TEH yang sudah siap dibancuh dibawa ke meja makan. Falia cepat-cepat menghidangkan mangkuk yang berisi mi goreng ke dalam pinggannya dan juga pinggan abangnya. Beginilah rutin harian mereka berdua setelah pemergian kedua ibu bapanya. Falia akan menguruskan hal di rumah manakala abangnya akan menolong menguruskan hal seperti bil utiliti. Namun, mereka juga akan bertolak ansur terhadap perkara-perkara lain. Falia tidak pernah terasa beban kerana abangnya jarang berkira atau kedekut dengan dirinya.
"Fal kerja ke hari ni?" Hud datang lalu mengambil tempat di meja makan. Dia terus meletakkan beg kerjanya di sebelah kerusi kosong. Hairan dia apabila melihat Falia seolah-olah kelam kabut pada pagi ini.
"Mestilah kerja, bang." Falia menjawab sambil menjamah mi goreng yang dimasak oleh abangnya seawal jam 7 pagi tadi. Nasib baik abangnya rajin memasak. Kalau tidak, pasti Falia sudah kebulur. Bukannya dia tidak tahu memasak cuma dia malas mahu mengotorkan tangannya di dapur.
"Aik, bos pun masuk kerja hari-hari ke?"
"Kalau tak masuk kerja, lingkuplah butik Fal tu. Kalau Fal dah bankrap, abang nak tanggung Fal ke?" Falia cuba bergurau senda bersama abangnya. Hudlah satu-satunya keluarga yang dia ada. Dia tidak mempunyai adik-beradik yang lain. Walaupun Hud kadang-kadang berkeras dengan dirinya namun dia tidak kisah.
"Amboi, bukan selama ni memang abang ke yang tanggung Fal?" Hud menggelengkan kepalanya melihat kerenah adik perempuannya. Nasib baiklah ada Falia di dalam rumah ini. Jika tidak, pasti suasana di dalam rumah ini sunyi sepi.
Falia tertawa kecil mendengar jawapan abangnya.
"Oh by the way, masinnya mee goreng abang ni," komen Falia setelah meniup teh strawberi yang dibancuh olehnya. Panas sangat tehnya. Boleh melecur lidahnya kalau minum terus.
"Masin ke? Tadi abang rasa macam dah okey. Hehe, sorry! Abang rushing sikit tadi takut terlambat itu yang terlebih garam tu." Hud tersengih. Nak mengharapkan adiknya masak? Hmm, kebulurlah jawabnya mereka berdua nanti. Falia cuma akan memasak bila tiba mood rajinnya tapi boleh kira dengan jarilah berapa kali sahaja yang dia pernah memasak di dapur.
"Fal, abang ada benda sikit nak cakap ni." Hud meletakkan cawan teh yang dipegang ke atas meja. Falia sudah menayangkan wajah menyampah. Dia sudah tahu apa yang mahu dikatakan oleh abangnya. Falia sudah muak apabila abangnya tidak pernah berhenti untuk menyuruhnya supaya berkahwin. Dia tidak suka apabila terpaksa bermasam muka dengan abangnya.
"Pasal kahwin lagi ke?" Falia menyoal walaupun dia sudah tahu jawapannya.
"Sampai bila Falia nak mengelak? Falia tak teringin ke nak ada keluarga sendiri?" Hud menyoal adiknya. Dia benar-benar hairan dengan adiknya yang seorang ini. Benci betul dengan kaum lelaki.
'Nasib baik aku ni abang kau, Fal. Kalau tak, dengan aku-aku sekali kau benci kan?' Hud berkata dalam hatinya.
"Keluarga apanya? Abang kan keluarga Fal. Cukuplah tu." Falia selamba menjawab. Dia tidak mahu menjawab pertanyaan abangnya. Sudah berkali-kali dia memberitahu abangnya bahawa dia tidak berminat untuk berkahwin mahupun bercinta.
"Falia. You do understand what I mean, right? Abang serius tau." Hud menayangkan wajah serius. Langsung tiada senyuman di bibirnya. Dia benar-benar tiada masa untuk bergurau soal perkahwinan.
"Abang, Fal tak minat nak bercinta. Fal tak nak kahwin sebab Fal tak boleh bayang kena hidup serumah dengan lelaki yang Fal sendiri tak pernah kenal. Semua lelaki sama jelah, bang. Mula-mula je cakap sayang, cinta, sanggup berkorban apa sahaja kononnya. Lepas dah dapat, ditinggalkan macam tu je. Bila dah bosan nanti, mulalah cari perempuan lain pula." Falia menggulingkan matanya ke atas — menyampah dengan semua spesies kaum Adam di dunia ini.
YOU ARE READING
𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘
Roman d'amourPrinsip wanita itu satu sahaja. Dia tidak mahu terlibat dengan mana-mana dunia percintaan, berkahwin apatah lagi. Hidup ini sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi jika hidup tanpa pasangan. Kan lagi seronok hidup bebas tanpa perlu bergantung pada sesia...