‧₊˚🖇️✩ : 37

417 50 3
                                    

"HAI semua, seperti yang ditunggu-tunggu, hari ni kita dah launch design baju kurung yang baru. Nanti you guys boleh check out dekat Instagram dan TikTok ya? 10 pembeli yang terawal akan dapat potongan harga sebanyak 20%. Bukan itu je korang, I belanja lagi free shipping untuk siapa yang beli hari ni."

Usai sahaja melihat video yang dipaparkan, tangannya terus mengepal penumbuk menunjukkan bahawa dia benar-benar marah ketika ini. Rasa sakit hati, geram, marah semuanya sudah bercampur baur. Terkejut besar dia lihat video hantaran yang dimuat naik oleh saingannya hari ini.

Apa yang membuatkan hatinya bertambah mendidih adalah apabila corak baju kurung yang dijual oleh pesaingnya benar-benar sama dengan corak yang direka olehnya bersama seorang pereka fesyen yang diupah.

"Macam mana diaorang boleh jual design baju yang sama macam baju kita? Langsung tak masuk akal lah! Akak susah payah tau cari idea dengan designer nak hasilkan corak tu!" bentak Falia melepaskan rasa geramnya di hadapan semua pekerja. Mana hatinya tidak marah, segala penat lelahnya terasa seperti dibazirkan begitu sahaja.

"Sabar, bos. Saya pun tengah hairan juga ni, macam mana design baju dia boleh sama dengan design yang kita nak keluarkan minggu depan?" ujar Amra yang turut sama menyaksikan kemarahan bosnya di butik. Jangan kata bosnya sahaja terkejut, dia pun turut sama terbeliak mata melihat corak rekaan baju tersebut.

"Macam mana akak nak sabar, Amra? Design baju tu kita punya tahu tak? Tak logiklah kalau semua ni kebetulan." Ya, langsung tidak boleh terima dek akal seandainya corak rekaan tersebut tersama dengan corak rekaan yang direka menggunakan hasil buah fikirannya.

Sera yang berada di tepi bosnya hanya mampu mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang patut disuarakannya, lagipun dia sendiri tidak mempunyai idea atau cara untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

"Tak boleh ke kalau bos saman diaorang?" cadang Yasmin di sebelah Amra. Sungguh, dia benar-benar kasihan dengan nasib yang menimpa bosnya ketika ini. Dia tahu, bukan senang untuk menghasilkan sesuatu produk, lebih-lebih lagi apabila melibatkan idea kita sendiri. Kalau dia berada di tempat bosnya pun dia akan marah dengan situasi sebegini.

Falia mengeluh. Inilah masalahnya. Dia tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana corak itu tidak didaftarkan patennya di bawah MyIPO. Dia tahu salahnya juga kerana tidak berjaya melindungi haknya, namun proses pendaftaran tersebut bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu dilaluinya, itu belum sebut lagi soal bayaran yang dikenakan.

Sebagai seorang usahawan kecil, manalah dia mampu untuk membayar semua kos yang diperlukan itu. Akhirnya, dia terpaksa berputih mata sahaja melihat orang lain menggunakan hasil rekaannya.

"Tak boleh, Yasmin. Design baju tu tak didaftarkan pun. Jadi kita tak boleh saman pihak sana sebab tak ada bukti kukuh yang mengatakan design tu kita punya," jawab Falia kepada salah seorang pekerjanya. Dia benar-benar buntu saat ini. Tiada apa yang boleh dilakukannya untuk menegakkan kebenaran. Kalau dia beritahu orang lain pun, tiada siapa yang akan percaya.

"Habis tu macam mana ni bos? Kita still nak keluarkan design tu ke minggu depan?" tanya Kayla setelah lama mendiamkan diri.

"Buat masa sekarang, kita terpaksa hold dulu. Kalau kita tetap keluarkan design tu, orang lain pula yang akan tuduh kita meniru," jawab Falia, cuba berfikiran rasional. Dia tidak boleh terlalu mengikutkan amarahnya kerana dia juga yang akan menanggung kesannya nanti.

Namun, ada satu perkara yang sedang bermain dalam fikirannya ketika ini. Bagaimana Aira boleh menghasilkan corak yang sama dengannya? Tak mungkin idea wanita itu boleh tersama dengan ideanya. Sebiji pula tu! Langsung tak boleh terima dek akal. Lagipun, corak tersebut belum dikeluarkan pun lagi.

𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘Where stories live. Discover now