24 | PERGI SAHAJA

1.5K 134 1
                                    

"Dia, Sang Penguasa Alam."

***

Dia bangkit dari singgahsananya. Armor besi berwarna emas yang dihulurkan oleh Joni disambut lalu disarung ke tubuhnya.

"Siapa pulalah yang ceroboh kawasan aku ni?"

Walaupun wajahnya hanya memaparkan riak kosong, di benaknya masih tertanya akan gerangan yang begitu berani menceroboh ke kawasan naungannya. Hendak mencari pasal dengan puak sumpahan? Sudah gilakah?

"Puak kegelapan." Mirromie yang berada dalam pegangan Joni menyampaikan maklumat. Ianya seperti apa yang telah diramalkan olehnya.

Puak kegelapan akan datang untuk mengambilnya.

Albereto terdiam memandang pada Mirromie. Baru dia teringat akan apa yang telah disampaikan oleh Mirromie beberapa hari yang lepas mengenai hal ini. Terlupa pula dia.

Beberapa ketika kemudian, senyuman senget terukir di bibirnya. "Oh, jadi betullah dia datang nak ambil kau disebabkan penduduk yang mempunyai kuasa ramalan sudah disembunyikan?"

Kepalanya digeleng. Zelwyn, Zelwyn. Berani sekali ya kau melibatkan diri dengan puak sumpahan.

"Sudah, jom."

"Kau tak nak bertukar?"

Albereto berdecit sambil kaki menapak keluar dari ruangan istana. "Tidak adillah kalau tikus perlu berlawan dengan naga di sarang naga. Bukankah kita perlu menjadi bertimbang rasa?" Sinis sekali dia bersuara.

Joni menggelengkan kepalanya mendengarkan kenyataan itu. Bertimbang rasa? Sejak bila pula ada perkataan bertimbang rasa di dalam kamus hidup Albereto, sang raja sumpahan?

***

Ace drastik membuat pusingan lompat ke belakang apabila satu akar menjalar yang panjang menghempas tempat di mana dia berdiri sebentar tadi.

Dia mendengus apabila melihat pohon berwajah yang menyerangnya secara tiba-tiba itu. Katana di tangan digenggam erat. Langkah dibawa mendekati Blark.

"Apa tu?" Walaupun dia tahu ada sebahagian pohon yang dikawal alam atau pemilik kuasa alam tetapi ini pertama kali dia melihat pohon yang mempunyai mata persis orang biasa.

"Mungkin salah seorang puak sumpahan," jawab Blark. Mata memicing tajam pada pohon itu.

"Memangnya raja puak kegelapan sudah kebosanan melawan puak cahayakah sehingga berani mencari pasal dengan puak sumpahan pula?"

Soalan yang tiba-tiba sahaja keluar dari ulas bibir berkayu itu membuatkan kedua mereka memandangnya dengan pandangan tidak percaya.

Oldtree mengukir senyum sinis, melihat lagak hairan mereka itu. Mungkin mereka hairan kerana pohon sepertinya sememangnya tidak pernah menjejakkan kaki ke luar dari hutan kristal berbanding ahli puak sumpahan yang lain.

"Ace, kau pergi ke arah istana dan aku akan halang dia. Dapatkan Mirromie," ujar Blark lalu tanpa memberi sebarang tanda, dia terus berlari ke arah pohon itu.

Ace mengangguk. Dia pantas membuka langkah ke arah di bahagian kiri, jauh dari jangkauan pohon itu.

Oldtree yang melihat tindakan Ace itu ingin menghalang dengan akarnya yang mampu memanjang dengan kehendaknya tetapi malangnya tidak sempat akar itu mencapai Ace, ianya terlebih dahulu putus dipotong oleh Blark.

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now