23 | MISI KEGELAPAN

1.6K 138 0
                                    

"Dia, Sang Penguasa Alam."

***

Dia berjalan perlahan menuruni singgahsana yang terlihat suram dengan pelbagai hiasan sampingan seperti tengkorak manusia dan haiwan yang tergantung di dinding.

Di tangannya terdapat segelas air berwarna merah. Setapak dia melangkah, satu demi satu obor mulai menyala dengan sendiri bagaikan ada suatu kuasa magis yang mengawalnya.

Sosoknya terlihat megah bersama tubuh yang tersarung pakaian dirajanya. Mantel merahnya meleret menyapu lantai.

Beberapa orang kuatnya melutut menggunakan sebelah kaki di hadapannya sebagai tanda menghormati. Jelaslah kedudukan lelaki itu pada paras yang mana sehingga disanjung.

"Bangun," arahnya dan tanpa membantah, mereka akur.

Dia menapak menghampiri mereka dan langkahnya terhenti di hadapan salah seorang daripada mereka. Wajah lelaki itu tidak memaparkan sebarang reaksi bahkan riak takut sekali pun walaupun kini sepasang mata sang raja tertancap ke arahnya.

Mereka yang lain sekadar melihat dan menunggu tindakan sang raja buat detik yang seterusnya.

"Bagaimana dengan risikan kamu?" tanyanya lalu meneguk air berwarna merah yang berada di dalam gelas dalam genggamannya itu. Matanya melirik tajam pada sosok di hadapannya itu.

"Benar seperti yang dijangka tuanku, kesemua peramal berada dalam kawalan puak cahaya."

Setelah mendengar khabar itu, bibir hitam itu memiring sinis. Seperti yang dijangka. Dia berpaling kembali, menapak ke arah singgahsananya semula.

Punggung dilabuhkan di atas kerusi bertatah emas nan megah itu.

"Blark, Ace," panggilnya membuatkan kedua orang yang diseru itu pantas melangkah setapak ke hadapan lalu melutut sebelah kaki kembali di hadapan raja itu. Kepala mereka menunduk ke lantai.

"Ya, tuanku."

"Dapatkan Mirromie."

Mendengar sahaja arahan sang raja, mereka pantas mengangkat kepala dengan riak tidak percaya. Malah, mereka yang lain juga tidak terkecuali. Masing-masing terkejut dengan arahan yang diberikan itu. Manakan tidak, mengambil Mirromie itu bermakna akan berlakunya perang di antara puak kegelapan dan puak sumpahan.

Walaupun berasa kurang bersetuju, mereka hanya mampu mengangguk setuju. Jika itu yang dimahukan raja itu, tiada yang mampu membantah lagi.

"Aku mahukan dia segera dalam keadaan hidup!" Arahan yang diberikan itu bermakna mereka perlu menjalankan tugas yang diberi secepatnya.

"Baik tuanku!"

"Sudah, kalian boleh beredar. Yang lain, kalian tunggu sebentar."

Blark dan Ace bingkas bangkit dari melutut. Mereka mengangguk sekali lalu beredar setelah memberikan tunduk hormat pada sang raja.

Setelah kelibat dua pahlawan itu hilang di sebalik pintu besar, Zelwyn menumpukan pandangannya pada enam orang pahlawan kegelapan yang masih melutut di hadapannya.

"Sekarang... Misi kalian..." Di bibirnya tersungging senyuman sinis.

***

Suasana dari luar Cristal Forest itu kelihatan menyeramkan namun langsung tiada gentar yang menghuni di dalam diri dua pahlawan puak kegelapan itu. Mereka berjalan gagah ke hadapan dengan tubuh yang tersarung dengan armor besi.

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now