5 | PANAS

1.9K 198 5
                                    

"Dia, Sang Penguasa Alam."

***

KRING!

Bunyi loceng kedengaran menandakan sudah masuknya waktu rehat. Para pelajar kelas Black Purple mulai beransur keluar dari kelas kecuali seorang pelajar ini yang masih lena dibuai mimpi indahnya.

Jack melangkah menuju ke kelas Kiran. Sesampainya dia, dia menjengulkan kepalanya di sebalik pintu untuk mengintai kelibat sahabat baiknya itu.

Apabila matanya menangkap kelibat Kiran yang sedang menekup wajah di meja itu, dia mengeluh. Tahulah dia bahawa rakannya itu sedang nyenyak tidur.

Orang lain ke kantin, kau tidur.

Jack menepuk dahinya. Habislah. Lewatlah dia ke kantin sebentar lagi. Tidak, dia tidak boleh lewat!

Tanpa membuang masa dia pantas menghampiri Kiran. Mindanya memikirkan tindakan apakah yang harua dilakukan untuk mengejutkan Kiran memandangkan jejaka itu bukanlah senang untuk dikejutkan.

Beberapa ketika kemudian, bibirnya mengukir senyum sinis. Dia mulai mengangkat tangannya. Hatinya tekad! Semua ini demi makan tengah harinya!

***

Dia meliarkan pandangan ke sekitar kawasan di sekelilingnya itu. Dahinya berkerut. Di manakah dia sekarang? Bukanlah dia berada di dalam kelas sebentar tadi?

Bersama fikiran yang masih sarat dengan pelbagai pertanyaan, dia mengangkat wajah memandang ke hadapan. Kelihatan sebuah istana tersergam indah di hadapan matanya. Terdapat juga beberapa buah rumah bersaiz besar yang dibina berhampiran dengan istana itu.

Dengan teragak-agak, dia mulai menapak ke dalam istana itu. Saat dia melihat isi istana itu, matanya bagaikan ingin terjojol keluar.

Kesemua perabot yang berada di dalam istana itu jelas kelihatan mahal dan berkualiti tinggi malah lantai dan pintunya saja sudah dibina oleh permata yang berharga. Kiran tidak mampu berkata apa lagi setelah melihatkan kekayaan itu.

Lampu chandelier yang tergantung di bahagian tengah istana itu menambahkan lagi seri istana itu. Ternganga mulutnya apabila melihat lampu yang gah tergantung di siling istana itu umpama yang diceritakan di dalam kisah-kisah dongeng puteri.

Jika ikutkan hatinya, mahu sahaja dia mengambil sebahagian barangan yang diletakkan di dalam istana itu namun ditahan juga hatinya memandangkan dia lebih mahu mencari kebenaran tentang apa yang berlaku kepadanya kini.

Langkah dibawa menyusuri istana yang serba serbi luas itu.

Hairan dia. Istana ini tidak berpenghunikah kerana sepanjang dia berjalan, tidak ada satu kelibat pun yang menyapa pandangannya.

Seharusnya, akan ada pengawal dan butler yang berkeliaran di ruangan istana itu tetapi kini...

Setapak demi setapak dia melangkah sehinggalah langkahnya terhenti di hadapan sebuah pintu besar yang bertatahkan berlian itu. Telinganya mendengar bunyi riuh-rendah yang terhasil dari sebalik pintu besar itu. Telinga cuba dibuka seluasnya.

"Long Live King Stephen!" Ayat itu berulang kali menjengah ke pendengarannya. Dahi Kiran berkerut. King Stephen? Bukankah itu ialah nama mantan raja Live Country?

Akibat rasa ingin tahu yang membuak-buak di dalam dirinya, dia mengambil keputusan untuk masuk menjengah ke dalam ruangan itu.

Sebelum menguak pintu itu, sempat dia memandang ke kiri dan kanannya. Manalah tahu ada yang melihat tindakannya itu.

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now