13 | HUBUNGAN

1.8K 195 10
                                    

"Dia, Sang Penguasa Alam."

***

Kakinya yang berada di bawah meja, tidak henti digoyang berulang kali. Dia kelihatan seperti tidak tentu arah sahaja.

Iyalah. Manakan tidak jika pada waktu rehat sebentar tadi, King Braizirien telah memanggil dirinya dan mengatakan kepadanya bahawa Kiran telah pun sedar daripada komanya. Hal itulah yang membuatkan dirinya berasa tidak sabar untuk pulang.

"Jack!"

Jack tersentak apabila namanya dilaung, kuat. Dia spontan mengangkat wajahnya memandang ke hadapan. Jelas kelihatan Puan Mary sedang bercekak pinggang sambil mencerlung ke arahnya.

"Ya?"

"Apa yang kamu buat, ha? Penat saya mengajar, kamu berangan pula!"

"Ma... Mana ada saya berangan, cikgu. Tak baik fitnah saya," dalihnya. Dia memaparkan riak suci di wajahnya.

Puan Mary berdecit. "Ouh, kamu tak berangan ya? Kalau macam tu, kamu ulang apa yang saya kata tadi!"

Jack terdiam. Dia mengerah mindanya seketika. Beberapa ketika kemudian, dia mengangguk.

"Apa yang kamu buat, ha?" Riak wajah Puan Mary sebentar tadi turut ditirunya.

Tawa rakan-rakannya bergema namun tidak dapat disertai oleh Jack apabila secara tiba-tiba sahaja satu pemadam papan hitam melayang tepat ke dahinya.

Headshot!

***

Kakinya meredah bangunan blok C rumah sakit itu. Mata tidak henti memerhati setiap tanda yang tersangkut pada pintu setiap bilik yang dilaluinya. Ah, mengapa jauh sangat bilik Kiran ni?

Beberapa ketika kemudian, barulah dia menjumpai bilik dimana Kiran berada. Rupanya dia sudah melalui di hadapan bilik itu sebentar tadi namun mungkin disebabkan terlalu teruja, dia terlepas pandang.

Pintu dikuak dan dia menapak masuk. Terlihat sosok ibunya turut berada di dalam wad itu. Dia tidak menyoal kerana dia tahu, pasti ibunya sedang menjaga Kiran.

Dia merapati dua sosok berlainan jantina itu.

Puan Sahara yang menyedari akan kehadiran anaknya itu, tidak menyoal banyak. Bukannya dia tidak mendengar bunyi yang terhasil ketika pintu dikuak sebentar tadi.

"Jack? Dah balik?" soal Puan Sahara. Wajah anaknya itu dikerling. Jack mengangguk sebagai jawapan bagi pertanyaan itu.

"Dah lama Kiran sedar, bu? Jack dengar dia pengsan balik tadi." Dia memicingkan anak matanya ke arah Kiran yang sedang duduk di atas katil pesakitnya. Di lihatnya remaja itu hanya mendiamkan dirinya. Kemungkinan fikiran remaja itu sudah melayang ke tempat lain.

"Eh, mana kamu tahu?" Hairan Puan Sahara. Setahunya tidak pula dia mengkhabarkan berita itu kepada Jack kerana tidak mahu membuatkan anaknya itu menjadi risau. Bagaimana pula dia mengetahuinya?

"Ouh, King Braizirien yang beritahu Jack semasa di akademi tadi. Itu yang balik ni, Jack terus datang ke sini," terangnya.

Puan Sahara terdiam. Braizirien? Dalam diam mengetap giginya rapat. Sudah berulang kali dia mengatakan kepada lelaki itu agar menjauhi Jack, masih tidak mahu!

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now