33 | KEBANGKITAN KEGELAPAN

1.2K 136 0
                                    

Nota kaki:

Zelwyn masa kini - sosok pada zaman peperangan

Zelwyn masa hadapan - sosok yang datang ke zaman peperangan.

***

Beberapa detik berlalu namun masih tiada apa yang berlaku. Tawa Zelwyn terhenti. Wajahnya jelas kelihatan keliru. Mengapa? Mengapa tiada apa yang berlaku? Adakah mantera yang diucapnya sebentar tadi tidak betul atau kekuasaan kitab kegelapan itu hanyalah omongan semata?

Melihat sahaja hal itu, King Braizirien yang baru tiba terus melontarkan serangan kilatnya tetapi drastik dielak oleh kedua sosok durjana itu. Tidak memberikan sebarang peluang, King Braizirien lekas menghidupkan kuasa gravitinya pula terhadap raja kegelapan itu.

Zelwyn pada masa hadapan berdecit kasar apabila tubuhnya dirasakan semakin memberat bagaikan ditimbun oleh gunungan batu-bata. Akibat tidak mampu menahan tarikan itu, dirinya jatuh melutut ke tanah.

Saat itu, beberapa orang puak cahaya yang juga baru tiba di situ pantas bergerak mengepung dirinya pada masa kini dari segenap arah. Mereka menyerang raja itu secara serentak menggunakan kuasa mereka.

Akar-akar yang tertanam di dalam tanah keluar lalu membelit tubuh raja itu. Beberapa serangan daripada sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh raja itu juga mampir. Tidak lupa juga serangan kuasa tanah yang mengawal tanah lalu terus mencengkam tubuh di masa kini raja itu.

Zelwyn pada masa kini pantas memunculkan perisai di sekelilingnya menggunakan asap-asap kegelapan apabila dia menerima serangan yang bertubi-tubi itu.

Perisai yang diwujudkan di sekeliling sosoknya pada masa hadapan juga membantu dia untuk mengelak daripada terus ditarik oleh graviti namun tubuh masih terasa memberat. Zelwyn pada masa kini juga turut menghancurkan tanah yang mencengkam tubuhnya.

Melalui celahan-celahan lubang yang terdapat melalui pelindung di sekelilingnya itu, dia mencari sosok yang mana satukah yang mengawal tarikan graviti itu.

Saat matanya menangkap kelibat King Braizirien, dia pantas memunculkan jejari bayang berwarna hitam lalu menyusupkan jejari itu ke tanah menghala ke arah raja beriris pelangi itu.

Jejari bayang itu pantas mendakap dan mencekak raja itu dengan kuat. Si raja yang tidak bersedia akan serangan itu tersembam ke atas tanah. Hal itu membuatkan kuasanya terganggu dan tidak dapat dikawal membuatkan aliran kuasa  terhenti seketika.

Saat sosoknya pada masa hadapan telah terbebas daripada kuasa graviti itu, dia pantas mengeluarkan kuasa kegelapan daripada tubuhnya sehingga membuatkan tanah yang mencengkam tubuhnya itu menjadi merekah lalu jatuh menyembah bumi.

Kemudian dia memunculkan sesuatu yang tajam bagaikan pisau menggunakan kuasanya lalu memutuskan belitan akar di tubuhnya.

"Kenapa tiada apa yang berlaku?"

Suara itu bergema dalam fikirannya. Suara itu datangnya daripada dirinya yang satu lagi.

"Aku tidak pasti mengapa..."

"Atas kau!"

Drastik, Zelwyn pada masa hadapan itu menebalkan perlindungannya di bahagian atas kepalanya apabila serangan sesuatu yang tidak dapat dilihat mampir secara mengejut ke arah dirinya.

Dia mengetap giginya rapat. Dirinya kini bagaikan seorang pecundang yang hanya mampu berlindung di balik perisai.

"Serang dia sehingga perisai hitam itu pecah!" Suara garau King Braizirien itu melantun ke udara sehingga menyapa ke gegendang telinga. Raja itu masih berusaha melepaskan dirinya daripada cengkaman jejari hitam yang erat itu.

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now