6 | BULI

1.9K 200 2
                                    

"Dia, Sang Penguasa Alam."

***

Pekan Eyes Country

Suasana di Pekan Eyes Country itu riuh rendah dengan suara penjual-penjual yang cuba mempromosikan barangan jualan mereka. Suara pembeli-pembeli yang tidak henti melakukan tawar-menawar harga juga turut tidak terkecuali.

Kiran berjalan santai dengan tangannya yang terseluk di dalam kocek seluar. Tidak berminat untuk menyinggah di mana-mana gerai sementelah Jack yang berada di sisi kelihatan teruja. Seperti rusa masuk kampung pun ada lagaknya itu walhal itu bukanlah kali pertama dia menjejakkan kaki ke pekan.

"Woi, Kiran." Pangggilan Jack itu mengalihkan perhatian Kiran. Kedua belah keningnya diangkat tinggi tanda menyoal mengapa kepada Jack.

"Aku nak ke gerai posyen sekejap," kata Jack sebelum berlalu pergi ke arah gerai yang menjual posyen yang terdapat di situ tanpa menunggu balasan daripada Kiran dahulu.

Semakin tinggi kening Kiran selepas mendengar kata-kata Jack itu. Posyen? Posyen apa yang dicari Jack? Adakah posyen cinta? Tanpa sedar bibirnya tersengih sumbing.

Dia kembali meneruskan langkahnya yang tergendala sebentar tadi. Tidak berniat untuk mengekori langkah Jack ke gerai posyen itu.

Semakin jauh dia melangkah, telinganya mendengar bunyi bising berhampiran dengan dirinya. Tidak jauh darinya, kelihatan berpuluh orang penduduk berkumpul di suatu tempat di tengah pekan itu. Dia bergegas menghampiri apabila semakin banyak tanda tanya bermain di mindanya. Dia ingin tahu apa yang telah menjadi punca kepada kekecohan itu.

Apabila dirinya berjaya menyelit di sebalik tubuh penduduk dan berjaya ke hadapan sekali, matanya terbuntang saat melihat beberapa orang remaja lelaki bermata putih sedang membelasah seorang remaja lelaki yang bermata hazel.

Remaja lelaki bermata hazel itu kelihatan teruk dibelasah oleh remaja-remaja bermata putih itu. Kadangkala dia cuba melawan menggunakan kuasa mengapung barangnya tetapi apakan daya. Kuasa apungan barang berlawan dengan kuasa teras seperti air, api, angin dan tanah?

Orang ramai yang melihat pula seolah-olah tidak kisah. Mereka cuma menganggap pergaduhan itu sebagai suatu tayangan yang percuma. Tiada seorang pun daripada mereka yang cuba membantu.

Mata Kiran terbeliak apabila melihat seorang remaja yang mempunyai kuasa air itu membuat bebola air menggunakan kuasanya dan cuba melemaskan remaja lelaki yang bermata hazel itu.

Spontan, Kiran membongkok mengutip sebiji batu kerikil yang bersaiz kecil di atas tanah lalu membaling batu itu ke arah remaja lelaki berkuasa air itu.

Remaja berkuasa air itu terkejut apabila sebiji batu tepat mengenai kepalanya. Dia berang. Pandangan matanya pantas diliarkan ke sekeliling. Mencari kelibat yang berani berbuat begitu kepada dirinya.

"Siapa?" soalnya dengan nada yang keras.

Paksaannya terhadap remaja bermata hazel itu telah terhenti. Kini, matanya tajam menghala ke arah orang ramai yang berhimpun di situ.

Mereka yang melihat, jelas terpinga-pinga. Masing-masing menggelengkan kepala tanda bukan merekalah yang berbuat khianat kepada remaja itu.

Kiran pantas berpaling. Dia mahu pergi dari kawasan itu. Cukuplah dia dapat menghentikan perbuatan remaja itu sebentar tadi.

Namun, baru sahaja dia melangkah, tiba-tiba sahaja bahunya ditarik kasar.

"Hey kau! Kau yang baling batu tu pada aku kan?" Kini, remaja bermata biru itu berdiri tepat di hadapannya.

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now