.
"Kalau Yusri ada hari ni budak tu mesti bising satu dewan."
Hadiff terdiam. Matanya jatuh pada lencana bahunya. Dalam fikirannya muncul wajah Yusri. Budak kampung yang dulu pernah tersilap jalan. Pernah hidup dengan dadah. Pernah dibenci orang kampung sendiri. Tetapi akhirnya memilih untuk membantu pihak polis walaupun nyawanya sendiri menjadi taruhan.
ANDA SEDANG MEMBACA
AMPUNKAN AKU
Fiksyen UmumDunia mengenali Nur Ashikin sebagai penjenayah. Namun apabila Ezlin Syafira, seorang wartawan muda itu mula menyelami kisah hidup wanita itu. Dia menemui sesuatu yang tidak pernah dilihat orang lain. Di sebalik segala dosa dan kesilapan, masih ada s...
