26 | AGENDA SEBENAR

1.5K 133 3
                                    

"Tuanku, maafkan patik tetapi King Albereto meminta untuk bertemu dengan tuanku!" Pengawal yang berjaga di situ, menyampaikan pesanan sang raja sumpahan. Gelabah dia apabila lelaki itu tiba-tiba sahaja memunculkan diri di istana mereka.

Dia melutut sebelah kaki tidak jauh dari meja yang sedang diduduki oleh keluarga diraja itu.

Tingkahnya yang tiba-tiba sahaja menerjah sebegitu membuatkan putera King Hemerty memandangnya dingin kerana jika diikutkan, mengganggu keluarga diraja ketika bersantap adalah suatu larangan tetapi...

Jika dibandingkan dengan keluarga diraja ini, dia lebih takutkan raja bagi puak sumpahan itu!

"Ayahanda," panggil putera itu sebagai tanda memberitahu akan kebiadaban pengawal istana itu.

King Hemerty mengangkat sebelah tangannya sebagai tanda menyuruh anaknya mendiamkan diri. Walaupun tidak berpuas hati, putera itu terus menutup mulutnya kembali.

Pandangannya dialihkan kepada pengawal itu. "King Albereto?" Ingin memastikan jika dia tidak salah dengar.

"Ya, tuanku!"

Mendengar sahaja balasan itu, dia pantas bangkit dari duduknya.

"Kanda," tegur sang permaisuri.

"Teruskan bersantap. Beta mahu bertemu dengan King Albereto sebentar."

Lelaki itu bukanlah seorang raja yang rajin jadi bila mana dia memunculkan dirinya sendiri di sini berbanding menghantar orang puak sumpahan, pasti ada suatu hal yang penting ingin dia bicarakan.

"Di mana dia menunggu?"

Pengawal itu lekas mengekori langkah sang raja. "Di taman di raja, tuanku."

Tidak membalas, King Hemerty sekadar mempercepatkan langkahnya menuju di mana taman itu berada.

Dari jauh dia sudah dapat melihat belakang tubuh King Albereto yang hanya berdiri tegak memandang jauh ke hadapan. Saat dia sudah hampir dengan raja itu, derapan langkahnya bertukar perlahan.

Mata memandang pada dua sosok tubuh yang terbaring di atas rumput bersama tangan dan kaki mereka terikat. Sebentar tadi dia tidak dapat melihat kerana tubuh mereka terlindung akan pohon-pohon renek yang tumbuh di sekitar kawasan itu.

"Siapa mereka?"

King Albereto mengalihkan pandangannya dari memandang pemandangan di hadapannya yang indah setelah mendengar akan pertanyaan itu.

"Ini? Inilah tikus yang masuk ke sangkar emas aku. Aku datang untuk serahkan mereka pada kau." Walaupun King Albereto tidak memberitahu siapakah mereka secara terperinci, King Hemerty sudah tahu yang mereka ialah ahli puak kegelapan berdasarkan warna darah yang keluar dari luka di tubuh mereka.

Raja Magical kingdom itu menghempaskan keluhan beratnya. Tangan naik memicit dahinya perlahan. Apa lagi yang Zelwyn mahukan walaupun dia telah berjaya melancarkan perang pada 500 tahun dahulu sehingga menyebabkan penduduk Live Country musnah kesemuanya?

***

Suasana di Star Country diriuhi dengan jeritan dan lolongan penduduknya. Tidak kurang juga bunyi bising yang terhasil dari serangan-serangan yang dilemparkan bertubi-tubi ke atas country itu.

Para tentera berusaha menangkis serangan yang mampir sementara membantu mengeksekusi para penduduk. Mereka di minta pergi dan berlindung di istana Star Country.

Dalam keriuhan yang berlaku, seorang budak lelaki berdiri di tengah-tengah jalan itu sambil menangis. Matanya melilau mencari kelibat ibunya memandangkan dirinya terpisah dengan wanita itu ketika kalut melarikan diri sebentar tadi.

Bunyi teriakannya menarik perhatian seekor makhluk berwarna hitam yang berupa seperti seekor serigala bersama mata yang merah menyala.

Haiwan itu berderam sambil menghampiri budak itu. Air liur jelas kelihatan meleleh dari celah mulut dan gigi taringnya. Dia hanya menunggu masa sahaja untuk menerkam mangsanya itu.

Melihat sahaja kelibat haiwan buas itu, esakan budak itu bertambah kuat.

