BAB 8

150 5 2
                                    

Ezzat duduk di sebelah katil di mana kakaknya terlantar. Wajah Laura yang sempurna berkacukan Melayu-Arab kini menjadi pucat lesi. Apa aku nak cakap dengan mak dan abah ni?

Ezzat menggenggam kemas tangan Laura. Dia memandang wajah Laura sayu.

Peah melintasi wad di mana Laura berada. Dia berhenti seketika apabila ternampak Ezzat. Dia memandang secawan teh yang dibelinya tadi lalu berjalan menghampiri lelaki itu. Teh itu kemudiannya dihulurkan kepada Ezzat. "Awak patut tidur. Sekarang dah pukul 1 pagi."

Ezzat mendongak memandangnya. Dia menerima secawan teh tersebut. "Terima kasih", ucapnya perlahan. Dia membuka penutup cawan itu lalu meminumnya dengan sekali teguk. Mujurlah teh itu telah menjadi suam.

Setelah beberapa ketika, Ezzat bersuara sambil menunduk. "Saya tak jangka akan jadi macam ni. Nasib baik dia tak ada anak."

"Tiada siapa pun yang tahu perancangan Allah Encik Ezzat. Pasti ada hikmahnya di sebalik semua ni", ujar Peah.

"Tapi kakak saya dah lalui macam-macam perkara. Dia diceraikan, dihalau dari rumah, takde zuriat. Sekarang?...", Ezzat ketawa sinis. "...kanser pulak"

"Bekas suami dia tahu ke pasal penyakit dia ni?", Peah menyoal perlahan. Dia tidak mahu jururawat mendengar perbualan mereka yang peribadi walaupun sudah ada mata-mata yang memandang.

"Lantak dia la dia nak tahu ke tak. Dia bukannya kisah pun. Sejak dia ceraikan kakak saya, sekali pun dia tak pernah nak tanya khabar. Sebab tu lah kakak tinggal dengan saya.", Ezzat bangun dari tempat duduknya lalu mengusap kepala Laura perlahan. Peah hanya memerhati gelagatnya.

Ezzat berjalan ke arah Peah yang sedang bersandar di penjuru katil hadapan. Jantung Peah berdegup laju.

"Thanks Doctor Zahirah", kata Ezzat sambil menghulurkan cawan teh yang telah kosong tadi. Peah mengambilnya dengan teragak-agak. Dia turut terkejut  apabila Ezzat menyebut namanya. Kemudian, dia teringat yang dia memakai teg nama sepanjang masa.

Lama kelamaan Ezzat hilang di sebalik koridor. Peah memandang cawan teh itu hairan. "Dia bagi aku sampah? Dah tak reti nak buang sendiri ke apa?"

Setelah dia meneliti, baru dia perasan akan tertulis sesuatu pada permukaan cawan kecil itu.

"The best things in life are not things. It is the people who make you feel loved and cared for"

.__________.

Haikal mengetuk pintu pejabat Dato' Murad. Pagi-pagi lagi dia sudah diminta untuk berjumpa dengan lelaki itu. Pasti ada projek baharu yang hendak dikemukakan kepadanya.

Apabila dibenarkan untuk masuk, Haikal pun melangkah masuk dengan tenang. "Ada apa Dato' nak jumpa saya?"

Dato' Murad yang baru selesai membaca isi kandungan yang terdapat dalam fail yang dipegangnya, memandang Haikal dengan berkaca mata. "Projek pembinaan rumah di Taiping tu dah berjalan selama berapa lama?", soalnya.

Haikal berkira-kira sebelum menjawab. "Erm.. sudah hampir sebulan Dato'", balasnya cermat.

Dato' Murad terangguk-angguk lalu membuka kaca matanya. "Siapa arkiteknya?"

"Aida, Dato'. Kenapa ya?", Haikal mengambil berat apabila perkara yang hendak dibincangkan melibatkan buah hatinya.

Dato' Murad meletakkan fail yang dipegangnya tadi di hadapan Haikal. "Aida diminta untuk ke tapak pembinaan tu Khamis ni", ujarnya.

Mata Haikal membuntang. "Khamis ni? Ta..tapi kenapa? Awalnya?",

"Pengurus di sana ada masalah sikit dengan pelan pembinaan tu jadi dia minta Aida untuk datang dan selesaikan. Lagipun, Aida dah lama tak kerja luar. Apa salahnya dia pergi kali ni?", ujar Dato' Murad lagi.

HOUSEMATEWhere stories live. Discover now