‧₊˚🖇️✩ : 15

628 71 8
                                    

GIBRAN membuka apron apabila tugasnya sudah berakhir. Jarum jam sudah menunjukkan angka 9.30 malam. Ini bermakna restorannya tidak akan lagi menerima pelanggan lain selepas jam 9.30 malam kerana mereka perlu memulakan tugasan untuk membersihkan restoran tersebut. Beginilah rutin harian yang perlu ditempuhi olehnya setiap hari setelah menceburi perniagaan F&B ini.

"Bos, penyapu warna biru yang biasa guna tu dekat mana eh? Saya tak jumpa pula." Yusra menyoal majikannya. Dari tadi dia tercari-cari penyapu tersebut. Kebiasaannya, penyapu tersebut akan diletakkan di satu sudut berhampiran dengan kaunter pembayaran.

"Oh, cuba awak tengok dekat belakang stor. Hari tu saya ada guna untuk sapu bahagian stor tu." Gibran menjawab dari jauh. Yusra kemudiannya terus bergerak ke belakang stor apabila dimaklumkan oleh Gibran.

Raid pula sedang sibuk menyusun semula kerusi dan meja yang sudah dialihkan oleh beberapa pelanggan. Dalam pada itu, mulutnya turut menyanyikan beberapa buah lagu bagi menceriakan suasana di dalam restoran itu.

"Kau ni Raid, nasib baik pelanggan semua dah balik. Kalau tak, mesti lari semua pelanggan lepas dengar kau menyanyi," kutuk Zil dari dapur apabila mendengar suara nyanyian rakan sekerjanya.

"Eleh, kau dengki dengan aku kan sebenarnya? Tahulah suara kau tak sedap, tapi tak payahlah nak dengki-dengki ni. Bos pun tak kisah. Kau je yang lebih," balas Raid sambil tangannya ralit membetulkan posisi kerusi.

"Ala, aku malas je nak tunjuk bakat. Nanti suara kau tak laku pula kat sini." Zil tergelak kecil. Dia memang suka menyakat rakan-rakan sekerjanya apabila ada peluang.

Gibran yang dari awal memasang telinga hanya mendiamkan dirinya. Dia malas mahu masuk campur sebenarnya. Zil kalau tak mengusik orang memang tak lengkap hidupnya. Sebab itulah dia malas mahu melayan. Lagi dilayan, lagi menjadi-jadi.

Dian yang sedang khusyuk mengelap meja berhampiran pintu restoran mula mengangkat kepalanya apabila seseorang menegur dirinya.

"Hai, maaf nak tanya. Restoran ni buka lagi tak?" soal wanita yang berada di hadapan Dian.

"Maaf ya cik, restoran ni dah tutup. Kami dah tak terima pelanggan dah. Kalau cik nak rasa makanan dekat sini, cik boleh datang semula esok. Waktu operasi dari pukul 10 pagi sampai 9.30 malam," terang Dian kepada wanita itu.

"Ala, dah nak tutup ke? Dah tiga kedai saya pergi, semuanya dah tutup. Tak boleh ke kalau awak ambil last order daripada saya? Please..." rayu wanita itu. Dian pula menjadi serba salah.

"Alamak, bukan saya tak nak ambil tapi memang tak boleh cik. Sekarang pun, kami tengah kemas kedai. Barang-barang dapur pun semua dah habis. Maaf ya, cik." Dian terpaksa menolak rayuan wanita itu.

"Kalau macam tu saya order air je boleh tak?" Wanita itu masih belum berputus asa.

Belum sempat Dian mahu menjawab, tiba-tiba majikannya datang menghampiri.

"Kenapa ni Dian? Ada masalah ke?" Gibran menyoal pekerjanya. Dari jauh dia sudah mendengar kekecohan di hadapan restorannya.

"Customer ni minta ambil last order tapi saya cakap restoran dah nak tutup so dah tak boleh order. Lepas tu dia minta nak order air. Boleh ke bos?" soal Dian.

Gibran terus memandang wanita yang datang ke restorannya itu.

"Eh, ni... Falia kan?" soal Gibran.

"Err, yes. You pula... Gibran. Kawan Aidan. Kan?" Kali ini, giliran Falia pula menyoal.

"Haah. Staf I cakap tadi you nak order makan kan? Masuklah. I boleh masakkan you one last dish tapi menu biasa jelah sebab barang-barang dapur yang lain banyak yang dah habis. Boleh ke?" Gibran cuba mengawal riak wajahnya. Dia tidak boleh terlalu menunjukkan wajah gembiranya apabila dapat bertemu semula dengan Falia.

𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘Where stories live. Discover now