"Ibu..." panggilnya, berharap agar ibunya dapat datang menyelamatkannya.

Semakin hampir haiwan itu, semakin kakinya menapak ke belakang tetapi dirinya jatuh tersungkur ke belakang saat kakinya tidak stabil kerana tidak sengaja memijak sebiji batu di tengah jalan itu.

Saat melihat mangsanya hilang tumpuan, serigala itu terus mara ingin menerkam budak itu tetapi tubuh serigala itu terlebih dahulu melayang menghentam ke dinding rumah yang terdapat di sisi jalan itu.

Serigala itu bangkit kembali sambil menggoyangkan kepalanya berulang kali sebelum memandang pada kelibat yang tiba-tiba sahaja memunculkan diri di samping budak itu.

Deramannya bertambah kuat. Apa lagi setelah melihat kelibat yang baru tiba itu bagaikan pemangsa baginya.

Serigala itu ingin menerkam lagi tetapi sekali lagi terhumban ke tanah walhal kelibat itu masih berdiri tegak sambil mendukung budak lelaki yang masih teresak-esak di bahunya. Bagaikan ada sesuatu yang merempuh pada serigala itu.

"Beelzebub, hapuskan dia," arah lelaki itu lalu berpaling menapak pergi dari situ.

Setelah arahan itu dikeluarkan, sekelip mata serigala itu terangkat dan dihumban berulang kali ke merata tempat. Di tubuh serigala itu juga terdapat beberapa cakaran besar. Serangan itu diteruskan sehinggalah serigala itu musnah dan bertukar menjadi debu sepenuhnya.

***

"Aku dengar ada serangan dari puak kegelapan," lapor lelaki bercermin mata itu usai sahaja menapak masuk ke dalam biliknya. Tiga teman sebiliknya yang leka membuat kerja sendiri sedari tadi itu lantas mengalihkan perhatian mereka padanya.

Lelaki berbaju biru yang tadinya meniarap di atas katilnya, bangkit kembali. Tubuh mrnghadap pada Miller, si dia yang melaporkan kejadian itu pada mereka.

"Patutlah aku dengar dekat luar tu macam hiruk-pikuk je." Memandangkan di dalam bilik mereka ini sudah tersedianya segala keperluan seperti tandas, jadi mereka sememangnya diarahkan untuk tinggal sahaja di dalam bilik mereka. Hidup mereka bagaikan banduan sahaja tetapi apa boleh buat kalau itu arahan raja mereka.

Lebih baik dikurung begini dari ditangkap oleh puak kegelapan memandangkan salah seorang daripada mereka sudah mendapat ramalan baahawa puak kegelapan akan mencari mereka, pemilik kuasa ramalan. Jika di sini, ada jugalah kebebasan mereka untuk melakukan apa-apa sahaja di dalam bilik ini.

"Teruk ke kerosakan yang dia orang buat?"

Miller mengangkat bahunya. "Jap aku pergi tanya pengawal." Dia kembali bangkit dari duduknya. Walaupun tidak dibenarkan keluar, dia tidak pernah peduli. Sudah berapa kali dia mencuri-curi keluar apabila raja tidak mencarinya. Alah, dia hanya keluar berjalan di dalam perkarangan istana sahaja. Bukannya istana ini tidak ada pengawal yang berjaga.

Pintu dikuak lalu kepala dijengukkan keluar, mencari kelibat pengawal yang menjaga bilik mereka ini tetapi tiada sebarang kelibat yang singgah di pandangannya. Malah, kesemua pengawal yang sepatutnya berjaga di laluan itu juga tidak terlihat.

Dahinya berkerut seribu. Kaki melangkah keluar bersama banyak persoalan di minda. Pintu kembali ditutupnya sebelum langkah dibawa ke hadapan menerusi laluan di situ.

"John?" Dia memanggil nama pengawal yang selalu menjadi penyebar berita kepadanya. Di mana semua pengawal ni? Sebentar tadi sewaktu dia masuk ke bilik, mereka ada sahaja. Tidak akanlah sekelip mata sahaja sudah hilang.

Saat kaki membelok ke laluan di sebelah kanan, pandangannya terus bertukar gelap.

***

Bila benda dah lama tinggal and suddenly baru teringat nak sambung, aku pun macam ah suka hati la asalkan siap.

>vote n comment<

The Greatest Angel √ | COMPLETEDWhere stories live. Discover now