4 | MANIPULASI CUACA

1.9K 198 0
                                    

"Dia, Sang Penguasa Alam."

***

Kakinya melangkah ke dalam kelas bersama dengan beg yang disandang kemas di belakang tubuhnya.

Memandangkan dia pergi ke tandas dahulu sebentar tadi, makanya dia menjadi orang terakhir yang masuk ke kelas. Kelibat kesemua rakan sekelasnya sudah terlihat di ruangan mata.

Langkah dibawa ke tempat duduknya. Saat dia melihat ruangan bawah mejanya, dia mengeluh kasar.

"Ey, tak penat ke hari-hari bagi?" Dia mengomel sendirian.

Helaian-helaian kertas yang diletakkan di bawah mejanya, dikeluarkan. Tanpa melihat pun dia tahu yang kesemua itu diberikan oleh peminat Kiran.

Tidak membuang masa, dia pantas menggumpal kesemua kertas itu dan mencampaknya ke dalam tong sampah besar yang berada di luar kelas.

Dia tidak bertindak sesuka hati membuang barangan orang tetapi Kiran yang menyuruhnya berbuat sedemikian. Jadinya, dia campak sahajalah.

"Uyo, popular betul ya budak mata hitam tu." ujar salah seorang daripada rakan sekelasnya. Bagi mereka, sudah menjadi rutin Jack untuk menziarah tong sampah dahulu sebelum meletakkan begnya ke atas kerusi.

"Biasalah," jawabnya,ringkas sekali sambil memutarkan bebola matanya ke atas. Tidak dinafikan yang Kiran sememangnya sudah terkenal di akademi itu.

Bayangkan, hampir setiap hari ada sahaja surat dan hadiah diletakkan dibawah mejanya memandangkan mereka tahu bahawa dia sememangnya rapat dengan Kiran. Heh, nampak sangat mereka mahu dia menyampaikan semua itu kepada Kiran.

Selesai sahaja membuang kesemua surat itu, dia pantas melabuhkan punggung ke kerusi namun tidak lama apabila kelibat gurunya sudah kelihatan di pandangan.

Jack mengeluh. Haih, baru sahaja dia duduk, perlu bangkit kembali. Dengan malas dia menurut arahan ketua kelas mereka.

Mereka memberikan tunduk hormat kepada lelaki bermata putih yang berdiri di hadapan kelas ketika itu.

Tidak silap Jack, lelaki ini ialah lelaki sama yang telah menunjukkan dewan kepada dirinya dan Kiran pada tempoh hari.

Guru itu hanya mengangguk lalu mengarahkan mereka supaya duduk kembali.

"Okey, semua. Perkenalkan, nama saya Juan Kirstein dan kamu boleh panggil saya, Sir Juan." Lelaki bermata putih itu memperkenalkan dirinya setelah menulis nama penuhnya di atas papan putih yang terlekat di hadapan kelas itu.

Memandangkan itu pertama kali dia mengajar kelas Black Violet tu, dia sememangnya tidak mengenali seorang pun daripada mereka.

"Baiklah. Saya mahu kamu semua pula bangun seorang demi seorang. Perkenalkan diri dan beritahu kuasa apa yang kamu miliki," arahnya.

"Kita mula daripada sini." Tangannya mengunjuk ke arah seorang gadis bermata merah jambu.

Gadis itu tidak membantah. Dia bingkas bangkit daripada duduknya.

"Hai semua! Nama saya Emilyn. Boleh panggil Emi, Mily or Lyn. Kuasa saya, saya boleh manipulasikan graviti," ujar gadis itu dengan nada ceria.

Ada yang membalas ucapan hai itu dan ada yang hanya menyepikan diri sahaja.

Sir Juan mengangguk.

Jack hanya menongkat dagunya menggunakan tangan dengan matanya yang masih tertancap pada Emilyn. Tahu, lihat pada mata kau sahaja aku sudah tahu kau merupakan seorang pemanipulasi graviti, hatinya berbicara.

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now