35 | KUASA PENYEKAT

1.2K 105 2
                                    

Dark yang terlewat sedar akan serangan itu, hanya sempat mengelak sedikit membuatkan sayapnya yang terkena sambaran itu. Rasa sakit yang menyengat menjejaskan genggamannya pada tubuh Kiran hingga tidak sengaja terlepas ke bawah.

Mata Dark membesar. "Kiran!"

***

Jack merendahkan tubuhnya ke arah belakang, mengelak tebasan parang besar yang mampir secara mengejut saat dia melangkah menghampiri kawasan di mana peperangan itu berlaku. Matanya mengecil menikam tepat ke arah sang raksasa.

Makhluk besar berwarna merah yang mempunyai tanduk satu di kepalanya itu mengaum deras apabila serangannya tidak berjaya mengenai mangsanya. Dia lalu mengangkat parangnya kembali lalu menebas secara membuta tuli.

Dahi Jack berkerut seribu dengan tindakan bodoh raksasa itu. Dia berusaha mengelak sambil matanya mengawasi kelibat-kelibat lain yang berada hampir dengan mereka ketika itu. Apabila matanya menangkap parang itu hampir terkena pada seorang ahli puak cahaya, akar panjang terus ditarik keluar dari tanah melilit ke hulu parang dan lengan raksasa itu. Perbuatan Jack jelas menambahkan berang raksasa itu lagi.

Raksasa itu menyentak tangannya cuba meloloskan diri daripada lilitan itu tetapi Jack memasak kuat kakinya ke tanah ditambah pula dengan akar-akar yang menjalar panjang keluar lagi dari sisi tubuh raksasa itu membelitnya kuat.

Terlalu asyik fokus dengan sang raksasa, Jack tiba-tiba tertolak ke belakang sedikit apabila ada cemeti air yang hinggap padanya secara tiba-tiba.
Dia mengalihkan kepalanya sedikit mengelak daripada serangan yang mampir padanya itu. Apabila cemeti itu ingin ditangkap dan digenggam, ianya luruh dek sifat air yang tidak boleh dipegang.

Matanya beralih melihat pada ahli puak cahaya yang diselamatkannya itu. Sklera dan iris berwarna hitam itu dipandangnya lalu dia mendengus kasar. Kuasa kitab kegelapan itu benar-benar menyusahkan dirinya! Tidak cukup dengan puak kegelapan, sekarang dia perlu memikirkan cara untuk mengekang ahli puaknya pula!

Kelekaan Jack akan serangan ahli puak cahaya tadi membuatkan cengkaman akarnya pada tubuh raksasa itu merenggang dan menyebabkan tubuh Jack tertarik sama apabila raksasa itu menyentak tangannya sekali lagi. Dengan serangan yang tidak henti daripada cemeti air, Jack sememangnya tidak mampu memfokuskan pandangannya ketika itu. Saat telinga mendengar tempikan di belakangnya yang mulai menghampiri seiring dengan beberapa serangan lain, Jack mendengus kasar. Macam mana dia hendak memusnahkan makhluk ini jika ada gangguan lain? Jika dia menyerang begitu sahaja, khuatir bakal terkena pada orang yang salah pula. Masalah betul!

Sementara Jack berada dalam dilema, Ghais mampir membantu rakan Pure Angel laksananya itu. Tingkah puak cahaya yang menyerang Jack terkekang apabila tanah di bawah kaki mereka mencair lalu menarik mereka ke dalam. "Aku akan halang kesemua puak cahaya, kau hapuskan puak kegelapan!" ujarnya.

Jack menetapkan pandangannya pada Ghais seketika lalu menganggukkan kepala sekali sebelum mata kembali dihadapkan ke sang raksasa. Dengan memandang sahaja, satu panahan petir timbul lalu menembak tepat ke bahagian jantung sang raksasa membuatkan raksasa itu jatuh menyembah ke tanah dengan mulut yang terbuka luas dan melinangkan darah berwarna hitam. Lolongan yang dihasilkan raksasa itu sebelum tumpas ternyata telah menarik perhatian raksasa sejenisnya yang berada berdekatan situ. Malah, makhluk-makhluk berwarna hijau dan berwajah hodoh dalam pelbagai saiz yang terdiri daripada orc, ogre dan ... juga lekas menjadikan pure angel itu sebagai target mereka.

Melihat ahli puak cahaya yang berada pada haluan raksasa itu lekas membuatkan Jack mengaktifkan magis penyekat masanya bagi menghentikan pergerakan makhluk-makhluk itu buat seketika. Dek bilangan mereka yang terlalu banyak, kuasanya hanya mampu digunakan seketika sahaja.

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now