BAB 70

28 3 0
                                        

Pagi Isnin itu, pejabat Warta Malaya kembali riuh seperti biasa selepas beberapa minggu suasana muram menyelubungi seluruh jabatan berita. Ada yang sedang mengejar deadline, ada yang sedang menyiapkan artikel, dan ada juga yang masih menguap sebab tak cukup tidur. Namun semua itu tenggelam apabila satu suara tiba-tiba bergema dari hujung pejabat.

"Ku juga mencintai dirimu..." Suara Zamir cukup kuat sampai beberapa orang terus mengangkat kepala dari komputer masing-masing. "Mengapa sukar ku luahkan..." Seorang wartawan lelaki yang sedang menaip terus berhenti. "Woi... awal-awal pagi dah mula sumbangkan suara..." Namun Zamir langsung tak peduli.

Sambil membawa fail, dia berjalan perlahan melintasi meja demi meja. "Bukan sengaja ku menahan..." Malah semakin kuat dia menyanyi. "Bibir membeku... lidah terkelu..."
"Woi!" Satu suara perempuan menjerit dari tengah pejabat.
Semua orang terus tahu siapa. Ain sedang berdiri dengan muka merah menahan malu. "Diam boleh tak?!"

Seluruh pejabat terus ketawa. Zamir berhenti berjalan. Dia memandang Ain dengan muka selamba. "Aku nyanyi je."
"Aku baling fail ni dekat kepala kau nanti baru tahu." Ketawa makin kuat pecah. Seorang wartawan wanita terus mencelah.
"Nyanyi konon." Dia memuncungkan bibir ke arah Ain. "Satu pejabat tahu dia nyanyi untuk siapa."

Ain terus menutup muka dengan kedua-dua tangan. "Ya Allah..." Seorang lagi wartawan lelaki bangun dari kerusi.
"Kau tahu tak, Zamir?"
"Apa?"
"Dari pukul sembilan pagi tadi kau dah lalu depan meja Ain sebelas kali." Satu pejabat terus meletup ketawa.

"Sebelas kali?" Zamir membela diri. "Kau kira ke?"
"Lah, mestilah kira. Tengok perangai kau ni dah macam CCTV bergerak." Ketawa makin kuat. Ain pula dah mula rasa nak menyorok bawah meja. "Korang ni tak ada kerja ke?"
Seorang editor wanita pula menyampuk dari jauh. "Kalau suka, cakap je la suka." Zamir terus tersengih.

"Aku tak pernah cakap aku suka sesiapa."
"Alaaa... Padahal satu pejabat tahu."
"Betul. Budak intern pun tahu." Ain terus mencapai buku nota atas meja. "Zamir!"
"Apa?" Zamir pandang Ain tak lepas. "Kalau kau tak diam sekarang, aku sumpah aku baling benda ni."

Namun Zamir masih tersengih. "Garangnya dia ni." Dia menggeleng perlahan. "Patutlah aku suka."
"Woi!!" Buku nota terus melayang. Nasib baik Zamir sempat menunduk. Seluruh pejabat hampir pecah perut ketawa.

"Wey serius la. Kahwin je terus."
"Aku sponsor bunga telur."
"Aku sponsor kambing."
"Diamlah!"

Ain sudah betul-betul malu. Tengah semua orang seronok mengusik, satu suara tiba-tiba kedengaran dari belakang.
"Siapa sponsor kambing?" Seluruh pejabat terus senyap. Macam suis ditutup. Semua berpaling perlahan ke arah Haikal sedang berdiri dekat pintu pejabat sambil memegang fail. Wajah lelaki itu kosong seperti biasa.

Kemudian semua orang terus menundukkan kepala dan menyambung kerja masing-masing. "Tak ada apa-apa, bos. Saya tengah buat artikel ni."
"Saya pun." Haikal hanya mengangkat sebelah kening sebelum masuk ke biliknya. Pintu tertutup. Barulah seluruh pejabat melepaskan nafas. "Gila... macam nak mati tadi. Nasib baik bos mood baik."

Zamir pula terus duduk dekat mejanya dan berpura-pura menaip macam orang paling rajin dalam pejabat. Ain menjeling tajam. Namun tanpa sedar, hujung bibirnya terangkat sedikit. Tak jauh dari situ, Ezlin hanya memerhati semua itu sambil tersenyum kecil. Sudah lama dia tak dengar suasana pejabat serancak ini. Namun bila dia duduk semula dekat mejanya, senyuman itu perlahan-lahan hilang.

Dia membuka laptop. Matanya terus jatuh pada satu folder yang tersimpan kemas di desktop, NUR ASHIKIN. Jari Ezlin terhenti beberapa saat. Kemudian dia mengklik folder itu perlahan. Puluhan fail terus muncul di skrin. Rakaman suara, transkrip temu bual, gambar lawatan penjara, nota siasatan dan gambar-gambar lama Ash. Ezlin membuka satu persatu.

AMPUNKAN AKUCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang