Sarah berjalan ke kawasan kolam renang di kaki kondominium 30 tingkat itu. Kolam renang tersebut memang jarang dikunjungi oleh Sarah dan rakan-rakannya kecuali pada bulan terawal mereka mula berpindah ke situ. Ketika itu, mereka teruja boleh bermandi-manda di kolam renang tetapi bila memikirkan yang mereka tiada privasi kerana bergelar muslimah, mereka mula tawar hati untuk bermandi di tempat terbuka.
Sarah mencari-cari kelibat Hadi di kawasan kolam renang yang luas itu. Kemudian, Sarah menjumpai sasarannya. Hadi sedang berdiri memeluk tubuh di pinggir kolam sambil melihat air kolam yang tenang. Tiada siapa yang mandi ketika itu kerana matahari baru sahaja terpacak di atas kepala.
Sarah mendekati Hadi yang sedang termenung. Apabila kaki Sarah hanya berbaki beberapa langkah, barulah lelaki itu menoleh memandangnya seraya melemparkan senyuman.
"Ada apa awak nak jumpa saya?", soal Sarah sejurus saja dia berada tepat di hadapan Hadi.
"Awak tak nak keluar ke?", Hadi menyoal pula. Sebenarnya dia sudah melemparkan soalan ini sebelum dia tiba tadi tetapi Sarah menolak ajakannya.
"Keluar sampai sini cukuplah. Saya malas nak keluar jauh-jauh.", jawab Sarah dengan nada suara mendatar.
Riak kecewa terpancar di wajah Hadi. "Awak sebenarnya tak nak keluar dengan saya kan?", soal Hadi tak semena lalu membuatkan Sarah tergumam.
"Kenapa awak cakap macam tu?", Sarah cuba mengelak.
"Yelah, tiap kali saya ajak awak keluar, mesti awak bagi alasan.", luah Hadi.
"Dah memang saya tak nak. Janganlah paksa.", Sarah bertegas.
Hadi menunduk kemudian menyoal, "Awak tak suka saya ke?"
"Maksud awak?",
"Awak tak suka saya macam mana saya suka awak ke?", Hadi memandang roman Sarah yang berkerut.
"Kita cuma kawan, Hadi. Tak lebih daripada tu.", kata Sarah perlahan. Dia sudah mahu tidak mahu memberi harapan kepada Hadi sebab itu dia sentiasa mengelak.
Hadi mendekatkan lagi jarak mereka berdua sambil matanya tidak lepas memandang wajah Sarah. "Saya nak kita jadi macam dulu balik. Kita dah rancang macam-macam dah pasal masa depan kita. Tolonglah jadikan ianya kenyataan."
Sarah membalas pandangan Hadi tajam. "Awak yang hancurkan semuanya. Awak lupa ke awak tinggalkan saya sebab siapa? Walaupun awak tinggalkan saya cara baik, awak ingat saya boleh lupa ke apa yang awak dah buat?", kata Sarah melepaskan amarahnya. Cara Hadi bercakap seolah-olah dia lupa apa yang berlaku antara mereka.
Sarah dan Hadi pernah meluah perasaan ketika masih di bangku sekolah. Sarah akui tindakan bodohnya menyukai Hadi tambahan pula selepas lelaki itu meninggalkannya untuk memberi hati kepada bekas rakan baiknya. Bertahun Sarah kesali hubungan itu pernah berlaku tetapi secara jujurnya, Sarah masih mengharapkan Hadi semula sehinggalah dia bertemu Zubir. Segalanya telah berubah. Sarah sudah tawar hati.
"Saya tahu silap saya tapi waktu tu saya tak fikir panjang. Saya menyesal tak hargai awak. Lepas awak pergi, baru saya rasa kehilangan awak. Dulu kita budak lagi, Sarah. Sekarang kita dah besar. Dah tiba masanya kita fikir pasal hubungan kita dengan lebih serius.", ujar Hadi bersungguh-sungguh.
"Senang je awak cakap. Saya tunggu awak lama tapi sekarang dah terlambat. Awak dah berubah Hadi.", kata Sarah dengan nada tinggi.
"Berubah macam mana?",
"Saya lebih suka awak yang dulu. Hadi Aqil yang saya kenal ialah seorang yang pemalu tapi sekarang, awak seorang yang pendesak. Saya jadi takut dengan awak, Hadi."
Hadi terdiam. Dia betul-betul mahukan Sarah kerana wanita itu tidak pernah kalah untuk memenangi hatinya walau berapa kali Hadi cuba melupakan wanita tersebut sejak dulu lagi. Apabila mereka bertemu di acara reunion di Restoran Gita Bayu beberapa bulan lepas, ianya membuka lembaran baru buat Hadi memiliki Sarah.
YOU ARE READING
HOUSEMATE
RandomBerkawan rapat sejak di bangku sekolah mendorong tiga orang gadis yang berbeza profession dan perwatakan untuk tinggal sebumbung. Masing-masing mempunyai kerjaya dan kisah cinta yang menimbulkan konflik antara mereka. Namun tanpa mereka sedari, terd...