TROLI yang penuh dengan barang-barang dapur itu ditolak dengan berhati-hati. Setelah mendapatkan beberapa barang di bahagian rak makanan, kini dia beralih langkah ke bahagian basah pula. Sebenarnya, Hud bercadang mahu menjemput Elyana dan Aidan datang ke rumahnya hari ini. Memandangkan barang-barang di dapur kebanyakannya sudah habis, jadi terpaksalah dia keluar ke pasaraya untuk membeli bahan-bahan memasak.
"Fal, kalau hari ni abang masak asam pedas ikan pari okey tak?" Hud menyoal Falia yang sedang ralit melihat ikan-ikan yang sedang disusun bersama ais di atas meja. Sesekali kepalanya didekatkan dengan ikan-ikan tersebut, mahu melihat dengan lebih jelas struktur ikan yang dirasakan menarik perhatiannya.
Apabila soalannya dibiarkan tidak berjawab, Hud perlahan-lahan merapatkan diri di sebelah adiknya.
"Amboi, jauh mana dah tenung ikan-ikan tu? Tahu ke ikan apa yang kau tenung tu?" Hud menyoal di sebelah. Falia punya teruja tengok ikan mengalahkan budak-budak, gaya macam tak pernah tengok je padahal berapa kali dah Hud ajak dia ke pasaraya sebelum ni.
"Tahulah. Ikan kembung," jawab Falia penuh yakin. Apa? Ingat dia tak kenal langsung ke jenis-jenis ikan?
"Mangkuk kau. Itu ikan sardin, bukannya ikan kembung. Fal, Fal. Macam manalah nak kahwin kalau jenis ikan pun tak reti beza? Itu belum suruh siang ikan lagi," bebel Hud kepada Falia.
Falia terus mencemikkan muka.
Dah mula dah Hud ni.
"Kahwin, kahwin, kahwin. Itu jelah yang abang tahu. Bosan tahu tak? Cuba borak topik lain pula," jeling Falia lalu bergerak ke tempat lain. Malaslah dia mahu berbual dengan Hud kalau balik-balik itu sahaja topik yang dibincangkan.
"Amboi, makin sensitif pula sekarang. Sebut pasal kahwin je, terus sentap."
"Diamlah. Tadi abang cakap nak buat asam pedas ikan pari kan, pergilah cari ikan pari," arah Falia, cuba menutup topik dan menghalau abangnya.
"Ke nak abang buka topik pasal Gibran? Eh, silap. Maksud abang, Ihsan. Kau suka Ihsan kan? Ke kau suka dua-dua?" usik Hud, sengaja mahu membangkitkan kemarahan adiknya. Bukan apa, saja dia mahu lihat reaksi wajah Falia.
"Ish, jangan nak merepek boleh tak? Mana ada Fal suka sesiapa. Mengarutlah abang ni. Dahlah, Fal nak pergi cari coklat kejap. Cakap dengan abang ni, menyakitkan hati tahu tak?"
Apa bendalah yang Hud merepek?
Dia? Sukakan Ihsan?
Memang taklah, mengarut.
Tanpa mendengar balasan daripada abangnya, Falia terus bergerak meninggalkan Hud keseorangan di bahagian makanan laut. Daripada dia terus berperang mulut dengan abangnya, lebih baik dia jauhkan dirinya buat seketika.
Kini, langkahnya dibawa menuju ke bahagian yang menjadi kegemarannya. Jenama coklat yang sentiasa menjadi pilihannya dicari satu per satu. Apabila coklat yang dicari-cari akhirnya ditemui, tangannya dipanjangkan untuk mencapai coklat tersebut.
Namun, niatnya terbantut sebaik sahaja dia dilanggar oleh seorang bayi perempuan lingkungan 12 bulan yang sedang bertatih ke arahnya. Falia terus menunduk, memandang bayi perempuan tersebut.
"Comelnya awak ni. Ibu mana?" soal Falia kepada bayi kecil yang sedang tersenyum ke arahnya. Otaknya kini sudah terlupa akan niat asalnya.
"Sorry ya dik, anak akak kacau awak pula." Seorang perempuan datang menghampirinya. Falia pula hanya tersenyum melihat gelagat bayi perempuan yang masih lagi bermain di sekitar kakinya.
"Eh tak apa, kak. Saya tak kisah pun."
Tidak lama selepas itu, wanita tersebut terus mendukung bayi perempuannya sebelum beredar meninggalkan Falia berseorangan. Sebaik sahaja wanita itu beredar, Falia mula teringatkan kembali coklat yang ingin dibelinya.
YOU ARE READING
𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘
RomancePrinsip wanita itu satu sahaja. Dia tidak mahu terlibat dengan mana-mana dunia percintaan, berkahwin apatah lagi. Hidup ini sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi jika hidup tanpa pasangan. Kan lagi seronok hidup bebas tanpa perlu bergantung pada sesia...