Isaac berdiri tenang di kandang saksi. Tangan bergari di depan langsung tak menghilangkan aura lelaki itu. Seluruh dewan memandangnya. Sunyi dan tegang. Hakim memandang beberapa dokumen sebelum mengangkat muka semula.
"Tertuduh diberi peluang membela diri."
Isaac mengangguk kecil. Kemudian perlahan-lahan dia memandang seluruh dewan. "Saya dinafikan hak saya sejak awal siasatan." Suara dia rendah dan teratur. "Nama saya dibina sebagai penjenayah sebelum mahkamah sendiri membuat keputusan." Dia memandang sekejap ke arah Fahim.
"Keterangan saksi tadi hanyalah andaian. Kejadian berlaku waktu malam. Dia nampak sebuah kereta hitam." Senyuman kecil muncul dekat bibir Isaac. "Berapa banyak kereta hitam ada dekat Kuala Lumpur?" Beberapa orang dalam dewan mula berpandangan sesama sendiri. Isaac kemudian mengalihkan pandangan ke arah Ezlin. "Dan wartawan muda ini..."
Muka Ezlin terus berubah. Isaac tersenyum kecil.
"Terlalu emosional sejak awal. Saya rasa semua orang dalam mahkamah ini boleh nampak dia terlalu terlibat secara peribadi dalam kes ini." Rahang Haikal terus mengetat. Isaac menyambung lagi. "Dia percaya bulat-bulat cerita seorang banduan." Matanya jatuh tepat ke arah Nur Ashikin.
"Seorang pembunuh." Ash terus mengangkat muka perlahan. Matanya gelap namun dia tetap diam. Isaac bersandar sedikit dekat kandang saksi. "Saya simpati dengan apa yang berlaku kepada Nur Ashikin. Tapi saya tidak pernah paksa dia membunuh Danny." Sunyi terus jatuh dalam dewan. Isaac memandang tepat ke arah Ash sekarang.
"Kau bunuh Danny sebab kau memang nak dia mati." Nafas Ash terus berubah kasar sedikit. Jari dia mengetat atas meja. Isaac terus menyambung. "Kau simpan dendam terlalu lama dan malam itu kau lepaskan semuanya." Mata Ash mula berkaca perlahan. Penumbuk dikepal kuat. Ezlin terus rasa tak sedap hati. Dia kenal cara Isaac bercakap sekarang. Lelaki itu sedang memutar semuanya. Licik, macam ular.
Mirza Fakhri terus bangun. "Objection." Suara dia tegas. "Tertuduh sedang cuba memanipulasi trauma mangsa untuk menghapuskan kredibiliti keterangannya." Hakim terus mengangguk kecil. "Sustained." Buat pertama kali, riak muka Malik berubah sedikit tegang. Dia cepat-cepat bangun semula.
"Yang Arif, pihak kami tetap menegaskan tiada bukti langsung yang mengaitkan anak guam saya dengan pembunuhan Puan Hajar, penculikan ataupun operasi jenayah yang disebut." Dia membuka kedua-dua tangan perlahan. "Mahkamah tidak boleh menjatuhkan seseorang hanya berdasarkan cerita lama, emosi dan andaian saksi."
Malik memandang sekejap ke arah Fahim sebelum menyambung. "Tiada rakaman, tiada cap jari, tiada senjata pembunuhan dikaitkan secara terus dengan anak guam saya." Dia mula berjalan perlahan beberapa langkah di depan meja pembelaan. "Dan sekarang mahkamah diminta percaya bahawa seorang ahli perniagaan dikenali..."
Dia memandang Isaac sekejap. "Terlibat dalam pembunuhan, sindiket jenayah, penculikan dan pelbagai tuduhan lain hanya berdasarkan keterangan individu-individu yang mempunyai sejarah trauma, dadah dan rekod jenayah." Mata Ash terus berubah gelap. Haikal pula perlahan mengetatkan rahang.
Malik menyambung lagi. "Dengan penuh hormat, Yang Arif..."
Suara dia makin tenang. "Keseluruhan naratif ini terlalu convenient." Dia mengangkat satu fail. "Seorang bekas banduan. Seorang wartawan yang terlalu obses dengan kes ini. Dan seorang saksi yang datang bertahun-tahun selepas kematian berlaku." Dia berhenti sekejap.
Kemudian memandang terus ke arah hakim. "Pihak kami percaya semua ini hanyalah cubaan terdesak untuk mencipta kambing hitam baru." Isaac yang duduk dekat kandang saksi perlahan bersandar semula. Senyuman kecil mula muncul dekat bibirnya, seakan yakin keadaan mula kembali memihak kepada dia. Malik menutup fail perlahan.
"Anak guam saya tidak pernah didakwa atas kes penculikan dan tiada seorang pun dalam mahkamah ini mampu membuktikan Isaac Wong berada di rumah Puan Hajar ketika malam kejadian." Sunyi mula memenuhi dewan semula. Ash melepaskan nafas kasar, dan waktu itulah pintu belakang dewan mahkamah terbuka kuat.
ANDA SEDANG MEMBACA
AMPUNKAN AKU
Fiction généraleDunia mengenali Nur Ashikin sebagai penjenayah. Namun apabila Ezlin Syafira, seorang wartawan muda itu mula menyelami kisah hidup wanita itu. Dia menemui sesuatu yang tidak pernah dilihat orang lain. Di sebalik segala dosa dan kesilapan, masih ada s...
