31 | PERTEMUAN SINGKAT

1.2K 106 0
                                    

Kelopak matanya dibuka memaparkan sepasang iris berwarna hitam. Dia meliarkan pandangan ke sekelilingnya. Kelam, gelap. Hanya itu sahaja yang menghias pandangannya ketika itu.

Dahinya berkerut. Dia meraba-raba sekelilingnya sambil berjalan perlahan. Persekitaran yang gelap itu agak membantutkan penglihatannya. Mujur masih ada cahaya bulan yang setia menemani sehingga menjadi satu-satunya sumber cahaya baginya.

Sedang khusyuk dia berjalan tanpa arah tujuan, telinganya menangkap bunyi bising yang hadir dari arah kanannya. Dia memicingkan pendengarannya agar dapat mendengar dengan lebih jelas.

"Lepaskan aku!"

Suara seseorang kedengaran lagi beserta dengan bunyi asakan. Siapakah itu?

Dengan bantuan cahaya rembulan, dia menapak mencari dari manakah sumber bunyi itu datang.

Alangkah terkejutnya Kiran apabila melihat seorang wanita sedang berdepan dengan beberapa orang yang berpakaian lengkap serba hitam. Mata Kiran hampir sahaja tersembul keluar.

Tanpa menunggu sesaat pun, dia pantas mara mengangkat kaki menendang kepala mereka yang menyentuh lengan wanita itu malah pedang excaliburnya diangkat menghalang tetakan yang hampir mengenai wanita itu. Percikan api terhasil apabila dua pedang saling bertembung sehingga membekalkan cahaya buat sedetik kepada mereka.

Walaupun tidak mempunyai kuasa, Kiran masih mengetahui bagaimana caranya untuk menghayunkan pedang di tangan.

Impak pertembungan senjata itu membuatkan kedua-dua pemilik pedang itu terundur ke belakang. Ini bermakna apabila Kiran terundur ke belakang, wanita itu turut tertolak ke belakang memandangkan dia berada tepat di belakang Kiran.

Kiran menghela nafas beratnya.

Wanita yang terkejut dengan kehadiran Kiran secara tiba-tiba itu ternyata sudah sober daripada khayalnya. Saat dia melihat pedang yang berada di tangan anak muda yang berdiri di hadapannya itu, nafasnya bagaikan direnggut keluar.

Itu! Bukankah itu Excalibur!

"Ke tepi!" Kiran pantas menolak wanita itu ke belakangnya lalu memberikan tendangan padu ke abdomen orang yang menghunuskan pedang ke arah wanita itu. Dia tertanya, siapakah wanita itu sehingga mereka menjadikan dia sebagai target? Melihat sahaja keadaan dan pemakaian mereka yang berada di hadapannya ini, dapat Kiran rasakan bahawa mereka ialah puak kegelapan.

Akibat tolakan Kiran itu, wanita itu terjelupuk jatuh ke belakang. Dia mengaduh kesakitan.

Sambil Kiran menepis segala serangan yang mendatang, matanya cekap memandang sekiranya ada kelibat yang menghampiri wanita di belakangnya itu. Suasana yang gelap menyukarkan tingkahnya itu sehinggalah saat dia leka menghalang tetakan yang mampir, kokleanya mendengar jeritan seseorang. Wanita itu!

Pantas dia berpaling lalu mengangkat kakinya menyepak tepi leher kelibat berpakaian hitam di hadapannya itu sehingga membuatkan orang itu terhumban ke tepi.

Dia memutarkan tubuhnya dengan pantas ke arah wanita itu lalu dengan sedikit rasa gentar di dalam  sukmanya, dia pantas mencantas pedang di tangannya ke lengan orang yang telah menikam wanita itu menggunakan sebilah pedang.

Dia bukanlah seorang yang berani tetapi dia tidak mempunyai pilihan lain!

Melihat sahaja rakan mereka diperlakukan sebegitu oleh Kiran, kelibat berkelubung hitam yang lain mengalihkan tumpuan mereka ke arah remaja bermata hitam itu namun sempat salah seorang daripada mereka menikam tubuh wanita yang tidak Kiran kenali itu sekali lagi.

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now